Friday, 6 October 2017

Kerana akhirnya, ‘pelangi’ itu akan muncul jua…




Pada suatu hari yang hening..

“Makkk!!! Makk!! Mak!” 

Berlari Amin setelah terjatuh dari basikal tua menyerbu ke arah ibunya yang sedang menoreh pokok getah,

“Ya Minnn.. pesal kamu terjerit jerit macam orang tak betul ni… terkejut mak.. fusss semangat!”

“Tengok ni mak!!! Ni slip peperiksaan Amin mak! Tengok mak! Tengok!”

Berguguran air mata si ibu melihat slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) satu-satunya anak kesayangannya itu. Terpapar jelas menunjukkan keputusan semua A dalam slip tersebut.

“Ya Allah Min.. Tahniah Min.. Tak sia-sia usaha Amin selama ni..” kata ibu sambil mengusap kepala anaknya

***


Tiga bulan kemudian…

Abang posmen tiba di hadapan rumah Amin, memberikan sepucuk surat yang agak ‘misteri’. Bila dilihat isi surat tersebut, terkedu seketika Amin. 

Siapa sangka budak yang sepanjang hayatnya tinggal di desa mendapat tawawan biasiswa untuk menyambung pengajian di negara matahari terbit. Namun, perasaan serba salah menyelubungi dirinya apabila melihat ibunya yang sedang berehat pada katil di ruang tamu.

Si ibu sering sahaja demam sehingga tidak larat untuk melakukan pekerjaan seharian sejak dua bulan lepas. Kini Amin seorang sahaja yang membantu meyara kehidupan mereka berdua menoreh getah di tanah peninggalan arwah ayahnya.

“Aminnn!!! Surat apa tu? Mai sini mak nak tengok.”

“Eh! Tak da pape mak. Bil-bil ja ni”

“Min.. tak baik tipu mak.. meh sini bagi mak tengok surat apa tu, bukan main besar lagi sampul tu”

Amin teragak-agak memberikan surat tawaran melanjutkan pelajaran tersebut kepada ibunya. 

“Pergilah Amin sambung belajar kat Jepun tu. Kejar cita-cita Amin tu. Nak jadi engineer katanya kan.”

“Tapi.. tapi mak.. Amin tak sanggup nak tinggal mak sorang-sorang kat rumah ni siapa nak jaga makan minum mak nanti..”

“Jangan risau Min, demam mak ni kejap datang kejap hilang, waktu mak sihat mak boleh buat kuih muih sikit-sikit jual pagi-pagi.  Pasal ladang getah tu tak pa Pak Su boleh tolong tengokkan.”

Terdiam seketika Amin, mengalir air matanya mendengar kata-kata ibunya yang dicintai.

“Amin, dalam hidup kita ni, kita akan sentiasa diberi peluang untuk membuat sesuatu pilihan. Macam Amin sekarang, diberi peluang untuk membuat keputusan sama ada untuk sambung belajar di luar negara ataupun tidak. Maka harusnya Amin membuat pilihan yang Amin rasakan terbaik untuk diri sendiri. Mak tidak mahu menjadi alasan Amin tidak dapat menyambung pengajian Amin lantas tidak dapat mengejar cita-cita Amin.”

“Tapi mak..” belum sempat Amin mencelah ibunya menyambung bicara,

“Ya mak faham… Amin pun tak pasti jika keputusan Amin untuk menyambung pengajian di Jepun ni pilihan yang terbaik ataupun tidak kan? Jangan risau Amin, mak sentiasa doakan moga apa pun keputusan yang Amin buat, itulah yang sebaiknya buat diri Amin dan mak. Yang penting, Amin ingat pesanan mak tadi sampai bila-bila..”

***

10 tahun kemudian..

Setelah menghabiskan pengajian dan bekerja di Jepun, Amin kembali ke kampung halamannya. Amin ke tanah perkuburan sebelah masjid berdekatan dengan rumah ibunya.

Hakikatnya, setahun selepas Amin meneruskan pengajian di Jepun, ibunya telah menghadap Ilahi setelah mengalami demam panas yang kuat. 

Pada waktu tersebut, Amin seolah-olah merasakan hidupnya tiada makna lagi. Amin berasa menyesal atas pilihannya untuk menyambung pengajian di Jepun kerana duduk berjauhan tidak dapat menjaga ibunya yang sering sakit.

Apabila Amin balik mengejut dari Jepun untuk menatap wajah ibunya buat kali terakhir, Pak Su memujuk Amin dengan mengatakan ibunya ada menulis surat, wasiat terakhir buatnya.

Dalam surat tersebut ada ditulis pesanan ibu kepada Amin sewaktu Amin tidak pasti dalam pilihannya menyambung pengajian ke Jepun… 

‘Terbanglah tinggi-tinggi namun jangan lupa akan daratan tempat kita sentiasa berdiri dan sentiasa kembali. Buatlah pilihan terbaik yang akan membantumu untuk melebarkan sayap lantas mampu terbang tinggi ke puncak impian dan cita-cita mu. Kita memang tidak pasti bagaimana pengakhiran pilihan kita itu namun pecayalah bahawa… kerana akhirnya, ‘pelangi’ itu akan muncul jua…’

Membaca kembali pesanan yang pernah diterimanya kemudian ditulis kembali dalam surat wasiat itu membuatkan Amin menjadi sebak, terdiam seribu bahasa.

Kini Amin telah kembali menjadi seorang engineer yang berjaya di Jepun. Amin membaca doa untuk kebaikan arwah ibunya di kubur lantas berkata:

“Terima kasih mak, kini Amin sudah melihat ‘pelangi’ yang akhinya muncul jua..”



‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah S.W.T mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui’ [Al-Baqarah ayat 216]