Thursday, 29 January 2015

Salim Maula Abu Huzaifah: Hingga ke Hujungnya

Pada suatu hari Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para sahabat “Ambillah al-Quran itu daripada empat orang iaitu Abdullah bin Mas’ud, Salim Maula Abu Huzaifah, Ubay bin Kaab dan Muaz bin Jabal.”

Lihat, tersenarai juga seorang sahabat yang bernama Salim Maula Abu Huzaifah. Siapakah sosok ini? Apakah sejarah hidupnya sehingga diangkat sebegitu rupa darjatnya oleh Rasulullah SAW. Pastinya ada yang istimewa mengenai Salim Maula Abu Huzaifah. Sewaktu membaca kisah beliau, ternyata tidak salah lagi telahan penulis. Ternyata beliau adalah bukti, betapa ilmu mampu mengangkat kedudukan seseorang biarpun asalnya diri hanyalah insan biasa. Malah, beliau juga lambang seorang Muslim yang begitu setia dengan ukhuwwah sehingga ke hujung nyawanya! Jom, kita selidik hidupnya!

Salim dan Abu Huzaifah bin Utbah. Taqwa.

Salim Maula Abu Huzaifah merupakan seorang hamba yang telah dimerdekakan. Beliau malah sudah dianggap sebagai saudara sendiri oleh bekas tuannya, Abu Huzaifah bin Utbah. Abu Huzaifah bin Utbah ialah geng-geng elit kaum Quraisy ketika itu, sesuai dengan statusnya sebagai salah seorang anak kepada leader berpengaruh di Mekah, Utbah bin Rabiah. Tapi, itu tidak pernah menjadi penghalang untuk Abu Huzaifah bin Utbah untuk memeluk Islam di saat Islam mula berkembang dan memberi layanan yang baik kepada bekas hambanya, Salim, sesuatu yang asing pada waktu itu, memandangkan sistem kasta antara hamba dan golongan elit yang menebal di Mekah. Malah baiknya hubungan mereka sehingga Salim dipanggil Salim bin Abu Huzaifah setelah dijadikan anak angkat oleh Abu Huzaifah bin Utbah.

Ketika turunnya ayat membatalkan kebiasaan mengambil anak angkat dan setiap anak angkat kembali menggunakan nama ayahnya yang sebenar, Salim turut tidak terkecuali. Tapi, disebabkan beliau tidak mengenali siapa ayah kandungnya, maka nama beliau diletakkan Salim Maula (hamba yang telah dimerdekakan) Abu Huzaifah, iaitu orang yang telah membebaskannya.

Kedua-dua sahabat ini, Salim dan Abu Huzaifah bin Utbah telah menjadi bukti, betapa yang membezakan dua orang muslim yang bersaudara hanyalah keimanan dan ketaqwaan di dada.

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah hanyalah orang yang lebih takwanya di kalangan kamu..
Surah al-Hujurat: 13

Biarpun berbeza taraf, bekas hamba dan seorang lagi pula golongan bangsawan, namun itu tidak pernah menghalang untuk kedua-duanya terus membina hubungan yang baik antara satu sama lain, bersama menuju reda Ilahi. Malah Abu Huzaifah berbangga kerana dapat menjaga hamba yang pernah dimilikinya.

Salim Maula Abu Huzaifah, di sebalik siapa dirinya di masa lalu, tidak pernah merasa rendah diri dengan apa yang ada pada diri. Malah, beliau terus ikhlas membina diri dengan ilmu, sehingga menjadi tempat orang ramai untuk bertanya mengenai al-Quran, sehingga Rasulullah SAW sendiri menyuruh kaum muslimin ketika itu untuk belajar daripadanya. Rasulullah juga pernah bersabda kepada Salim “Segala puji bagi Allah yang menjadikan dalam golonganku orang seperti kamu”. Wah! Besar sekali penghormatan yang diterimanya, bukan?

Salim dan Abu Huzaifah bin Utbah. Bagaikan bintang, mereka berdua menyinar bersama Islam! :')


Berani Kerana Benar

Salim Maula Abu Huzaifah juga terkenal seorang berterus terang dengan kebenaran, dan tidak akan berdiam diri dengan kesalahan yang dilihatnya.

Dikisahkan ketika kota Mekah dibebaskan, Rasulullah SAW telah mengutus beberapa rombongan ke kampung-kampung dan suku-suku di sekitar Mekah untuk berdakwah, bukan berperang. Salah seorang yang ketua yang dilantik ialah Khalid al-Walid. Ketika Khalid al-Walid sampai ke tempat yang dituju, terjadi satu peristiwa yang menyebabkan terjadinya pertumpahan darah di situ.

Sampainya berita ini ke pengetahuan Rasulullah SAW, terus baginda memohon ampun dengan sangat lama kepada Allah sambil berkata “Ya Allah, aku berlepas diri apa yang dilakukan oleh Khalid”. Mana tidaknya, Islam itu sangat menghargai nyawa manusia, dan seboleh-bolehnya tidak mahu mengorbankan nyawa orang lain selagi keadaan tidak betul-betul mendesak. Tindakan Khalid ini juga menyebabkan Saidina Umar mengambil perhatian terhadap keperibadian Khalid. Katanya,  “Sesungguhnya pedang Khalid sangat tajam”

Salim yang turut menyertai rombongan di bawah Khalid, terus menegur kesalahan Khalid al-Walid ketika itu. Biarpun orang yang ditegurnya pahlawan hebat Islam, itu tidak pernah membuat Salim takut malah beliau menasihati Khalid dengan berani, supaya Khalid berhati-hati dengan tanggungjawabnya. Ketika Rasulullah SAW bertanya “Ada sesiapa yang menyanggahnya?” sewaktu peristiwa itu, kemarahan baginda menjadi reda ketika mereka mengatakan kepada baginda “Ada, Salim telah menegur dan menyanggahnya”. Islam itu agama nasihat, dan jika kita nampak kawan-kawan kita melakukan kesalahan, tegurlah biar siapa pun dia, kerana itulah yang sebaiknya.


Salim, Abu Huzaifah dan Perang Yamamah

Beliau juga tidak pernah ketinggalan untuk menyertai setiap peperangan untuk mempertahankan agama di samping tetap terus beribadah. Persahabatannya dengan Abu Huzaifah bin Utbah juga semakin teguh. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam diancam golongan murtad yang telah mengganggu Islam ketika itu. Di bawah Khalifah Abu Bakar, khalifah Islam yang pertama, telah terjadi perang Yamamah, antara peperangan yang paling sengit dalam sejarah  Islam.

Perang ini turut disertai Salim Maula Abu Huzaifah dan Abu Huzaifah bin Utbah, best friendnya. Biarpun di awal peperangan,  kaum muslimin tidak berniat untuk menyerang, tetapi kerana peperangan ini sangat getir, dalam usaha menentang kejahatan golongan-golongan  murtad, mukmin yang menyertai peperangan ini telah dikumpulkan sekali lagi dan di bawah kepimpinan Khalid al-Walid yang berstrategik, barisan diatur dan diperkemas. Salim dan Abu Huzaifah berpelukan, dan berjanji akan mati syahid demi Islam dan terus menyertai saf peperangan Islam.

Kedua-dua sahabat ini terus berlawan dengan berani menentang musuh di bawah pimpinan Musailamah al-Kazzab .Sewaktu peperangan, Abu Huzaifah telah berseru “Wahai pengikut-pengikut al-Quran! Hiasilah al-Quran dengan amalan-amalan kalian.”

Salim pula berseru “Amat buruk nasibku sebagai pemikul al-Quran jika benteng muslimin roboh disebabkan kelalaianku!”

”Tidak mungkin begitu, wahai Salim! Bahkan engkaulah sebaik-baik pemikul al-Quran” jawab Abu Huzaifah setelah mendengar seruan Salim, sahabatnya.

Salim terus berlawan dengan pedangnya, menentang setiap musuh daripada golongan murtad itu.Tangan kanan beliau yang memegang panji Islam setelah gugur pemegang panjinya yang pertama, Zaid al-Khattab bagaimanapun, telah dipotong oleh golongan murtad. Biarpun tangan kanannya putus, beliau tidak lemah semangat, malah memegang dengan tangan kirinya dan diangkat tinggi-tinggi lalu membaca ayat ini:

“Dan berapa banyak dari nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan ramai orang yang taatkan Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat dan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah, dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh), dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang yang sabar”
 Surah Ali Imran: 146

Semboyan yang maha agung! Semboyan yang telah dipilih Salim untuk menemui ajalnya. Sewaktu perang, beliau telah dikepung golongan murtad dan diserang sehingga beliau rebah.Tetapi, beliau tetap bertahan sehinggalah perang itu berakhir dan Musailamah al-Kazzab telah terbunuh dan tentera murtad menyerah kalah. Alhamdulillah, menanglah Islam ketika itu!

Usai perang, ketika muslimin mencari para syuhada, mereka terjumpa Salim sedang sakit menghadapi sakaratulmaut. Dalam kesakitannya, sempat lagi beliau bertanyakan kepada mereka perihal sahabat kesayangannya,

“Bagaimana nasib Abu Huzaifah?”

“Dia telah syahid”

“Baringkan aku  disisinya” kata Salim.

“Ini dia, di sisimu, wahai Salim. Dia telah syahid di sini”

Mendengar jawapan itu, Salim tersenyum buat kali terakhir. Dia gembira kerana berjaya syahid bersama sahabatnya, orang yang bersamanya saat memeluk Islam, hidup mencari reda Tuhan bersama dan akhirnya syahid bersama. Moga mereka tetap bersama sewaktu bertemu di syurga nanti, juga di saat menemui Allah kelak.

Umar al-Khattab pernah berkata “Seandainya Salim masih hidup, pasti dia menjadi penggantiku nanti”

Begitulah, kisah Salim Maula Abu Huzaifah. mukmin sejati, sahabat setia, sarjana Islam dan yang paling penting,  hamba yang patuh taat akan Allah SWT. Ingatlah, siapa pun kita sekiranya kita ikhlas ingin berubah, tetap istiqamah beribadah, nescaya Allah akan membantu kita melalui orang di sekeliling kita dan mengangkat darjat kita, tanpa kita sedari, insyaAllah.


Carilah reda Ilahi, bukan reda manusiawi.

i.j.


Rujukan: 100 Tokoh dalam Dakapan Rasulullah SAW
                Hepi Andi Bastoni

Monday, 26 January 2015

Aku racist? eh mana ada!


Sementara hati belum tenang nak buat report butsuri,
apa kata kita menulis kejap.

Credit
Ehem. Machokan suara sikit. #ehh

Hamasah itu maksudnya semangat yang membara.

Membara yang macam mana? Api obor Olimpik laa kot. Entah-entah api majusi!

Naudzubillahi minzalik. Takdelah sampai macam tu sekali! Membara yang dimaksudkan tu, kalau saya ada api semangat yang membara tu pada diri saya, setiap insan yang ada disebelah kanan, kiri, depan belakang mahupun yang sedang saya pijak badannya dibawah ni, boleh terasa kebahangan dia. Sampaikan orang yang disekeliling saya ni, boleh terbakar dan membara-bara api semangatnya hingga menjulang Islam ke persada dunia gituh!

Tapi semangat je tak boleh jugak. Tindakannya kena ada. Jadi apa relevannya awak nak bercakap pasal Hamasah pula kali ini? 

Minum air seteguk jap. Betulkan niat, moga sampai maksud saya pada anda semua.

Ibaratnya hamasah ni, api yang membara. Cop, kita mula dari awal. Kalau kita nak hidupkan api, mulanya kita kumpulkan ranting-ranting kecil, dan sedikit daun kering dan kita letak bersama. Lalu kita acah-acah survival sikit, amik batu, gesel ketuk segala bagai nak bagi ade percikan api. Sampai penat kita buat, tapi tak nyala-nyala jugak. Akhirnya kita ambil je pencahaya (baca: lighter) dan nyalakan saja kumpulan ranting dan daun tadi. Puff, hidup dah api tuh. Okay, itu api kecil.

Kita tak puas; eish, kena besar lagi ni apinya, tambah kayu besar!

Wow! Akhirnya api tuh terpadam dek kerana tak mampu memakan kayu yang besar itu. Disitu kita belajar, tambahlah ranting sederhana agar tak padam apinya. Dan kita mula semula dengan bara yang tertinggal.

Untuk teruskan kehidupan api yang pendek ni, kita teruskan menambah ranting-ranting, dahan dan dedaunan kering. Makin besar kayu yang telah dimakan dek api, makin lama mampu api itu bertahan. Andai tidak ditambah apa-apa, masakan api itu dapat teruskan kehidupannya. Aduh kasihan api tersebut!

Err, bro, macam dah jauh je. Duk cerita pasal api je, mana Hamasahnya?

Haa, anda teruskan membaca pun dah berhamasah dah. Hamasah membaca cerita hambar saya kekeke.

Secara lojiknya, api semangat yang membara ini ada yang nyalaannya terus kuat dan memakan makan insan disekelilingnya, dan ada juga yang bermula kecil dek kerana bahan apinya yang sikit. Maka api yang menyala kecil ni pun hanya menyapa pipi-pipi insan sekeliling dengan udara yang suam malah mampu menyebabkan mereka tidur lena!

Okay, saya penat bermadah, Maafkan saya tak bicara terus (baca: talk directly) pada isinya, Saja saya uji hamasah anda hehe.

Hamasah setiap insan ni adakalanya membara kuat, ada masa dia membara malu-malu je. Bermula dengan semangat yang membara malu-malu ni, para murabbi ni yang berharap mutarabbi-mutarabbinya perform, ohsem macam Afiq Sazlan yang murabbinya tak disangkal kehebatannya (saya taknak dedah siapa murabbinya, cari sendiri hehe), terus memberi tugasan-tugasan berat dengan ilmu-ilmu yang cukup memberatkan hati mutarabbi mereka. Dengan harapan yang menggunung, tugasan yang membeban, ilmu yang bertambah-tambah, ada rijal-rijal ini yang terpadam hamasahnya dek semua itu. Kasihan rijal-rijal ini, mereka berpotensi besar tapi musnah kerana murabbi mereka sendiri!

Saya taktahu nak creditkan pada siapa, tapi gambar ni penting.
Ohh patutlah si fulan taknak join usrah lagi, sebab ana kah? T.T

Nangis banyak-banyak.

Jadi teruslah membakar semangat mutarabbi anda dengan bahan-bahan yang ringan dan berperingkat, jangan membebani biarpun moto anda "Tak paksa diri takkan mampu berubahlah anda!".  Biarpun anda murabbi ohsem, mutarabbi anda memang akan ohsem juga, tapi bukankah tarbiyah itu proses yang lama?

Sentap.

Dan pentingnya hamasah ini, dia membakar dan membantu menambah hamasah ahli-ahli bulatan gembiranya, dan juga orang disekelilingnya. Jadi jangan pelik andai ahli-ahli bulatan gembira ni, mereka sering hidup sesama mereka, racist dengan orang luar.

Ohh racist rupanya budak usrah ni! Poyo!

Ehh maafkan saya, anda salah faham. Hebatnya hamasah ni, dia mampu menaikkan hamasah-hamasah yang lain sekali. Andainya ahli bulatan gembira saya tiba-tiba futur, dan saya tidak bersama dengannya, habislah hamasah dia. Itulah fungsinya bulatan, semua sisi berhampiran dengan sisi yang lain. Maka hamasah seorang yang membara sahaja mampu membakar semula hamasah yang lain. Hebatnya bulatan gembira! Hebat lagi efek hamasah!

Okey, ini pertama kali saya menulis panjang. Maafkan saya andai ada yang salah, saya ni hanyalah insan marhaen (baca: biasa-biasa). 

Teruskan berhamasah!
Biarpun badan dimamah usia,
sampai Islam masih tidak dijulang seluruh manusia,
jangan berhenti membakar hamasah!

Ini pun saya taktahu nak creditkan pada siapa haha.

__________________________________________

Nampaknya saya dah termakan dengan pembacaan Inche Gabbana dan Afiq Sazlan dan murabbi-murabbi ohsem yang lain. Haha.

oh ya, budak usrah tak racist ya,

HeartVoker.

Jom Ponteng!


Tak tahulah betapa banyak shaiton bertenggek dekat kelopak mata sampai nak bangun pagi bagaikan nak berperang dekat Gaza rasanya. Kelas dah nak mula tapi masih berteleku atas katil sambil tuala dililit ala-ala turban gaya Yuna. Terdetik di hati kecil ini, apa kata aku ponteng kelas hari ini? Lagipun belum pernah rasanya diri ini gagal menjelmakan diri dalam kelas. Apa salahnya sekali sekala merasa sedikit manisnya kenakalan. Sekurang-kurangnya apabila sudah berjaya mengenggam segulung ijazah dalam tangan, ada benda yang menarik untuk dikenang kembali. Taklah kita dilabel budak nerd atau suci murni bagai kain putih tanpa noda walau sekelumit jua. *ketawa*


Dengan hati berbolak-balik menuju ke tandas, tiba-tiba teringat akan satu cerita yang muncul dalam minda bagaikan tersambar kilat dengan voltage infiniti terus menusuk ke dalam hati. Cerita masyhur mengenai  dua orang adik beradik lelaki.

Si Abang, sejak kecil dikenali baik, alim, soleh dan sangat taat melakukan ibadah. Dia tidak suka menyakiti hati orang lain.Tidak suka bergaduh dan mencari pasal dengan orang lain. Waktu mudanya dihabiskan di masjid. Dia tidak suka bergaul dengan wanita yang bukan mahramnya. Pernah satu ketika dia digoda dan dipujuk rayu oleh sepupunya cantik menawan namun ia tetap teguh dalam keimanannya. Kerana amalnya serta perbuatan berakhlak mulia ini, dia dicintai oleh keluarga dan dikasihi oleh kebanyakkan orang disekelilingnya.

Sedangkan adiknya, sangat berbeza dengan abangnya. Sejak kecil si adik terkenal dengan kenakalannya. Alam remajanya dipenuhi dengan segala bentuk maksiat dan dosa. Rumah pelacuran adalah tempat biasa baginya. Hampir setiap hari dia mabuk dan melakukan pelbagai macam maksiat di rumah pelacuran miliknya. Kadang-kadang ia juga melakukan rompakan bersama teman-temannya bahkan ia juga terlibat dengan aktiviti yang tidak bermaruah. Hampir segala jenis maksiat dan perbuatan yang menjijik telah dilakukan untuk memuaskan hawa nafsunya. Perbuatannya yang jahat itu membuatkan dirinya terus menerus dibenci oleh keluarga dan masyarakat.

Suatu hari, sang abang yang alim dan ahli ibadah itu merenung ketika bersendirian. Tiba-tiba dengan halus nafsunya berkata kepadanya :

” Sejak kecil kau selalu berbuat kebaikan dan beribadah. Kau telah mendapat tempat dihati masyarakat dan dikenal sebagai orang yang baik. Namun kau tidak pernah merasakan nikmat hidup sedikit pun. Kenapa tidak sesekali kau datang ke tempat adikmu menghiburkan diri di rumah pelacurannya. Sesekali sahaja. Setelah itu kau boleh bertaubat. Kau boleh membaca istighfar ribuan kali dalam solat tahajjud. Bukankan Allah itu Maha Pengampun?”


Pujukan hawa nafsunya itu ternyata masuk dalam pemikirannya dan hatinya. Syaitan pun dengan sangat halus masuk aliran darahnya dan lantas ia berkata kepada diri sendiri :

” Benar juga. Kenapa aku tidak sesekali menghibur diri? Hidup Cuma sekali. Malam nanti aku mahu menari dan bersenang-senang bersama wanita cantik di rumah pelacuran adikku. Setelah itu aku pulang dan bertaubat kepada Allah SWT. Dia Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.

Sementara itu dirumah pelacuran. Adiknya juga merenung. Ia merasa amat kekosongan dengan hidup yang dijalaninya. Nuraninya berkata:

”Sudah bertahun-tahun aku hidup bergelimang dosa. Bermacam maksiat telah aku lakukan. Apakah aku akan hidup begini terus? Keluarga membenciku kerana perbuatanku. Juga masyarakat, mereka memusuhiku kerana kejahatanku. Kenapa aku tidak mencuba hidup baik-baik seperti abang. Ah, bagaimanakah esok kalau aku telah mati. Bagaimanakah aku harus mempertanggungjawabkan perbuatanku. Kalau begini terus, kelak aku akan masuk neraka. Hidup susah di akhirat sana. Sementara abangku akan hidup nikmat di syurga.Tidak! Aku tidak boleh terus hidup dalam lembah maksiat. Aku harus mencuba hidup di jalan lurus. Malam nanti selepas Maghrib aku akan ke masjid tempat abang beribadah. Aku mahu bertaubat dan ikut solat. Aku mahu kembali ke pangkuan Allah SWT. Aku mahu beribadah sepanjang sisa hidupku. Semoga Allah mahu mengampuni dosa-dosaku yang lalu.”
Dan benarlah. Ketika malam tiba, kedua saudara itu melaksanakan niat mereka masing-masing. Selesai solat Maghrib di masjid, sang abang kembali ke rumah, ganti pakaian dan bergegas menuju rumah pelacuran. Adapun sang adik, telah pergi meninggalkan rumah pelacuran sebaik mendengar suara azan Maghrib. Jalan yang diambil dua saudara itu tidak sama sehingga keduanya tidak berjumpa di tengah jalan.

Sampai di rumah pelacuran sang abang mencari adiknya. Namun tidak ada. Orang-orang yang ada di rumah pelacuran tidak ada yang tahu ke mana adiknya itu pergi. Meskipun adiknya tidak ada ia tetap melaksanakan niatnya. Nafsu telah menguasai seluruh akal fikirannya. Ia pun menuruti segala yang diinginkan nafsunya di rumah pelacuran itu bersama para penari dan pelacur.

Di tempat lain, sang adik sampai di masjid tempat abangnya biasa beribadah. Ia sudah bertekad bulat untuk bertaubat meninggalkan semua perbuatan buruknya. Ia mengambil whuduk dan masuk ke dalam masjid. Ia mencari-cari abangnya, ternyata tidak ada. Padahal biasanya abangnya selalu beriktikaf di masjid selepas Maghrib sampai Isyak. Ia bertanya pada penjaga masjid, namun ia tidak tahu ke mana perginya. Meskipun tidak ada abangnya, niatnya telah nekad. Ia melakukan solat dan beristifar sebanyak-banyaknya dengan bercucuran air mata.

Tiba-tiba bumi bergoncang dengan hebatnya.


” Awas , ada gempa! Ada gempa!” teriak orang-orang di jalan. Orang-orang panik keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Takut kalau-kalau rumah mereka runtuh. Sang adik yang sedang larut malam kenikmatan taubatnya tidak berganjak dari dalam masjid. Ia tidak merasakan ada gempa. Demikian juga sang abang yang saat itu terlena di rumah pelacuran. Ia sama sekali tidak merasakan gempa. Goncangan gempa malam itu cukup kuat. Beberapa bangunan roboh. Termasuk masjid dan rumah pelacuran.

Keesokan harinya. Sang abang ditemui mati di antara runtuhan rumah pelacuran di samping mayat seorang penari wanita dalam keadaan yang memalukan. Sedangkan adiknya juga ditemui mati diantara runtuhan masjid. Kedua tangannya mendakap sebuah mushaf di dada.

Masya Allah. *nangis laju-laju*

Bagaikan Allah sedang berbicara berhadapan dengan aku, membisik nasihat secara halus, tatkala hati terdetik niat serupa. Manusia itu memang lemah kerana itu Allah memberi kita manual lengkap cara kehidupan melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Bosan berada dalam kebaikan bukan bererti kita perlu melakukan kejahatan tetapi adalah petanda supaya kita terus bergerak ke hadapan. Hidup adalah perjalanan dan setiap benda yang tidak bergerak adalah tidak bererti. Kalau kita belajar bersengkang mata tiga tahun untuk dapat diploma, adakah selepas kita berjaya mendapat sijil tersebut, kita akan mengulang tiga tahun lagi untuk mendapat diploma yang serupa? Tidak! Sebab kita tahu perkara tersebut tidak berguna. Tetapi kita akan terus melangkah meraih ijazah, master dan phD. Begitulah juga kita dalam kehidupan, menjadi lebih baik itu sukar, tapi nikmatnya? Macam syurga!


*senyum pergi kelas*


-kicap-

Saturday, 17 January 2015

Tuhan Selalu Ada


Doa Fatimah R.A,

“Wahai Zat yang Maha Hidup yang berdiri sendiri,dengan rahmat Mu aku memohon, janganlah Engkau meletihkan jiwaku sekelip mata pun, perbaikilah urusanku semuanya”
(HR Bukhari Muslim)

Khayra berlari menuju ke satu sudut tangga. Dari jauh dia tersenyum. Dia sendiri tidak tahu makna di sebalik senyumannya. Ya, Memang itu tempat kesukaannya. Dari tempat itu,dia dapat melihat bintang di langit dengan jelas. Dapat melihat pokok yang seolah-olah melambai padanya tatkala ditiup angin. Sungguh, dia suka akan suasana sebegitu. Melihat ciptaan Allah yang tak pernah berhenti berzikir kepadaNya. Sungguh menakjubkan,makhluk Allah itu. Sempurna, amat sempurna. Hingga dia bisa dalam kekhusyukan melihat ciptaan Allah itu. Tenang. Damai. Indah.

Al-Quran dibuka, Surah Al-Hujurat dibaca. Khayra tersenyum, Dia sendiri tidak tahu kenapa riak wajahnya sebegitu. Gembira barangkali,membuka Al-Quran yang menjadi kekasihnya saat ini, Malah, jika Allah mengizinkan, hingga akhir hayat dia mahu tersenyum, tidak sabar membaca ayat-ayat cinta dari Allah yang esa. Firman Allah dalam surah itu dibaca satu persatu. Dalam Surah Al-Hujurat ini, pelbagai teguran ditegur olehNya. Mendalam,menusuk ke qalbu. Mata Khayra terhenti pada ayat 7 surah itu. Berulang kali dia membaca ayat itu. Ada yang menarik hatinya. Di sebalik pelbagai teguran oleh Allah dalam surah ini, diselitkan satu ayat yang begitu lembut,memujuk hambaNya,menyedarkan hati hambaNya tentang kebesaranNya.

“……Tetapi Allah menjadikan kamu cinta pada keimanan dan menjadikan (iman) itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekufuran,kefasikan dan kederhakaan. Mereka itulah orang yang mengikuti jalan yang lurus”(49:7)

Mata Khayra berair. Entah mengapa ayat 7 ini menyentuh hatinya. Allah, Betapa Maha Pemurah, Maha Penyayang terhadap hambaNya.Betapa ramai diluar sana yang dapat merasa manisnya iman seperti firmanNya dalam Surah Al-Hujurat ini? Berapa ramai yang merasa benar-benar bencinya dia pada kefasikan, kederhakaan seperti ayat ini? Satu persatu persoalan bermain di fikiran Khayra. Ya, Sudahlah kita sedang bertatih menujuNya, Tapi kita sedang membuat dosa setiap hari, yang membuatkan kita MERANGKAK menujuNya. Astagfirullah, Hinanya kita, Sebagai hambaNya. Manusia, Mudah benar lupa! Sekali diberi nikmat,sekali itu sahaja diingatnya. Hah, Bila ujian melanda, Merungut aje kerjanya. Mata Khayra tertumpu pada sejadah di hadapannya. Memori lama dikenang.

“Khayra,kau dah tengok senarai student yang kena retest?Aku dengar cerita ramai jugak”

Waktu tu,dia bergegas ke pejabat. Memeriksa jika dia tersenarai dalam kelompok tersebut. Ya, Waktu itulah mendung datang. Allah benar-benar menguji setakat mana cintanya pada yang Esa.

“kenapa aku yang diuji?Banyak sangat ke dosaku, hingga aku perlu menghadapi ujian ini?”

Khayra mengetap bibirnya. Geram. Ahhh, Geram dengan dirinya waktu itu. Jahil. Membaca Al-Quran, Tapi tak ada input yang dapat, Macam tu la jadinya. Geram dengan kata-kata yang diungkapkannnya ketika itu. Kenapa dia begitu buta waktu itu? Padahal,,ketika ujian itu hadir, disitulah pergantungan padaNya diuji!

“Dari ujian itulah Allah menunjukkan kasih sayangNya. Tapi kita tak sedar bukan? Bila Allah timpakan ujian pada kita, yang kita nampak hanya sisi buruknya.mata kita seolah-olah terhijab untuk melihat kebaikan disebalik ujian yang menimpa.”

Kata-kata naqibahnya terngiang-ngiang di telinga. Manusia, saat ditimpa ujian, barulah tergesa-gesa meminta pertolonganNya. Tapi, setelah ujian yang dihadapi berjaya diharungi?? Mana perginya rintihanmu pada yang Esa? Mana perginya doamu serta linangan air matamu? Dalam perjalanan kita menghadapi ujian dalam hidup ini,tanpa kita sedar sudah berapa banyak kita berjaya melaluinya satu persatu, dengan izinNya serta redaNya. Tapi, mungkin kita lupa siapa yang membantu kita saat menghadapi ujian itu. Sedih. Khayra tidak mampu bertahan lagi. Cukuplah pengajaran yang lalu menjadi muhasabah untuk dirinya. Biarlah dia menangis sepuas-puasnya saat menghadap Allah Yang Esa. Ya, Memang mata ini wajar menangis keranaNya! Mata ini juga ciptaanNya, Ia wajar tunduk dan menangis kepadaNya, bukan pada hal dunia.

Deringan telefon mematikan lamunannya tentang kisah lalu. Jam mendekati angka 6.00 pagi. Sebentar lagi, azan subuh akan kedengaran. Mesej Whatsapp dibuka.

“Rindu nak bertadabbur dengan Khayra!”

Khayra tersenyum. Tak dinafikan, mesej tersebut mencairkan hatinya. Benar-benar memikat hatinya pada ayat-ayat cintaNya. Allah, betapa dia bersyukur mempunyai sahabat yang sentiasa membawa kebaikan. 

Teringat kata-kata sahabatnya itu,
“Tadabbur, perlu guna mata hati. Al-Quran, bukan hanya membaca. Kalau hanya dibaca sekelip mata, samalah macam kita baca komik kat luar sana, baca dan faham time baca tu je”

Ya. Dia setuju. Al Quran bukan macam buku Calculus kita! Bukan macam buku circuit yang kita belajar tu. Al Quran tak ajar, differentiate nilai x dapat apa ….Tapi Al Quran itu mengajar semuanya, ya, mengajar cara hidup as muslim. Untuk berjaya,tak kira dalam calculus, kerjaya, etc, kuncinya hanya satu,ayat-ayat cinta dariNya.

“Semua rahsia terbongkar di dalamnya. Tak percaya, bukalah Al Quran, tadabbur la guna hati!” sambung sahabatnya lagi.

Kedengaran pintu surau dibuka. Khayra berpaling. Sahabatnya tersenyum,memberi salam di muka pintu.

“Jom tadabbur?”

Kami berdua tersenyum. Ya, Indah. Indah perasaan ini. Moga Allah membantu dia untuk terus berperasaan sebegini. Moga dia tidak berputus-asa saat diuji kelak, akan datang. Kerana Khayra yakin,Dia pasti ada dan Dia tidak lenyap!

IL

aku muslim dia kafir...



asbab nuzul :
Surah ini turun disebabkan orang kafir Qurasiy menawarkan kepada nabi muhammad harta kekayaan, sehingga menjadi orang yang terkaya di Makkah, dan akan dicarikan dengan perempuan yang paling cantik, tetapi dengan syarat agar nabi menghentikan untuk mengatakan yang tidak baik terhadap tuhan merka (berhala), dan jika tidak mau juga mereka menawarkan bagaimana jika satu tahun mereka menyembah Allah dan nanti tahun kemudian muhammad menyembah tuhan mereka, maka Allah memberikan perintahnya kepada Nabi Muhammad dengan turunnya surah al kafirun.
sumber: sini

saya yakin surah ini pastinya sangat dekat dengan kita. jika bukan dalam solat, pasti waktu2 lain, misalnya sebelum tidur. kan?

jadi mungkin tak ada masalah rasanya nak memahami surah ini. secara ringkas nya. ayat ini telah jelas memberitahu kita, bahawa sembahan kita, tidak mungkin dan selama-lamanya tak akan sama dengan sembahan orang2 kafir.

jadi untuk post kali ini, saya ingin membincangkan 3 point utama yang terdapat di dalam surah ini iaitu,
1. tegas menolak amalan menyekutukan Allah.
2. iman teras jati diri mukmin.
3. toleransi antara agama.

pertamanya, dalam surah ini Rasulullah dengan tegasnya menjawab permintaan daripada golongan kafir Quraisy yang telah menawarkan harta kekayaan kepada nabi. baginda yang sangat terkenal dengan sifat2 mahmudah yang sentiasa disenangi oleh semua sahabat baginda hatta musuh2 baginda tetapi dengan tegasnya menolak sebarang perbuatan yang membawa kepada perkara mempersekutukan Allah s.w.t. kita seharusnya mencontohi baginda dalam menangkis agenda2 musuh islam yang sentiasa menjadikan kita jauh daripada Allah.

 cukup sahaja kita mengira seberapa banyak masa yang kita luangkan dalam sehari untuk mengingati Allah? mungkin sahaja masa yang kita luangkan sehari-hari lebih banyak tertumpu kepada perkara2 duniawi misalnya laman sosial filem drama dan sebagainya. begitulah sebenarnya musuh-musuh islam telahpun mengalihkan tumpuan dan fokus utama kita iaitu mentaati tuhan kepada perkara-perkara lagha yang sememangnya melalaikan selain ia juga telah mencuri sebahagian besar masa kita. Justeru itulah kita harus tegas dan berdisiplin dengan prinsip kita sendiri agar tidak mudah menerima pemikiran-pemikiran yang boleh membawa kita kearah mensyirikka tuhan.


seterusnya, sebagaimana rasulullah tegas berpegang kepada prinsip-prinsip islam itu sendiri, iaitu dengan tidak menyekutukan Allah dengan sembahan yang lain, begitu jugalah kita yang setiap hari terdedah dengan pelbagai kemungkinan yang sukar untuk dijangka. apabila sampai kepada suatu masa dimana iman kita diuji dengan ujian sama ada kita masih bergantung kepada Allah ataupun menjauhkan diri dari Allah. hakikatnya, seorang mukmin yang sejati tidak goyah dengan apapun ujian yang menimpanya kerana baginya, setiap ujian adalah nikmat Allah, bahawa Allah masih mngingati dirinya sehinggakan diberi ujian .

persoalannya disini, bagaimana progress iman kita sehari-hari? adakah sentiasa turun atau pun sentiasa naik? hakikatnya, iman manusia adalah yang sentiasa turun dan naik. justeru itu kita memerlukan sesuatu yang akan menbuatkan kita selalu mengingati Allah supaya iman kita sentiasa meningkat hari demi hari. iman yang ada dalam diri kitalah sebenarnya yang membentuk kita siapa hari ini kerana iman itu hakikatnya adalah jati diri kita. jika kita menghadiri mana-mana program jati diri sekalipun, pastinya kita diminta untuk menunaikan kefarduan kita sebagai seorang muslim kerana jati diri yang hebat sebenarnya bermula dari iman yang ada pada diri kita.



seterusnya adalah bagaimana kita memandang amalan dan kepercayaan agama lain. jika kita mempelajari prinsip-prinsip agama lain, kita akan menemui suatu titik persamaan iaitu setiap agama menyuruh menganutnya mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan melarang melakukan jenayah atau kerosakan di muka bumi ini. Malaysia adalah sebuah negara yang meraikan kepelbagaian budaya dan agama. justeru, adalah penting bagi kita memahami konsep toleransi antara agama ini. sejak dari sekolah rendah lagi kita di ajar supaya bersatu padu dalam membangunkan sebuah negara tanpa mengira warna kulit. tetapi harus juga di ingati, perkara-perkara yang boleh diperlisihkan adalah perkara-perkara yang disebut sebagai perkara cabang sahaja yang dibenarkan di dalam islam untuk sebarang khilaf. dan perkara pokok ataupun prinsip yang sudah tertulis nas nya di dalam al-quran dan sunnah adalah haram untuk di persoalkan.

kita memandang kepelbagaian budaya dan agama di negara kita sebagai sesuatu yang unik dimana negara-negara lain, hatta negara maju sekalipun kagum dengan perpaduan dan toleransi yang dalam negara kita. toleransi bukanlah bermaksud membenarkan sahaja perbuatan orang lain, tetapi tindakan dimana seseorang menghargai atau menghormati setiap tindakan yang orang lain lakukan. justeru kita sebagai seorang muslim tidak seharusnya memandang agama lain dengan rasa benci yang menebal tetapi cuba memahami budaya mereka supaya apa yang telah diamalkan oleh nabi kita iaitu  'dakwah melalui tauladan' boleh di adaptasi dalam usaha kita menyebarkan lagi fahaman agama islam. 

justeru, disamping kita membaca surah ini di dalam solat atau zikir atau sebelum tidur, marilah kita sama-sama mengamalkan apa yang terkandung dalam surah ini dalam kehidupan seharian kita.

Wallahu'alam.

Akrimi mathwa

Friday, 16 January 2015

[BLANK] edisi sulung tahun 2015

[Repost semula]
Assalamualaikum!
Disini disertakan [BLANK] edisi sulung tahun 2015. Bagi yg masih belum berkesempatan, bolehlah membacanya di sini. Sekadar peringatan comel untuk kita bersama. :;(∩ ˘Ï‰˘ ∩);:
Oh ya. Ada berita mengenai [BLANK] yg mahu kami kongsikan. Nak tahu? Tunggu keluarannya awal Februari nanti.
Moga kita dalam rahmat Allah sentiasa :)










ISU KPOP: eh, gelabah lah kau!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kali ini penulis ingin membincangkan serba sedikit tentang isu semasa yang berlaku dalam kalangan kita. Jika kita lihat dalam laman sosial cukup heboh isu tentang beberapa remaja perempuan yang dikatakan berpelukan dengan mamat Korea yang digelar sebagai artis KPOP. Isu ini terus menjadi “viral” atau seperti “pisang goreng panas” di Negara kita. Bukan apa, penulis pada mulanya tidak tahu mengenai perkara ini terus jadi ambil tahu apabila terlihat di laman twitter tentang perkara ini. 




Penulis terdetik untuk mengupas isu ini apabila melihat begitu ramai “keyboard warrior” yang menyuarakan pendapat, luahan dan segala yang berkaitan tentang isu ini. Antaranya :

“Bapaklah perempuan2 tu, nama je pakai tudung tapi peluk2 cium2 bagai dengan mat2 KPOP tuh!”

“Dah x thu ke hukum peluk laki pompuan mmg HARAM! Bila jadi kat org melayu ngan Korean bkn bising ckp HARAM bagai, tp kalo dlm drama tu sesame melayu tu ko X KISAH lak!”

“malu sama perempuan tuh… kalo nak berpeluk ngan mat KPOP tu pon baik x yah pakai tudung tu, klo berhijab tp perangai mcm setan x de maruah buat ape!”

Dan banyak lagi yang penulis baca dari pelbagai laman sosial. Sampai isu ini menjadi tajuk hangat berita mahupun surat khabar tempatan. Hari ini penulis dengar berita pihak JAWI ingin  waran tangkap dikeluarkan terhadap perempuan-perempuan itu.


Cuba kita renung sekejap, jika kita lihat “fenomena” yang berlaku dalam masyarkat kita pabila wujudnya isu-isu sensasi seperti ini. Dari aspek kaca mata penulis dapat gariskan perkara-perkara ini untuk kita telusuri bersama:

a) Permainan Halal Haram
b) “Judge a HEART by its HIJAB”
c) Pelaburan DOSA terbuka

Permainan Halal Haram

Penulis melihat melalui isu ini sebenarnya masyarakat kita di Malaysia terlalu sensitif mengenai isu halal haram sehingga wujud situasi HALAL HARAM YANG DIDISKRIMINASI. Cuba kita lihat sewaktu isu coklat Cadbury dikatakan ada DNA babi dulu, bukan main lagi ramai orang bising melenting samak nak samak darah bagai sebab apa, sebab semua sedia maklum bahawa MAKAN BABI HARAM. Tapi mengapa pulak masyarakat tidak pernah bising melenting bagai pasal ISU AURAT yang meupakan kewajipan umat Islam dan menayangkan walau seurat rambut sekalipun hukumnya HARAM seperti pemain-pemain bola sepak, penyanyi-penyanyi “free hair” itu? 

Sama  seperti isu KPOP ni, apabila dilihat seorang anak dara bebangsa Melayu berpeluk di atas pentas dengan seorang artis Korea terus kita melenting berteriak hukumnya HARAM atas bab-bab IKHTILAT laki sama pompuan yang memang pada asalnya hukumnya memang haram. Tapi mengapa apabila kita lihat di adegan-adegan drama filem bagai, kita seolah-olah MENGHALALKAN lelaki melayu dan perempuan melayu bersentuhan, berpelukan bagai sedangkan sudah terang lagi bersuluh hukum ikhtilat memang HARAM?



Jadi inilah yang berlaku dalam masyarakat kita pabila HUKUM HALAL HARAM DIJADIKAN SEBUAH PERMAINAN. Pabila perkara haram yang menjadi kelaziman kepada kita senantiasa DIHALALKAN dan pabila muncul suatu perkara haram yang melanggar kelaziman dan norma masyarakat kita terus menjadi JAUHARI YANG MENGENAL PERKARA HALAL HARAM ini. 

“Judge a HEART by its HIJAB”



Penulis berasa cukup tidak selesa apabila isu KPOP ini berlaku. Ramai yang memberi komen-komen negatif cacian makian bagai yang mesti bermula dengan “pakai tudung/hijab… bla bla bla…” seolah-seolah ingin menghentam atau ingin mem”bash” mereka hanya kerana mereka pakai tudung/hijab.

Isunya ialah masyarakat kita sekarang situasinya TERLALU CEPAT MENGHUKUM DARI MENILAI apabila isu seperti ini terjadi. Menyatakan perempuan tersebut tidak ada maruahlah, ahli nerakalah, si pelaku maksiat dan sebagainya. Kerana dilihat si pelaku nya bertudung berhijab terus menyerang perempuan itu dek kerana tudung mahupun hijabnya. Sama sajalah seperti situasi di BARAT sana melalui ISLAMOFOBIA, ISLAM IS TERRORIST sehingga apabila dilihat orang Islam memakai serban terus dianggap pengganas.

Dalam ISLAM sendiri ditekankan apabila kita melihat suatu kemungkaran kita hendaklah MEMBENCI PADA PERILAKU, BUKANNYA PADA PELAKU. Namun apa yang terjadi ialah semua pihak terus menyerang ketiga-tiga perempuan tersebut secara SERKAP JARANG tanpa usul periksa. Kita terus menuduh tanpa mengetahui apa keadaan sebenar yang berlaku sewaktu kejadian.

Kalau kita tahu bahawa “Don’t jugde a book by its cover”, jadi sudah semestinya anda semua faham tentang “Don’t judge a heart by its hijab” kan?

Pelaburan DOSA Terbuka

Mesti anda tertanya kenapa penulis menyatakan sedemikian?  Cuba kita lihat kembali apabila isu ini menjadi viral di laman sosial, tv sebagainya, berapa ramai yang memberi “pendapat”? Pendapat yang dimaksudkan di sini terdiri daripada dua jenis dari mata penulis iaitu pendapat negatif yang berunsur cacian makian kutukan dan yang seangkatan dengannya dan pedapat “positive” yang cuba untuk mempertahankan KPOP itu sendiri.

Isunya apabila perkara ini belarutan sehingga menjadi “pertarungan” yang sangat sengit dalam laman sosial. Cuba kita fikir apabila pakat ramai yang share, retweet semua komen pendapat yang negatif tanpa mengetahui perkara yang sebenar. Adakah itu sudah dikira sebagai MEMFITNAH? Secara tidak langsung kita telahpun MELABUR dalam AKAUN DOSA yang dicipta dalam laman sosial. Itu kalau kita sebagai orang tengah yang membuat perkara itu. Bagaimana pula dengan individu-individu  yang sengaja membikinkan isu ini menjadi sepanas-panasnya? Fikir-fikirkanlah…

Islam mengajar kita untuk BERDAKWAH SECARA BERHIKMAH. Dalam isu KPOP majoriti kita seolah-seolah meletakkan emosi di hadapan lantas mem”bash” pelaku itu sekeji-keji yang boleh. Sedangkan kita yang memahami AMAL MAKRUF NAHI MUNGKAR ini yang sepatutnya memberi nasihat dalam keadaan yang sepatutnya bukan terus mengaibkan insan tersebut di laman sosial. Situasi inilah yang penulis katakan kita berada dalam pelaburan dosa terbuka pabila wujud isu ini.

 Kesimpulan 


Penulis ingin rangkumkan daripada tiga perkara yang telah telusuri tadi ialah sentiasa BERFIKIR SECARA RASIONAL dalam semua perkara. Mungkin ini semua salah kita yang sudah memahami apa itu Islam tidak tampil dan cuba mendekati insan-insan yang masih berada jauh dalam perjalanan yang sebenar. Ya penulis yakin dan percaya bahawa situasi ini berlaku kerana masyarakat masih kurang pemahaman tentang Islam itu sendiri. Jadi, apa peranan kita? 
Sekian. Wallahualam.

zan