Bismillah
jzkk! |
In shaa Allah, kali ini penulis ingin kita merenung kembali isu yang mungkin selama ini kita ketahui tetapi seolah-olah tidak sensitif dengan isu tersebut. Masih ingatkah kalian pada awal bulan yang lalu, dunia dikejutkan dengan sebuah gambar viral yang amat menyayat hati dan mencetuskan rasa sedih dan sayu buat seluruh pelusuk dunia?
Ya! Gambar itu menunjukkan seorang anak kecil tidak berdosa, yang juga pelarian Syria berumur tiga tahun, Alyan Kurdi yang dijumpai terdampar tidak bernyawa di persisiran pantai negara Turki. Setelah siasatan dijalankan ke atas penemuan tubuh anak kecil ini, diketahui bahawa Alyan telah mati lemas ketika menaiki sebuah bot kecil yang usang menuju negara pusat Greek purba, Greece.
Kerana apa mereka sanggup berbuat sedemikian?
Hakikatnya, keluarga Alyan ingin lari daripada konflik berdarah yang telah sekian lama berlaku di negara mereka yang tercinta, Syria. Tatkala keganasan dan kekejaman berlaku saban hari di bumi para anbiya itu. Lebih tragis, keganasan ini dilakukan sendiri oleh rejim pemimpin mereka sendiri.
Pastinya kalian tahu bahawa isu Syria ini bermula apabila kekejaman rejim Bashar Al-Assad menular ke serata ceruk negara tersebut sehingga menyebabkan ribuan rakyat tidak bersalah terseksa dan ditindas dengan begitu dahsyat. Tiada jalan lain. Kebuntuan yang dihadapi mereka, ditambah dengan kebisuan masyarakat antarabangsa umumnya, dan umat Islam, khususnya lantas menyebabkan mereka harus lari mencari perlindungan di negara-negara jiran.
Namun sayang seribu kali sayang, ramai tidak mengetahui realiti, impak yang berlaku daripada rentetan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan ini. Apabila gambar Alyan Kurdi tersebar di laman-laman sosial, ia seolah olah menjadi “percikan api” yang telah memercikkan dan menyalakan kesedaran manusiawi seantero dunia.
Warga dunia akhirnya membuka mata situasi kekejaman yang sedang berlaku di bumi Syria. Persoalan yang penulis ingin lontarkan di sini, setelah lima tahun kemelut ini berlaku, setelah beribu-beribu gambar yang menunjukkan kekejaman rejim As-Assad kepada rakyat awam Syria yang tidak berdosa tersebar selama ini, mengapa baru sekarang kita baru terjaga daripada lena apabila melihat gambar anak kecil tersebut?
Pelbagai alasan yang akan diberi. misalnya bahawa isu Alyan Kurdi meninggal dunia dan ditemui terdampar di pantai merupakan pencabulan hak hak terutamanya hak kanak-kanak, hak asasi manusia dan sebagainya.
Namun, kita seolah olah buta dengan isu sebenar yang berlaku. Ini adalah isu umat Islam juga!
jzkk! |
Masakan tidaknya, isu yang berlaku di Syria merupakan isu yang melibatkan sesama umat Islam itu sendiri. Dek kerana dahagakan kuasa dan kekayaan, rejim kejam Al-Assad sanggup membunuh saudara muslim sendiri dan menganggap nyawa dan darah seorang muslim itu bagaikan tiada nilainya.
“Terangkanlah kepadaKu tentang orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya. Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar dan memahami, mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu.”
(Al-Furqan, 25: 43-44)
Lihatlah kesan buruk yang berlaku terhadap negara Syria dek pemerintahan zalim rejim Basyar Al-Assad yang bertuhankan hawa nafsu kekuasaan, pangkat dan kekayaan semata mata.
Jadi, seharusnya kita sudah boleh menilai betapa serius dan buruknya isu yang berlaku ini.
Mengapa dunia baru sedar dan mula menunjukkan simpati dan ingin tahu setelah tersebarnya gambar yang menyayat hati itu?
Paling menyedihkan apabila hakikat sebenar bahawa negara Amerika Syarikat yang mendabik dada, konon nya 'polis dunia' juga menjadi dalang kepada isu yang berlaku di Syria melalui polisi luarnya yang memandang ringan akan kekejaman al Assad. Media-media Barat berjaya meraih simpati masyarakat seluruh dunia tentang isu pelarian Syria yang berlaku, namun berjaya juga untuk menutup kerja kerja zalim rejim Basyar Al-Assad serta campur tangan negara Amerika Syarikat terhadap rakyat Syria.
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai."
(QS. Al-A’raaf 7: 179)
Lihat, Allah memberi larangan keras kepada umatNya yang langsung tidak menggunakan akal fikiran yang dikurniakan untuk mengambil tahu akan isu saudara umat Islam yang berlaku sekarang ini. Lebih malang lagi kepada saudara Muslim yang sanggup menjual agama Islam dan menindas saudaranya sendiri demi kenikmatan dunia yang fana ini.
Pelbagai spekulasi timbul bahawa rejim Al-Assad mandapat sokongan penuh daripada Amerika Syarikat dari segi bantuan ketenteraan dan senjata untuk melaksanakan misi kezaliman terhadap saudara muslim Syria. Mereka dengan angkuhnya melakukannya kezaliman itu secara terang terangnya tanpa rasa takut kepada Allah S.W.T.
Namun, Allah swt ada juga berfirman dalam kalamNya yang mulia,
“Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui.”
(Al-‘Ankabut, 29: 41)
Maka yakinlah bahawa suatu hari nanti kebenaran akan terbongkar. Rejim Basyar Al-Assad bersama konconya Amerika Syarikat akan tumpas. Islam di Syria akan kembali bangkit! Jadi, apakah peranan kita?
Adakah sekadar berdiam diri, keras membatu semata-mata?
“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-sekali tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan.”
(al-Baqarah, 2: 74)
Moga hati kita tidak keras untuk menerima kebenaran yang sebenar.
Moga kita mampu untuk menjawab di hadapan Allah saat kita disoal oleh saudara muslim di Syria akan apa yang telah kita lakukan untuk menolong mereka di saat mereka sangat memerlukan kita.
Moga Allah swt memberi kekuatan kepada mereka untuk menghadapi dugaan ini.
Moga Allah swt memberi kekuatan kepada kita untuk merasai penderitaan mereka dan menolong mereka semampunya, biarpun sekadar bingkisan doa, ikhlas buat rakyat Syria dan juga umat Islam yang turut menghadapi dugaan yang serupa.
jzkk! |
Ditulis oleh
zan
a la carte: berikut merupakan pandangan peribadi penulis.
No comments:
Post a Comment