Antara kotoba(perkataan) yang diminati sewaktu mempelajari nihon go(bahasa jepun) adalah sumimasen. Malah, sewaktu menggunakan nihon go dalam perbualan harian dengan rakyat jepun pun, kotobainilah yang selalu digunakan. Ia seolah seolah menjadi kotoba yang seringkali diucapkan, walau kepada orang yang kita tidak pernah bercakap pun selama ini.
Sumimasen bermaksud 'maafkan saya'. Dalam english, 'excuse me'. Walaupun maknanya agak terhad, tapi konotasi penggunaannya sangatlah luas.
Pertama kali saya melihat contoh penggunaannya adalah ketika sensei(cikgu/pensyarah) nihon go kami menggunakannya. Ketika itu, marker pen nya terjatuh di hadapan kami. Lalu kami menolong sensei dan apa yang diucapkan pada kami adalah
"Sumimasen, arigatou" (Maafkan saya, terima kasih)
Walaupun jatuhnya marker pen itu bukanlah sepenuhnya salah beliau, beliau tetap meminta maaf sebagai tanda kesal dan penghargaannya kepada kami yang susah payah membantu beliau.
Fast forward ke masa di mana kami sudah berada di jepun. Ketika itu sedang berada dalam densha(kereta api) dan kerana ramainya orang, terpaksalah kami berdiri dan sedikit berhimpit dengan penumpang densha yang lain. Sedang dalam perjalanan, densha mengalami sedikit goyang menyebabkan inertia bertindak ke atas kami dan kami terlanggar penumpang lain (yang merupakan rakyat jepun). Ini menyebabkan timbulnya rasa bersalah kami lalu kami katakan pada beliau.
"Aa.. sumimasen"
Membuatkan kami kagum adalah dia turut mengucapkan
"Sumimasen.."
kepada kami sedangkan beliau tidak salah apa apa pun. Sudah terang lagi bersuluh, kami yang terlanggarnya. Tapi, dia masih mengucapkannya. Ya, tinggi sekali budi bahasa mereka.
Dan banyak lagi penggunaan 'sumimasen' dalam pelbagai situasi yang relevan.
Bukanlah tujuan penulisan ini untuk menghuraikan lebih lanjut tentang sumimasen ini, tapi apa yang boleh kita ambil iktibar akan penggunaan sumimasen ini.
Antaranya adalah,
1. Manusia biasa
Almaklumlah, sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari salah dan silap. Dan menjadi masyarakat yang perlu bergaul antara satu sama lain, kekadang kesilapan itu tidak dapat dielakkan. Tidak ingin menggalakkan kita melakukan salah dan silap, sebaliknya kita cuba elakkan. Dan jika terbuat juga, mintalah maaf. Masalahnya hanyalah ego, jika ego dapat diatasi, insyaAllah maaf itu akan jadi mudah sekali.
Sumimasen!
2. Tenang jiwa
Maaf bukan sahaja bermanfaat buat kita, pastinya juga bermanfaat buat si penerima. Kita akan merasa tenang jiwa kerana kesilapan yang membelenggu diri kita, akhirnya dapat dipohon maaf daripada mereka. Si penerima pula, rasa marah akibat salah yang mungkin menyulitkan diri akan hilang apabila mendengar maaf itu diucap. Win win situation.
Sumimasen!
3. Maaf pada Allah
Inilah yang paling afdal sekali. Kita ialah hambaNya. Selayaknya rasa maaf itu perlu sentiasa ada dalam diri kita. Walau kita merasakan kita sudah cukup taat pada Allah. Apatah lagi kita sering melakukan dosa. Pernah terdengar suatu kata kata
'Jika kita merasakan kita sudah cukup baik, mungkin saat itu lah kita perlu banyak memohon ampun padaNya.'
Ayuhlah, mohon ampun padaNya. Moga keampunan Allah swt meliputi kita semua.
Su-Mi-Ma-Sen.