Sosok pemuda
yang kurus tinggi itu sangat disenangi semua orang. Wajahnya yang indah
berseri, dihiasi mata yang bersinar, sikapnya yang ramah, lemah-lembut, rendah
diri juga pemalu, membuatkan setiap orang suka kepadanya.
Beliaulah Abu
Ubaidah bin Jarrah atau nama sebenarnya Amir bin Abdillah bin Jarrah al-Fihri
al-Qurasyi. Peribadi beliau yang mulia turut diungkapkan oleh salah seorang
sahabat, Abdullah bin Umar. Kata Abdullah “Ada tiga orang Quraisy yang elok
wajahnya, mulia akhlaknya serta pemalu pula. Tidak pernah berdusta dalam
bicaranya dan tidak pula secepatnya mendustakan bicara orang lain. Merekalah
Abu Bakar as-Siddiq, Usman bin Affan dan Abu Ubaidah bin Jarrah.”
Abu Ubaidah
merupakan salah seorang daripada kelompok pertama yang memeluk Islam. Sehari
selepas Abu Bakar as-Siddiq memeluk Islam, beliau bersama-sama dengan Abdul
Rahman bin Auf, Usmah bin Mazh’un dan Arqam bin Abi Arqam menemui Rasulullah
SAW untuk melafazkan kalimah suci syahadah di hadapan baginda, lantas menjadi
salah seorang insan terawal memperjuangkan Islam di bumi Mekah.
Menjadi salah
seorang daripada kaum Muslimin awal di Mekah, beliau turut mengalami zaman
penindasan yang begitu hebat oleh kaum Musyrikin Mekah. Segala kekerasan, kesusahan,
kesedihan dialami beliau bersama para sahabat dan juga Rasulullah SAW sendiri.
Namun, kesetiaannya kepada Rasulullah tidak pernah goyah, malah semakin teguh
dan kukuh kepercayaannya kepada agama Islam.
Ketika Perang
Badar, Abu Ubaidah turut menjadi salah seorang pahlawan Islam yang gagah
berani. Kelibatnya dalam mengkucar-kacirkan barisan hadapan musuh, tanpa
sekelumit pun rasa takut, menjadikan dirinya antara sasaran tentera kaum
Musyrikin.
Diceritakan
sewaktu Perang Badar, Abu Ubaidah bin Jarrah telah dikejar dengan bengisnya
oleh seorang lelaki. Abu Ubaidah berusaha keras untuk tidak berlawan dengan
lelaki itu, sehingga akhirnya tidak ada ruang untuk beliau melarikan diri lagi.
Abu Ubaidah terpaksa berhadapan dengan lelaki itu, dan akhirnya lelaki itu
tewas di mata pedang Abu Ubaidah bin Jarrah.
Tidak dinafikan,
tindakan kaum Musyrikin Mekah terhadap kaum Muslimin begitu melampaui batas
sehingga tidak mengenal erti persaudaraan. Rupa-rupanya, insan yang tewas di
mata pedang Abu Ubaidah itu tidak lain tidak bukan, orang yang begitu dekat
dengan dirinya, iaitu ayah kandungnya sendiri, Abdullah bin Jarrah ! Sesiapa
pun pasti terkejut ! Abu Ubaidah bukanlah membunuh ayahnya, tetapi beliau
membunuh kemusyrikan yang telah menguasai hati ayahnya sejak sekian lama.
Malah, peristiwa ini turut dirakamkan dalam al-Quran, surah al-Mujaadalah ayat
22
لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ
يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ
أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ أُولَئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الإيمَانَ
وَأَيَّدَهُمْ بِرُوحٍ مِنْهُ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ
خَالِدِينَ فِيهَا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ أُولَئِكَ حِزْبُ اللَّهِ
أَلا إِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (٢٢)
Engkau (Muhammad) tidak akan mendapatkan suatu
kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan
orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu
bapanya, anaknya, saudaranya atau keluarganya. Meraka itulah orang-orang yang
dalam hatinya telah ditanamkan Allah keimanan dan Allah telah menguatkan mereka
dengan pertolongan yang datang dari-Nya. Lalu dimasukan-Nya mereka ke
dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya.
Allah ridha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan
rahmat)-Nya. Merekalah golongan Allah. Ingatlah, sesungguhnya golongan Allah
itulah yang beruntung.
Biarpun kisahnya
diceritakan dalam al-Quran, namun ini tidak sedikit pun menyebabkan Abu Ubaidah
bin Jarrah mendabik dada. Malah imannya bertambah kukuh dan semakin bertambah
keikhlasannya dalam memperjuangkan Islam yang mulia.
Abu Ubaidah
turut dikenali sebagai orang kepercayaan Rasulullah SAW. Ini terbukti apabila pada
suatu hari, para utusan kaum Nasrani datang kepada Rasulullah SAW meminta agar
dihantar seorang sahabat yang pintar untuk menjadi hakim tentang harta yang
menjadi punca perselisihan. Rasulullah SAW kemudian menjawab “Datanglah petang nati,
akan ku hantar ‘orang yang paling dipercayai’.
Selepas solat
Zohor, baginda menoleh ke kiri, ke kanan. Melihatkan Abu Ubaidah, baginda
memanggilnya lalu berkata. “Pergilah engkau bersama mereka. Adililah sebaiknya
apa yang mereka perselisihkan”.
Abu Ubaidah
sentiasa mengikuti perang yang dipimpin Rasulullah SAW sehinggalah kewafatan
baginda. Sewaktu mesyuarat pemilihan khalifah pertama, Umar al-Khattab telah
memilih Abu Ubaidah bin Jarrah menjadi khalifah dengan menghulurkan tangan
kepadanya lantas berkata “Aku memilihmu dan bersumpah setia aku pernah
mendengar Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya
setiap umat mempunyai orang kepercayaan. Dan orang yang paling dipercayai umat
ini ialah kamu (Abu Ubaidah).”
Abu Ubaidah
dengan rendah dirinya menjawab’ “Aku tidak mahu mendahului sahabat yang telah
Rasulullah SAW minta untuk menjadi imam sewaktu baginda masih hidup (Abu
Bakar). Biarpun baginda sudah wafat, marilah kita berimamkan dia juga” Akhirnya
dipersetujui Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah yang pertama, manakala Abu
Ubaidah bin Jarrah menjadi penasihat dan pembantu khalifah.
Banyak lagi jasa
dan pengorbanan sahabat mulia ini dalam memperjuangkan syiar Islam. Kejayaan
beliau menguasai seluruh Syam (Syria) antara kejayaan yang paling berprofilik
yang pernah dicapai dalam sejarah Islam.
Namun, yang hidup pasti akan menemui ajalnya. Abu Ubaidah bin Jarrah
telah meninggal dunia akibat penyakit taun yang mengganas di Syam ketika itu.
biarpun diceritakan Saidina Umar al-Khattab pernah berusaha mengajaknya keluar
dari Syam ketika itu agar tidak ditimpa penyakit tersebut, namun beliau menolak
kerana ingin bersama-sama rakyatnya sewaktu musibah tersebut melanda.
Sememangnya,
sahabat yang satu ini tiada galang gantinya. Orang kepercayaan Rasulullah,
ketegasannya, keindahan personalitinya wajar dicontohi. Tidak hairanlah, beliau
antara pemuda yang paling diidam-idamkan oleh Saidina Umar al-Khattab untuk
membangunkan syiar Islam ketika itu…
Bersambung…
mr. cokelat.
nota kecik: rujukan saya => 100 Tokoh dalam Dakapan
Rasulullah oleh Hepi Andi Bastoni, sila dapatkan ye, bagus buku ni… J
No comments:
Post a Comment