Friday, 15 April 2016

Jishin no Toki, Jishin ga Nai.

地震の時、自信がない。 
Apabila berlakunya gempa, tiadanya keyakinan diri.

Assalamualaikum warahmatullah dan salam jumaat buat semua. Moga hari anda masih ceria dan dipenuhi perkara-perkara bermanfaat. 

Bagi yang masih belum mengetahui, semalam kira-kira pada pukul 9.26 malam waktu tempatan (bersamaan 8.26 malam waktu Malaysia), Negara Jepun digemparkan dengan bencana gempa bumi yang berpusat di Wilayah Kumamoto, bahagian selatan Jepun. Gempa bumi berukuran 6.4 skala richter tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang dan juga mengakibatkan pelbagai kerosakan dan kerugian melibatkan kerosakan jalan dan lebuh raya, runtuhan tembok Istana Kumamoto yang menjadi kemegahan, bangunan-bangunan perumahan dan persendirian serta berbagai-bagai lagi. Dikatakan lagi bahawa gempa bumi ini antara yang terbesar pernah berlaku semenjak tahun 2011. Ahli Thumuhat yang sedang menyambung pelajaran di Universiti Kumamoto turut merasakan sendiri bencana ini. Malahan, gempa ini juga turut dirasai oleh penduduk Jepun yang lain termasuk di bahagian Fukuoka, Miyazaki, Yamaguchi dan lain-lain.

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah di Daerah Mashiki yang terletak hampir 11 kilometer di kawasan utara Wilayah Kumamoto sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran dan ratusan yang tercedera. Selain itu, kawasan Shimotori, yakni di bahagian bandar Wilayah Kumamoto juga merekodkan banyak bangunan yang rosak akibat gegaran yang berlaku. Perkhidmatan kapal terbang dan juga shinkansen (baca: bullet train) dari Wilayah Kumamoto ataupun yang terlibat dengan kawasan lain terpaksa dihentikan atas langkah berjaga-jaga.

kawasan tembok Istana Kumamoto yang runtuh. (gambar ihsan CNN)

Memandangkan ini adalah kali pertama kami merasakan bencana ini, pelbagai rasa dan keadaan pada waktu itu cukup menimbulkan peringatan yang amat jelas pada kami. Malahan, setelah bertanya kepada jiran yakni penduduk asal di kawasan itu, mereka juga terkejut kerana peristiwa seperti ini jarang berlaku di kawasan selatan Jepun.


Namun, apa yang menarik boleh dikongsikan, sewaktu semua penduduk diarahkan berpindah ke kawasan evakuasi yang ditetapkan, sikap yang ditunjukkan oleh mereka sewajarnya kita ikuti. Memandangkan kawasan evakuasi tersebut di bangunan gym dan padang Universiti Kumamoto, rata-rata ramai yang tidak membawa banyak barang persediaan ke kawasan tersebut. Disebabkan kawasan gym yang sejuk dan padat, pihak pengurusan Wilayah Kumamoto menyediakan kadbod-kadbod atau kotak-kotak untuk dijadikan alas tempat mereka duduk dan tidur. Menariknya, walaupun masing-masing dalam keadaan yang cemas, mereka masih mengambil bilangan kadbod yang hanya mahu digunakan dan selebihnya ditawarkan kepada orang lain. Selain itu, apabila pihak pengurusan memanggil sesiapa yang mahu menjadi sukarelawan bagi mengangkat barang-barang untuk kegunaan semua, masyarakat Jepun di sini berlari seolah-olah berebut-rebut untuk membantu. Suasana seperti ini amat janggal bagi saya, namun mungkin sudah biasa bagi mereka.

Tragedi gempa adalah antara tragedi yang cukup menunjukkan kepada saya bahawa sehebat mana jua manusia merancang dalam pengurusan hidupnya. seharusnya pengharapan teratas disandarkan kepada Allah yang Maha Esa. Walaupun keadaan gempa bumi ini hanyalah petanda kecil bagaimana berlakunya keadaan kiamat itu nanti, membaca bait-bait surah Al-Zalzalah sudah cukup membuatkan diri ini terdiam berkali-kali.

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا (1) وَأَخْرَجَتِ الْأَرْضُ أَثْقَالَهَا (2) وَقَالَ الْإِنْسَانُ مَا لَهَا (3) يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا (4) بِأَنَّ رَبَّكَ أَوْحَى لَهَا (5) يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ (6)
 فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (7) وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ (8)
Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya, dan manusia bertanya: “Mengapa bumi (menjadi begini)?”, pada hari itu bumi menceritakan beritanya, karena sesungguhnya Rabbmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya. Pada hari itu manusia ke luar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sekecil apa pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sekecil apa pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” (QS. Al Zalzalah: 1-8)
Khutbah Jumaat di Kumamoto Islamic Center tengah hari tadi juga mengatakan Muslim sewajarnya menjadikan tragedi yang berlaku ini sebagai peringatan yang Allah berikan kepada umat Islam atas dosa yang dilakukan. Dosa itu bukanlah yang dilakukan oleh bukan Muslim yang tidak tahu tentang Allah dan Islam, tetapi dosa yang dilakukan oleh umat Islam itu sendiri.

Dan sehingga kini, dijangka gempa susulan (after shocks) akan berterusan dengan magnitud yang lebih rendah dalam masa seminggu dua ini. Doakan keselamatan kami dan juga masyarakat Jepun di Wilayah Kumamoto dan kawasan yang terlibat. Moga tragedi ini menjadi iktibar buat kita supaya terus berusaha mendekatkan diri pada Allah swt. Pengakhiran yang bagaimanakah kita di dunia ini. Cukupkah amal yang dibuat, atau jika kita 'dijemput' di kemudian hari, terkontang-kanting kita di hadapan Pencipta mencari amal yang pernah dilakukan? 

Sungguh peringatan itu juga khusus buat penulis.

ditulis oleh: Encik Buyo.


No comments: