Monday, 21 August 2017

Tak Suka Tapi Tak Benci


Sejak kecil, saya tak pernah suka matematik. Kiraan saya tak pernah betul. Ada sahaja careless mistakes yang saya lakukan dalam pengiraan. Malah, waktu saya di tadika, nombor pun saya tulis terbalik terbalik. 

Di sekolah, sewaktu ditanya apa cita-cita bila dah besar nanti, saya dengar sahaja jawapan orang lain. Dalam ramai ramai tu, saya terdengar perkataan `engineer`. Jurutera. Dan orang yang nak jadi jurutera tu, pandai matematik. Ditambah dengan penerangan cikgu yang cakap dia sokong cita-cita kawan saya itu sebab nak jadi jurutera ni matematik skil sangat diperlukan katanya, membuatkan saya terus tak minat nak jadi engineer. Turned off! 

Dari sini, saya mula fobia, alergik dan tak nak jadi engineer. Tak suka jadi engineer!

Sampai giliran saya, saya cakap saya nak jadi dokter walau saya tahu, saya kalau tengok darah sendiri pun dah lembik satu badan, apatah lagi nak main dengan darah orang.

Hidup diteruskan. Pejam celik, pejam celik saya dah jadi tingkatan lima. Bersekolah di sekolah berasrama penuh SBP (dan mungkin di mana-mana sekolah pun), semakin kerap perkataan engineer didengari. Tambahan pula, wujudnya tuntutan mendesak untuk menjadi engineer di negara ini yang semakin maju dan perlukan penggerak kemajuan. (Ya, saya suka dengar ceramah dan saya fokus dengar ceramah kerjaya dari kaunselor atau senpai yang datang sekolah, hihi). 

Tapi, menjadi pelajar yang pernah mendapat G (aka gagal) dalam Matematik Tambahan, tak nampak langsung probability/kebarangkalian nak jadi engineer tu. Bila orang tanya nak jadi apa, tidaklah saya jawab nak jadi dokter secara semberono seperti dahulu, tetapi saya cakap pada mereka, saya tak tahu.

Dan tak tahu ini berterusan sampailah cuti, dan sehinggalah result SPM saya keluar. Alhamdulillah, result saya agak cemerlang, melayakkan saya masuk interview biasiswa, tanpa sebarang kabel juga. Dan, saya berkesempatan pergi satu interview dan bakal pergi satu lagi interview. 

Oh, lupa pula saya nak bagitahu, sewaktu cuti, sementara menunggu result keluar, saya ada pergi satu interview biasiswa yang menggunakan result percubaan. Course engineering. Saya tak suka jadi engineer, tapi saya pergi juga demi pengalaman. 

Seperti dijangka, saya dihubungi pihak-interview-time-cuti menawarkan saya untuk ke Jepun dan belajar engineer. Ketika ini, mindset saya dah berubah dari tak-tahu kepada tak-kisah-belajar-apa-pun-janji-aku-ke-overseas. Dan juga saya tak nak lagi susahkan parents saya lagi. Mereka bekerja, bergolok gadai terutamanya nak menyekolahkan saya di SBP. Kesusahan mereka, saya nampak. Dan saya jugak bukan orang senang. Tapi, Allah senangkan kami walau tak mewah. Syukur. 

Saya terima offer itu. Saya tak pergi bakal interview lagi satu. Dan saya masuk course engineering tu, Saya tahu tak mudah, tapi saya tak nak fikir ke hadapan sangat. Sebab apa? Sila baca buku La Tahzan karangan Sheikh Aid al-Qarni. Anda akan tahu kenapa.

Sepanjang program persediaan, seperti dijangka, saya menghadapi kesukaran. Bilamana saya tak punya skil matematik dan careless ni belajar bidang engineering, memang susah. Tapi, saya hadap juga. Kalau saya mengalah, keluarga saya akan jadi lagi susah. Saya teruskan juga. Dan selepas tiga tahun saya berpayah, sampai juga ke Jepun.



Di Jepun, sininya serba mudah. Serba selesa. Serba selamat. Buruknya ada, tapi kalau saya ambik yang buruk di sini, apa guna saya dihantar? Maka, dengan biasiwa yang diterima, saya teruskan hidup di sini juga.

Alhamdulillah juga, setelah setahun lebih di sini, saya sudah dapat dan saya terima tawaran bekerja sebagai engineer. Ya, di Jepun. Pihak penawar biasiswa juga tak ikat kami untuk pulang ke tanah air, maka mudahlah untuk kami (saya) mencari kerja di sini. Oh, untuk pengetahun semua juga, di Jepun musim mencari kerja/job hunting/shuukatsu katsudou bermula seawal tahun terakhir belajar. Bermakna, anda akan dapat kerja time belajar. Tinggal nak grad je.

Aik? Tadi kata tak suka jadi engineer? Alih-alih terima offer jadi engineer?

Awalnya, memang saya tak suka jadi engineer. Sampai sekarang pun saya tak suka. Jadi?

Kalau tadi saya cerita kepada anda tentang buku La Tahzan, ini saya share pula kepada anda satu drama Jepun. Dan drama ini yang buat saya menerima offer kerja walau saya tak suka.

Tadi, saya tengok drama Boku, Anata no Unmei Hito desu (I`m Your Destiny). Kalau kita nak sesuaikan tajuknya dengan drama melayu, saya terjemahkan ia menjadi, 

`Aku, Takdirmu`

Saya tak nak cerita panjang pasal drama ni. Tapi, saya nak cerita apa yang saya dapat.

Dalam episod 4, si lelaki cuba tarik hati si perempuan yang terang terang sudah tak nak pada dia lagi. Sehinggalah akhirnya, dia putus asa. Sebab dah jelas terang lagi bersuluh, si perempuan tak suka padanya lagi. 

Tapi, sewaktu dia jumpa pakcik penjual lobak (kenapa tiba tiba ada pakcik penjual lobak? anda tengoklah drama ini, dan anda akan tahu), dia sudah faham dan jelas satu perkara.

Si perempuan itu mungkin tak suka pada dia, tapi perempuan itu tak benci pada dia.

好きじゃない (suki jyanai): tak suka
嫌い (kirai): benci

Adalah dua perkara berbeza. 

Bila kita benci sesuatu perkara, memang dah takda harapan. Zero. Kosong. Tapi sekiranya kita sekadar tak suka, masih ada lagi harapan untuk kita suka sesuatu perkara itu. Kerana kita sekadar tak suka. tidaklah benci dan zero terus.  

Ini menyedarkan saya tentang perkara yang menyerabutkan saya dah agak lama juga sebenarnya. Saya bukanlah benci engineering. Kalau saya benci, dah lama saya give up. Putus asa. Tapi, saya masih hadap. Nak grad dah pun. Bermakna saya sekadar tak suka. Masih ada harapan untuk saya suka engineering ni. 

Dan syarat untuk jadi suka sesuatu benda/perkara atau orang(eh?), kita kena beri peluang. Ini pun saya dapat dari drama itu. Walau si lelaki itu sedar si perempuan tak suka padanya, tapi dia minta diberikan peluang. 

Dan saya sedang memberi peluang kepada engineering dengan menjadi engineer. Moga saya suka pada engineering. Dan moga pengakhiran saya juga indah, seindah ending drama ni (standard drama jepun, selalu happy ending. atau standard mana mana drama pun. hoho). Doakan saya ye. 

Dan saya juga tersedar. Dari sudut kita sebagai muslim. Seorang Islam. Dan kalau bukan muslim sekalipun, mungkin tulisan ini akan bantu kita untuk lebih kenali Islam. 

Banyak perkara dalam Islam yang kita tak suka secara duniawinya dan pada awalnya. Susah sebenarnya nak menjadi seorang yang patuh pada Islam. Pakai tudung labuh. Fuhh. Menjaga aurat dan pandangan. Pehh! Cakap elok elok, tak mencarut. Ewahh. Menjaga apa yang kita makan dan minum. Fulamakk! Susahh!

Tapi, sebenarnya apa yang kita buat, beribadah pada Allah, cuba juga untuk suka apa yang Allah suka, kita sebenarnya sedang lakukan syarat untuk suka sesuatu perkara. Kita sedang beri peluang pada Islam yang Allah beri pada kita. Sebab kita tak benci Islam. Kita cuma tak suka pada awalnya. Dan kalau kita beri peluang pada Islam untuk diri kita, insyaAllah kita akan suka Islam.

Dan, kalau kita tak suka Islam sampai jadi benci, itu maknanya hati kita sudah mati, mungkin. Kata Ibnu Mas`ud

Pada suatu ketika datanglah seseorang kepada Ibnu Mas’ud ra, untuk meminta nasihat. “Wahai Ibnu Mas’ud,” ujarnya. “Berilah nasihat yang dapat dijadikan ubat bagi jiwaku yang sedang dilanda kecemasan dan kegelisahan. Dalam beberapa hari ini aku merasa tidak tenteram. Jiwaku selalu gelisah dan fikiran pun terasa kusut masai. Makan tak kenyang, tidur pun tak lena.” 
Mendengar hal itu, Ibnu Mas’ud kemudian menasihatinya. “Kalau penyakit seperti itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang yang membaca Al-Quran, kau baca Al-Quran atau dengarkanlah baik-baik orang yang membacanya; atau pergilah ke majlis pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah; atau carilah waktu dan tempat yang sunyi, kemudian ber-khalwat-lah (bersendirian) untuk menyembah-Nya. Misalnya di tengah malam buta, ketika orang-orang sedang tidur nyenyak, engkau bangun mengerjakan solat malam, memohon ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran, dan kemurnian hati kepada-Nya. Seandainya jiwamu belum juga terubati dengan cara ini, maka mintalah kepada Allah agar diberi hati yang lain kerana hati yang kau pakai itu bukanlah hatimu.”

Kalau kita sudah tak mampu untuk beri peluang lagi pada Islam dalam diri, kata Ibnu Mas`ud mintalah Allah beri hati yang baru. Kerana hati itu bukan kita punya lagi. 

Maka kalau ada perkara yang kita tak suka, bersabarlah. Berilah peluang. Mungkin suka itu akan datang kemudian. 

Kita mungkin tak suka, tapi tidak pula kita benci.  


No comments: