Sunday, 26 March 2017

Semua ini kebaikan ka?


Cerita 1

"Kau..."

Suaranya terhenti. Bagai sesuatu tersekat di kerongkong.

"Emm, kenapa weh?"

Tangannya mengacau baki susu dalam secawan teh tarik yang baru dihantar pelayan sebentar tadi. Azmeer melihat tepat ke arah rakannya, seribu satu persoalan bermain di minda.

"Kau okay ke bro?"

Danial yang tadinya kaku mengeluarkan suara. Serba salah dibuatnya. Tak tanya pun salah, bila ditanya pula, lain macam pula 'awkward'nya. Ahh, apa salahnya. Seagama, mukmin itu bersaudara bukan? Danial bermonolog. Wajahnya masih memandang tepat ke arah Azmeer yang kelihatan tenang dari tadi.

Azmeer ketawa.

"InsyaAllah aku okay, kenapa kau macam risau sangat ni? Ke kau ada buat salah dengan aku weh?"

Azmeer bergurau, tapi kali ini ketawanya terhenti. Kerisauan pada wajah Danial akhirnya membuat dia memulakan bicara. Cafe yang tadinya sunyi kini makin bingit. Sempat dia mengerling ke arah jam tangan, 12.00 tengah hari. Waktu lunch hour.

" Kau ni.. Hairan aku tengok. Erm, family kau ok? "

Akhirnya dia bersuara. Masih segar dalam ingatan kemalangan yang meragut nyawa 3 ahli keluarganya 4 minggu lepas. Rentung. Ibu Azmeer masih koma hingga sekarang.

Azmeer yang tadinya tersenyum kini riaknya sedikit serius.

"Alhamdulillah, Doakan. Perancangan Allah tak pernah buat kita makin layu kan bro?"

Danial tersentak. Entah. Jawapan dari Azmeer buat dia terdiam dan habiskan perbualan mereka di situ. Dia sendiri mungkin tak mampu sekuat itu. Ya, mungkin tak mampu.  Azmeer masih tersenyum penuh tenang di hadapan Danial. Tangannya menyuap satu persatu cebisan roti canai yang dihidang di atas meja sejak beberapa minit tadi.

***

Cerita 2

Susuk tubuh yang digeruni. Yang melihatnya pasti lari lintang-pukang. ada berani?

Bila musuh berhadapan dengannya, pasti melarikan diri dan mengelak sehabis mungkin. Ishh, orang gila sahaja yang tak takut saat berhadapan dengan lelaki ini. Mungkin dalam hati mereka bermonolog,

"Mati la aku kalau dia nampak aku!"

"Mati la aku kali ni!"

Mungkin. Mungkin musuh dia sendiri terketar-ketar saat melihat wajah lelaki yang digeruni kaum mereka ketika itu.

Tapi, ada seorang musuh yang lain dari yang lain saat tu. Ini dasyat. Sungguh dahsyat. Teramat dahsyat. Boleh teka apa musuh yang sorang ni buat? Saat yang lain cuba mengelak sehabis mungkin, dia malah cuba mencari setiap peluang yang ada untuk menerkam lelaki super power ni! Dan lagi memusykilkan, lelaki yang super power ini pula cuba mengelak bila dia berjumpa musuh yang sorang ni.

Ini pelik.

Sampai satu ketika, lelaki yang super power ni tak tahan lagi dek dikejar-kejar dan dicari-cari oleh musuh yang berani tadi, jadi dia bertindak. Tahu apa lelaki power ni buat?

Dia menetak kepala musuh tadi dengan pedangnya hingga terbelah dua.

Jangan bayangkan situasi ini sangat, bimbang termimpi-mimpi. Tapi ini cerita benar, bukan rekaan insyaAllah. Tapi ada satu lagi yang pelik, kenapa lelaki ni tak bunuh awal-awal musuh yang sorang tadi tu? Musuh yang berani mencari dan mengejar dia?

Untuk tak memanjangkan post kali ini, lelaki yang super power tadi ialah Abu Ubaidah Al Jarrah! Dan tahukah kenapa dia asyik mengelak bila berhadapan dengan musuh yang sorang tadi tu?

Sebab musuh itu ialah ayah kandungnya. Ya, dia membunuh ayah kandung sendiri. Tapi jangan fikir macam-macam ya. Abu Ubaidah membunuh ayahnya dalam Perang Uhud lillahi taala untuk Islam, hingga pengorbanan sahabat Rasulullah SAW ini dirakamkan di dalam Surah Al Mujadilah,


" Engkau (Muhammad) tidak akan mendapatkan suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasulnya, sekalipun orang itu bapanya, atau anaknya, atau saudaranya, atau keluarganya. Mereka itulah orang-orang yang di dalam hatinya telah ditanamkan Allah keimanan dan Allah telah menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang dari Dia.... "
(58:22)

Tapi yang mengagumkan, sahabat Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga ini tidak pernah merungut mahupun hilang semangatnya tatkala ayahnya iaitu musuh ketat Islam ketika itu mati dalam Perang Uhud. Tak pernah dia meratap bahkan dia makin gah mengejar si Pencipta!


***


Ada dua keadaan daripada dua cerita kat atas.

Saya  sendiri hairan. Hairan dengan 'mereka'. Hairan dengan watak-watak ini. Dan, dah berminggu-minggu saya dalam kehairanan (ni tipu).  Tapi pernah satu hari, terbaca surah Al Nahl.

Yang berbunyi,

" Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa " Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab "Kebaikan". Bagi orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh (balasan) yang baik, dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik. Dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertaqwa "
(16:30)

 Cukup ayat ini menerangkan segala kehairanan saya tadi. Nampak tak? Orang-orang yang beriman dan bertaqwa yang Allah SWT sebut dalam ayat ni, bila ditanya apa yang diturunkan oleh Allah kepada mereka,

Mereka menjawab ' kebaikan ' .

Seakan-akan mereka, iaitu orang yang bertaqwa tadi merasakan semua yang diatur dalam kehidupan mereka adalah kebaikan, semua yang baik-baik, semua yang terbaik. Dan lagi mengagumkan, semua kesakitan, semua ujian dalam hidup mereka, semua luka dalam kehidupan mereka juga, dirasakan satu ' kebaikan ' dalam hidup.


"Entah apa yang mereka fikirkan? Tak dapat dibayangkan besarnya cinta mereka pada Si Pencipta, hingga semuanya indah belaka. Hingga setiap air mata, setiap kesukaran menahan nafsu, mujahadah, dirasakan manis dan baik-baik saja."


Cinta apa lagi yang boleh menguatkan diri, selain cinta si Dia?

Tipu juga jika saya katakan saat ditimpa ujian, kita boleh tersenyum riang dengan bahagia.  Cuma sebagai manusia, fitrahnya memang beremosi, kita juga ada perasaan. Dan, memang sedikit sebanyak rasa sedih dan pilu tu ada kan?

Cuma pada pengakhirannya, bagaimana kita lihat ujian mahupun nikmat yang kita lalui sebagai satu ' kebaikan ' seperti yang dirakamkan dalam ayat di atas. Tiba-tiba saya teringat satu pesanan oleh someone special,

" Bila kita lalui ujian mahupun nikmat dalam hidup, hanya ada dua kemungkinan yang akan berlaku. Sama ada kita makin jauh, bahkan tenggelam ke arah lebih jahil dan futur. Atau, kita makin kuat dari sebelumnya malah melangkah lebih bertenaga ke hadapan! "

Dan, sudah pasti kita mahu jadi kuat dari sebelumnya bukan? :)

Moga kita bukan hanya bermimpi di siang hari, malah cuba untuk mengamalkannya!