Monday 18 July 2016

umi no hi

Assalamualaikum, hari ini di Jepun adalah hari cuti umum sempena umi no hi, iaitu hari laut.


Ehh,


Kenapa cuti untuk laut? Haa, di Jepun, terdapat cuti-cuti yang dikhususkan sempena kejadian alam semula jadi seperti hari laut, hari gunung dan sebagainya.


Bercerita tentang laut, teringat pula admin akan kisah Nabi Musa as dan tongkatnya yang membelah lautan.



Mari kita telusuri semula kisah Nabi Allah Musa a.s. ini seperti yang di ceritakan di dalam surah as-Syua'ra ayat 52-68.


"dan kami wahyukan kepada Musa, "pergilah pada malam hari dengan membawa hamba-hambaKu (bani israel), sebab pasti kamu akan dikejar""[26:52]

Allah telah memerintahkan Nabi Musa a.s. supaya membawa pengikutnya keluar dari Mesir di waktu malam setelah dirancang dan diatur rapi. Allah juga telah memberitahu nabi Musa bahawa Firaun akan mengejar mereka dengan bala tenteranya justeru Allah memerintahkan nabi Musa memimpin pengikutnya ke kawasan pantai.


"kemudian Firaun mengirimkan orang ke kota-kota untuk mengumpulkan bala tenteranya. Firaun berkata, "sesungguhnya mereka (bani israel) hanya sekelompok kecil. dan mereka sesungguhnya telah membuatkan hal-hal yang menimbulkan amarah kita. dan sesungguhnya kita semua tanpa kecuali haruslah selalu berwaspada."[26:53-56]

Firaun yang mengetahui berita keluarnya nabi Musa dan pengikutnya secara diam-diam dari Mesir terus memerintahkan kerahan tentera untuk mengejar Musa dan kaumnya serta menggagalkan rancangan mereka itu. Tetapi, sebenarnya kerahan tentera itu membayangkan betapa cemasnya Firaun dan betapa kuatnya Musa a.s dan pengikutnya.

"kemudian kami keluarkan mereka (Firaun dan dan kaumnya) dari taman-taman dan mata air. dan dari harta kekayaan dan kedudukan yang mulia. demikianlah kami anugerahkan semuanya itu kepada bani Israel"[26:57-58]
Firaun bersama bala tenteranya telah keluar mengejar nabi Musa dan pengikutnya pada waktu matahari terbit. Keluarnya mereka pada kali ini adalah keluar bagi kali yang terakhir kerana ia nya merupakan pengusiran dari segala nikmat-nikmat seperti disebutkan dalam ayat 57-58.

"lalu Firaun dan bala tenteranya dapat menyusul mereka pada waktu matahari terbit. Maka ketika golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa, "kita benar-benar akan tersusul""[26:60-61]


Nabi Musa telah membawa pengikutnya keluar dari Mesir pada waktu malam dan dengan izin Allah pada pagi keesokannya mereka telah dikejar oleh bala tentera Firaun. Kini perjuangan itu telah sampai ke titik penamatnya, nabi Musa dan pengikutnya berada di hadapan lautan sedangkan mereka tidak mempunyai kapal bahkan juga senjata-senjata. Firaun dan tenteranya pula dilengkapi dengan senjata-senjata yang sedia terhunus dan mengejar mereka tanpa belas kasihan.

Pengikut-pengikut Musa sudah mengatakan bahawa tiada lagi ruang untuk mereka melarikan diri, lautan di hadapan mereka dan bala tentera firaun dibelakang mereka.

"Dia Musa menjawab, "sekali-kali tidak akan tersusul, sesungguhnya Tuhanku bersamaku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku."[26:62]
Kemudian Nabi Musa pun menenangkan pengikut-pengikutnya seperti ayat 62. Nabi Musa a.s yang menerima perintah itu sedikitpun tidak pernah merasa ragu-ragu. Hatinya percaya dan yakin bahawa Allah akan menyelamatkannya dan para pengikutnya walaupun baginda sendiri tidak tahu bagaimana pertolongan itu akan datang.

"lalu kami wahyukan kepada Musa pukullah laut itu, dan setiap belahan seperti gunung yang besar. dan disanalah kami dekatkan golongan yang lain.dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersamanya. kemudian kami tenggelamkan golongan yang lain."[26:64-66]
Kemudian Allah segera memerintah agar nabi Musa memukul lautan itu dengan tongkatnya lalu terbelahlah laut itu kepada dua. Berlakulah mukjizat Allat s.w.t yang disangkakan mustahil oleh manusia, kerana mereka mengukur sunnatullah itu dengan kejadian-kejadian biasa yang berulang-ulang. Allah yang menciptakan segala peraturan alam itu berkuasa untuk memperlakukan peraturan-peraturan itu mengikut kehendakNya apabila dia menghendaki.

Semua air lautan itu tertahan di tepi kedua belah jalan itu seperti gunung yang besar, dan nabi Musa dan pengikutnya terus mengikuti jalan itu sedangkan Firaun dan bala tenteranya tercegat melihat peristiwa luar biasa tersebut. Setelah beberapa detik barulah Firaun memerintahkan bala tenteranya mengejar nabi Musa dan pengikutnya melalui jalan tersebut. Lalu terjadilah seperti ayat 66 dimana Allah menyelamatkan nabi Musa dan pengikutnya dan menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya.

"sungguh, pada yang demikian itu terdapat suatu tanda (kekuasaan Allah) tetapi kebanyakan mereka tidak beriman. dan sesungguhnya tuhanmu dialah yang Maha perkasa, Maha penyayang."[26:67-68]

Dan peristiwa ini telah menjadi suatu bukti kekuasaan Allah sepanjang zaman di mana ia tetap diperkatakan oleh manusia dari generasi ke generasi. Peristiwa-peristiwa mukjizat yang luar biasa itu tidak semestinya membuahkan keimanan walaupun manusia terpaksa tunduk kepadanya (seperti mana Firaun) kerana keimanan itu adalah hasil dari hidayah dari dalam hati manusia itu sendiri yang dkurniakan dengan izin Allah swt,

Wallahualam.


Tuesday 12 July 2016

Tanabata


Setelah habis kelas, maka berjalanlah pulang daripada daigaku (universiti) ke rumah. Nasib baik jarak rumah tak lah begitu jauh daripada daigaku. Ketika seronok melayan perasaan, terperasan pula satu struktur tumbuhan.

Pokok buluh.

Ya, pokok buluh yang digantung padanya potongan potongan kertas yang berisi harapan dan impian. Apa benda ini? Masih lagi lost, maka diputuskan biarkan saja lah. Lantas rasa ingin tahu itu dipendam begitu sahaja.

***

Sewaktu sedang membeli Koala Machi, jenama snek Jepun yang terkenal, bila dibelek belek design pack nya, lain pula kali ini. Special edition.

Tanabata special edition.

Tanabata lagi.



***

Bila ditanya pada kawan Jepun, apa itu Tanabata, rupa rupanya bila masuk bulan tujuh, mereka akan menyambut Tanabata. Di mana perayaan Tanabata ini akan disambut pada tujuh hari bulan tujuh pada setiap tahun. Dan kebiasaannya seawal bulan tujuh bermula, pokok buluh akan didirikan dan potongan kertas pelbagai warna akan diisi dengan wish penulisnya. 

Mitosnya di sebalik perayaan Tanabata yang berasal daripada China ini adalah mengenai kisah seorang puteri yang tinggal di langit dan penjaga lembu. Walaupun mereka sudah berkahwin, namun dek kerana lembu lembu si penjaga ini naik ke langit (kononnya), akhirnya mereka dihalang berjumpa oleh ayahanda puteri ini. Namun kerana rasa kasihan melihat anaknya, maka dibenarkan pertemuan sekali sahaja setiap tahun antara pasangan ini. Iaitu pada tujuh hari bulan tujuh.

Seperti biasanya, bukanlah niat ingin mengulas lanjut mengenai mitos ini, apatah lagi mengenai kertas kertas yang digantung pada buluh. Tapi, yang ingin dicari di sini adalah apa perumpamaannya Tanabata ini dengan kehidupan kita. 

Ada dua perkara yang menarik mengenai Tanabata ini. Apabila tahu sahaja cerita mengenai Tanabata ini, perkara pertama yang terlintas sekali di minda adalah 'pertemuan' kita dengan Ramadan. Bagaimana pertemuan kita dengan Ramadan lalu?

Bermakna kah? 

Seperti yang kita sedia tahu, kita dapat berjumpa dengan Ramadan sekali sahaja setiap tahun. Dan sebagaimana si puteri langit yang rindukan pertemuannya dengan suaminya yang special baginya, begitu jugalah seharusnya kita merindukan Ramadan yang special buat kita semua. Suasananya, amal ibadahnya, ukhuwahnya pasti akan membuatkan kita ingin berjumpa lagi dengan Ramadan tahun hadapan. Tapi, rasa rindu itu tidak seharusnya tinggal rasa rindu sahaja. Kita buktikan dengan berusaha meneruskan momentum yang terbina sepanjang Ramadan mengikut kapasiti yang kita miliki. Kata orang, kalau tak dapat buat semua, jangan tinggal semua. Beribadahlah, seikhlasnya moga kita termasuk dalam rahmatNya. 

Kedua, apabila melihat wish wish, harapan dan impian yang tertulis di kertas kecil yang tergantung di pokok pokok buluh itu, tersedar satu perkara.


Kita manusia penuh dengan pengharapan.

Harapan itu yang sentiasa ada dalam kita.

Harapan itu yang menggerakkan kita.

Harapan itu lah yang menjadikan kita, manusia.

Dan manusia itu melayan harapan dengan tiga cara berbeza. Pertama, mereka yang tidak berharap. Pesimistik. Mereka rasakan harapan itu sudah tiada. Mereka tidak rasa harapan itu perlu. Kerana tiadanya harapan itulah, menjadikan mereka manusia yang penuh negaitviti. The negative vibes itu akhirnya akan terkena kepada orang lain. Tapi, bukan itu yang dirisaukan. Lebih merisaukan lagi, apabila mereka sendiri menderita akibat hilangnya harapan terhadap diri sendiri. Misalnya, kalau diajak berubah ke arah yang lebih baik, maka dia tolak peluang itu. Dia tidak berharap untuk berubah. Harapan itu sudah tiada kerana dia merasakan dia sudah tidak dapat keluar dari dirinya yang sekarang. Sedangkan apa yang dia perlukan adalah harapan untuk berubah, dan insyaAllah akan mudahkan perjalanannya untuk berubah. Sekiranya diri sendiri tidak berharap untuk berubah, masih mampukah orang lain untuk membantunya?

Cara kedua, ada orang, dia berharap, tapi pengharapannya pada perkara yang salah. Sekadar berharap pada perkara yang duniawi mahupun manusiawi. Harapannya agar nikmat dunia dapat dikecapi, harapannya agar manusia mengiktiraf dirinya di atas sekali dan banyak lagi perkara yang bersifat sementara lain, yang akhirnya akan mengheret dirinya untuk menjadi orang yang tidak berharap lagi. Kerana apa? Kerana pengharapannya bersifat sementara. Apabila sementara, maka ia akan hilang. Mungkin dapat dirasa, tapi sekadar sekejap cuma. Dan bila harapannya pergi, dia juga akan pergi. Contohnya, ada orang, dia sedang berubah. Tapi, dek kerana berubahnya dia disebabkan mengharap pada perkara yang salah, akhirnya dia terhenti. Mungkin harapan itu sudah membantunya selama ini, tapi tidak dapat membantu untuk selamanya. Kerana sementaranya harapan yang disandarkan pada perkara dunia atau manusia lain itu.

Dan ketiga, beruntunglah mereka yang berharap pada perkara yang benar. Pengharapannya pada Yang Maha Kekal. Yang ada untuk selama lamanya. Ya! Dia berharap pada Allah swt sahaja. Tidak pada perkara lain. Dan harapan ini tidak akan berakhir dengan kekecewaan kerana harapan ini akan sentiasa ada. Malah ia akan menjadi sumber kekuatan buat dirinya. Jika sedang berada di awan langit, maka harapan inilah yang akan memastikan dirinya terbang tinggi. Dan jika dirinya berada di dasar laut yang paling dalam penuh hitam gelap, maka harapan inilah yang akan menjadi cahaya petunjuk buat dirinya, mengutip mutiara mutiara kekuatan di sepanjang kebangkitan dan akhirnya berenang ke permukaan menikmati mentari harapan!



Optimistik. Impian. Harapan. Jadilah manusia yang sentiasa berharap. Dan letakkan lah pengharapan itu pada tempat yang betul. Luruskan pengharapan kita, harapnya kita sentiasa berada di jalan yang lurus. 

Berharaplah. Bukan sekadar berharap, tapi berusahalah dengan harapan yang tersemat di dada. Bukan sekadar berharap, tapi tidak berbuat apa apa. Itu samalah seperti harapan yang tergantung di pokok pokok buluh sahaja.

:)

Monday 4 July 2016

RA^2 (RAmadan dan RAya)


Raya.

***

" Kore wa nani ( ni apa)? " 

Tangan aku tunjukkan pada symbol yang terpampang dalam buku.

Mata aku berpinar. Jam di dinding dari tadi aku pandang. Setiap lima minit, aku berpaling ke arah jam. Lambat! Aku cuba bantu apa yang boleh dibantu dalam lab hari ini.

"kore wa akaisen de tsunagaru motto ii kana (saya rasa mungkin ini lagi ok kalau sambung dengan wayar merah)" Nanami jawab bersahaja, kadang dia tersenyum.

Aku senyum. Betul juga, bercampur-campur wire yang aku sambung pada circuit. Yang mana wire negatif, positif pun tak dapat beza. Mungkin sepatutnya aku guna wire hitam pada negatif, wire merah pada positif atau input, supaya senang kami discover mana-mana part yang salah sambung nanti.

" Daijyoubu (ok?)?"

" Daijyoubu desuyo! (ok)" 

Aku betulkan beberapa wire lagi.

Selesai aku catat semua nilai voltage dalam notes experiment, aku kemas sikit barang-barang atas meja. Sehelai kertas hitam putih ditatap.

6 JULY 2016-  Shingo syori (Programming)

Masih ada kelas? Bukan hari tu.. hari raya?


***

Earphone aku betul-betulkan, biar jelas suara ibu aku dengar.  Skype. Aku lihat depan mata kuih raya baru keluar dari oven. Kalaulah aku dapat balik ke rumah malam ni juga. Tapi aku tak mampu, bukan setakat tak mampu, tak mungkin!

" Ramadan. Ramadan. Ramadan. "

Kali ni berbeza. Perjalanan Ramadan aku cukup berbeza. Entah,macam-macam juga aku rasa. Bukan masalah sedih sebab tak balik raya, yang tu aku tahu semua orang akan sedih. Tapi..

" Setakat mana aku meraikan apa yang ada di depan mata, dan apa yang aku nak raikan sebenarnya? "

Ayat tu kerap kali aku ulang dan ulang. Ramadan aku dipenuhi hambatan dunia. Aku seolah ingin gagah berjalan ke depan, tapi dunia menarik aku ke belakang!

" Apa yang sepatutnya aku ubah? "

" Ramadan sepatutnya melahirkan orang bertaqwa! "

Dia sambung.

" Tahu bila perintah Allah tentang puasa diturunkan? Beberapa hari sebelum Ramadan! "

" Erm. "

" Tapi apa yang umat Islam buat hari tu, mereka terus menyahut seruan Allah tanpa sebarang alasan! Malah kuatkan lagi tentera Islam dalam Perang Badar waktu tu. Sugoi(hebat) bukan? "

Aku celaru. Tiba-tiba kali ni aku seakan hilang arah. Memori Ramadan sebelum ni seakan luput dari ingatan. Aku seperti lupa apa yang perlu aku buat di bulan yang manusia sibuk mengatakan ia bulan terbaik, bulan di mana Allah membuka seluasnya pintu syurga. Aku malah tertanya pada diri, bulan apakah ini??

***

Tergiang suara dia.

" Ramadan ni, bulan yang menentukan diri kita untuk 11 bulan akan datang. "

Betul ke? Kalau begitu pasti aku sudah terlambat. Ramadan hanya berbaki beberapa hari lagi.

" Macam mana kau boleh harapkan kau akan berubah dalam bulan ni? sedang kau memang tak ada niat untuk berubah? Kau cakap la bulan Ramadan ni bulan yang mulia antara bulan yang lain banyak kali pun,.."

" Tapi kalau memang kau sendiri tak ada niat untuk berubah, bulan mulia pun, kebaikan tu susah datang kat kau! " kata-kata dia buat aku hilang kata.

 Setakat mana aku meraikan apa yang ada di depan mata, dan apa yang aku nak raikan sebenarnya?

 Aku ulang persoalan sama, beribu kali. Aku tiada apa untuk diraikan, tiada.

" Apa aku perlu buat? Dalam masa yang suntuk ni, sempat aku betulkan niat? " suara aku agak tenggelam, segan bertanya soalan sebegitu. Jahil benar aku. Kotor benar aku.

" Tak kan pernah terlewat! Tiada istilah lambat, yang penting kau mula sekarang!  " dia tersenyum, memberi aku harapan.

Aku teringat sebuah hadis qudsi,

" Jika sekiranya hamba itu mendekatiKu(dalam keadaan) sejengkal,(nescaya)Aku akan mendekatinnya(dalam keadaan) sehasta. Dan jika dia mendekati Ku(dalam keadaan) sehasta,(nescaya) aku akan mendekatinya (dalam keadaan )sedepa. Dan sekiranya dia mendekati Ku dalam keadaan berjalan, (nescaya) Aku akan mendekatinya dalam keadaan berlari. "
 (HR Bukhari)

Dan aku yakin, tiada yang terlambat, selagi mana aku bertindak untuk berubah!

***
Raya. Layakkah aku menyambutnya? Layak atau tak, moga Allah membuka seluasnya pintu taubat pada aku. Moga aku dapat memanfaatkan sebaik mungkin sisa hari yang berbaki.

" Perubahan takkan berlaku, jika kita memang asalnya tak mahu berubah. Walau jalan kebaikan itu sudah pun terbuka luas."


p/s: Sejujurnya, Ramadan kali ini sememangnya menyajikan atmosfera yang berbeza buat kami di bumi matahari terbit ini. Bukan tidak betah dengan kesibukan belajar, malah boleh dikatakan kami sudah lali dengan kesibukan itu. Cumanya bila tiada suasana sekeliling yang boleh memancarkan aura yang sama seperti di Malaysia, membuatkan kami sedikit terkejut dan agak kekok dalam membiasakan diri. 

On the positive side, menyambut Ramadan di bumi asing turut mengajarkan kami erti perseverance atau ketahanan. dan membuatkan kami muhasabah kembali, apakah kami berpuasa selama ini kerana suasana, atau kerana iman di dada? Dan akhirnya di sebalik kepayahan itu mengajar kami erti bulan Ramadan yang sebenar, juga definisi kemenangan yang seharusnya kita rai di bulan Syawal.

Salam Ramadan al Mubarak.

Salam Aidilfitri.