Sunday 25 February 2018

JAD BFG?

「君の毎日に僕は似合わないかなぁ」

Sering, dalam kehidupan seorang manusia itu dalam keadaan tertanya-tanya.
Telahpun dicatatkan didalam Al-Kitab mengenai kaum itu yang kuat bertanya tentang arahan Tuhan mereka sehingga akhirnya mereka menyusahkan diri mereka.

Apakah mereka bertanya untuk menyusahkan diri atau hanya ingin memberi yang terbaik, tafsiran itu sentiasa berbalik kepada iman dan pendirian diri.

Telah juga dicatat seorang insan agung yang bertanya setiap kali dirinya tidak memahami perlakuan utusan Tuhan yang diikutinya.

Maka bahagian manakah manusia itu tidak jelas lagi bahawa sikapnya sentiasa tertanya-tanya tentang perkara yang tidak diketahuinya?

_______________________________________________________

"Assalamualaikum", suara yang tidak asing lagi kedengaran ditelinganya. Amir menjawab salam yang diberi, lalu dipelawa masuk ke dalam biliknya.

Beg dihempas ke atas katil, lantas tubuhnya dilempar ke tepinya, menandakan kepenatan yang teramat setelah baito seharian.

"Penatnyaaa, nak tiduuuuuur je rasa ni."

"Sudahtu aku nak tidur mana?"

"Alaaaa berkira lah kau."

Amir menyambung aktivitinya mencari kerja di atas talian. Amir akan pulang ke tanah air setelah dua tahun di tanah asing ini, namun tidak seperti rakan-rakannya yang lain, dia sudah hilang arah tujuan. Pelbagai peristiwa telah terjadi, banyak pilihan untuk dibuatnya tapi seakan sudah kecewa dengan dirinya, dia tidak lagi tahu apa hendak dilakukannya setelah balik ke tanah air.

"Macam mana Mir, ada mensetsu ke?"

Digelengnya sahaja. Tiada bersuara. Stress lah tu, gusar dia.

Mata Amir berlari-lari di atas skrin, tangannya bagaikan penari ballerina professional menaip segala keyword dan scrolling setiap halaman carian.

"Kau macam mana? Dah dapat tarikh nak pindah masuk rumah baru?"

Sudah jawabnya. Ringkas, kepenatan membuatnya hanya mahu menjawab secara efisyen, tiada elaborasi diperlukan.

Tidak seperti Amir, dia sudah jelas kehidupannya mahu dibuat apa setahun, dua tahun, lima tahun, sehinggalah menjelang hari tua. Kerja sudah dapat, perancangan kehidupan sudah rapi disusun, apa lagi yang tidak sempurna?

Apa yang Tuhan sediakan untuk aku di Malaysia nanti, bisik Amir pada dirinya.

"Makanan!" jerit dia. "Makananlah Mir, best kot Malaysia, aku ni tak tau lah apa makan nanti bila dah kerja."
Tersenyum kecil Amir. Memang makanan di tanah air lebih sedap, tapi rezeki aku mungkin tidak sebanyak kau nanti, fikir Amir.

"Memanglah Amir, nampak sahaja rezeki aku lebih dari kau, tapi siapa yang lebih tahu? Rezeki bukan pada bilangan dan nombor Amir."
Tapi...

"Kau kena sedar Amir, banyak benda yang baik  pun ada di sana, bukannya di sini sahaja yang baik-baik tu. Kau kena kuat Amir, kena berpegang teguh dengan apa yang kau nak buat."

Masalahnya, aku tak tahu nak buat apa dah. Aku cuma mampu berfikir apa yang aku nak buat esok, bukannya macam dahulu bila aku mampu rancang semuanya.

Hm.

Kalau kau mula hilang arah, hilang punca, cuba muhasabah semula. Ingat tak dulu arwah sahabat kita pernah kata, Tuhan tak pernah lepaskan hambaNya tanpa arah, mesti ada sebab Dia hentikan tapak kau ke hadapan supaya kau tak terlajak jauh dariNya. Ucap dia panjang tanpa Amir membalas.

Anak mata Amir kembali kepada skrin komputernya, seperti si burung pulang ke sangkar, Amir kembali terperangkap ke dalam nayaminya.

_________________________________________________

Setiap dari kita punya masalah masing-masing.
Punya perkara yang merunsingkan fikiran dan jiwa.
Tapi tiap kita punya satu persamaan yang tiada siapa mampu menidakkan.

Kita masih punya Tuhan.
Dan manusia itu bukannya Tuhan.
Fikiran dan monolog dalaman itu bukan Tuhan.
Tiada siapa mampu menetapkan takdir, tidak diri kita ataupun orang lain.

Melainkan mencuba melakukan sesuatu untuk memastikan itu yang terbaik untuk kita, jika bukan sekarang, di masa akan datang.

***


Pembaca yang dihormati,
saya bukan penulis asli blog ini.
Saya juka bukan pencerita atau pemuitis untuk menarik hati-hati anda ke dalam penulisan picisan ini.
Mungkin cerita dan olahan yang ditulis, tidak jelas penceritaannya dan tiada kaitannya.
Tidak baik dari segi penulisan, tidak cantik dari segi penceritaan, tidak indah dari segi bahasanya.

Jujur, saya hanya mampu menulis sekadar apa yang saya mampu sahaja.
Sebulan lebih saya memikirkan isi, sebulan lebih itulah saya menulis draf ini.

Saya hanya mampu merancang,
akhirnya saya juga yang lemah dalam melaksanakan.

Maafkan saya, moga penulisan seterusnya akan lebih teratur dan menepati masa yang ditetapkan editor.

Your box to box midfielder,
Aaron.