Saturday, 17 January 2015

Tuhan Selalu Ada


Doa Fatimah R.A,

“Wahai Zat yang Maha Hidup yang berdiri sendiri,dengan rahmat Mu aku memohon, janganlah Engkau meletihkan jiwaku sekelip mata pun, perbaikilah urusanku semuanya”
(HR Bukhari Muslim)

Khayra berlari menuju ke satu sudut tangga. Dari jauh dia tersenyum. Dia sendiri tidak tahu makna di sebalik senyumannya. Ya, Memang itu tempat kesukaannya. Dari tempat itu,dia dapat melihat bintang di langit dengan jelas. Dapat melihat pokok yang seolah-olah melambai padanya tatkala ditiup angin. Sungguh, dia suka akan suasana sebegitu. Melihat ciptaan Allah yang tak pernah berhenti berzikir kepadaNya. Sungguh menakjubkan,makhluk Allah itu. Sempurna, amat sempurna. Hingga dia bisa dalam kekhusyukan melihat ciptaan Allah itu. Tenang. Damai. Indah.

Al-Quran dibuka, Surah Al-Hujurat dibaca. Khayra tersenyum, Dia sendiri tidak tahu kenapa riak wajahnya sebegitu. Gembira barangkali,membuka Al-Quran yang menjadi kekasihnya saat ini, Malah, jika Allah mengizinkan, hingga akhir hayat dia mahu tersenyum, tidak sabar membaca ayat-ayat cinta dari Allah yang esa. Firman Allah dalam surah itu dibaca satu persatu. Dalam Surah Al-Hujurat ini, pelbagai teguran ditegur olehNya. Mendalam,menusuk ke qalbu. Mata Khayra terhenti pada ayat 7 surah itu. Berulang kali dia membaca ayat itu. Ada yang menarik hatinya. Di sebalik pelbagai teguran oleh Allah dalam surah ini, diselitkan satu ayat yang begitu lembut,memujuk hambaNya,menyedarkan hati hambaNya tentang kebesaranNya.

“……Tetapi Allah menjadikan kamu cinta pada keimanan dan menjadikan (iman) itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekufuran,kefasikan dan kederhakaan. Mereka itulah orang yang mengikuti jalan yang lurus”(49:7)

Mata Khayra berair. Entah mengapa ayat 7 ini menyentuh hatinya. Allah, Betapa Maha Pemurah, Maha Penyayang terhadap hambaNya.Betapa ramai diluar sana yang dapat merasa manisnya iman seperti firmanNya dalam Surah Al-Hujurat ini? Berapa ramai yang merasa benar-benar bencinya dia pada kefasikan, kederhakaan seperti ayat ini? Satu persatu persoalan bermain di fikiran Khayra. Ya, Sudahlah kita sedang bertatih menujuNya, Tapi kita sedang membuat dosa setiap hari, yang membuatkan kita MERANGKAK menujuNya. Astagfirullah, Hinanya kita, Sebagai hambaNya. Manusia, Mudah benar lupa! Sekali diberi nikmat,sekali itu sahaja diingatnya. Hah, Bila ujian melanda, Merungut aje kerjanya. Mata Khayra tertumpu pada sejadah di hadapannya. Memori lama dikenang.

“Khayra,kau dah tengok senarai student yang kena retest?Aku dengar cerita ramai jugak”

Waktu tu,dia bergegas ke pejabat. Memeriksa jika dia tersenarai dalam kelompok tersebut. Ya, Waktu itulah mendung datang. Allah benar-benar menguji setakat mana cintanya pada yang Esa.

“kenapa aku yang diuji?Banyak sangat ke dosaku, hingga aku perlu menghadapi ujian ini?”

Khayra mengetap bibirnya. Geram. Ahhh, Geram dengan dirinya waktu itu. Jahil. Membaca Al-Quran, Tapi tak ada input yang dapat, Macam tu la jadinya. Geram dengan kata-kata yang diungkapkannnya ketika itu. Kenapa dia begitu buta waktu itu? Padahal,,ketika ujian itu hadir, disitulah pergantungan padaNya diuji!

“Dari ujian itulah Allah menunjukkan kasih sayangNya. Tapi kita tak sedar bukan? Bila Allah timpakan ujian pada kita, yang kita nampak hanya sisi buruknya.mata kita seolah-olah terhijab untuk melihat kebaikan disebalik ujian yang menimpa.”

Kata-kata naqibahnya terngiang-ngiang di telinga. Manusia, saat ditimpa ujian, barulah tergesa-gesa meminta pertolonganNya. Tapi, setelah ujian yang dihadapi berjaya diharungi?? Mana perginya rintihanmu pada yang Esa? Mana perginya doamu serta linangan air matamu? Dalam perjalanan kita menghadapi ujian dalam hidup ini,tanpa kita sedar sudah berapa banyak kita berjaya melaluinya satu persatu, dengan izinNya serta redaNya. Tapi, mungkin kita lupa siapa yang membantu kita saat menghadapi ujian itu. Sedih. Khayra tidak mampu bertahan lagi. Cukuplah pengajaran yang lalu menjadi muhasabah untuk dirinya. Biarlah dia menangis sepuas-puasnya saat menghadap Allah Yang Esa. Ya, Memang mata ini wajar menangis keranaNya! Mata ini juga ciptaanNya, Ia wajar tunduk dan menangis kepadaNya, bukan pada hal dunia.

Deringan telefon mematikan lamunannya tentang kisah lalu. Jam mendekati angka 6.00 pagi. Sebentar lagi, azan subuh akan kedengaran. Mesej Whatsapp dibuka.

“Rindu nak bertadabbur dengan Khayra!”

Khayra tersenyum. Tak dinafikan, mesej tersebut mencairkan hatinya. Benar-benar memikat hatinya pada ayat-ayat cintaNya. Allah, betapa dia bersyukur mempunyai sahabat yang sentiasa membawa kebaikan. 

Teringat kata-kata sahabatnya itu,
“Tadabbur, perlu guna mata hati. Al-Quran, bukan hanya membaca. Kalau hanya dibaca sekelip mata, samalah macam kita baca komik kat luar sana, baca dan faham time baca tu je”

Ya. Dia setuju. Al Quran bukan macam buku Calculus kita! Bukan macam buku circuit yang kita belajar tu. Al Quran tak ajar, differentiate nilai x dapat apa ….Tapi Al Quran itu mengajar semuanya, ya, mengajar cara hidup as muslim. Untuk berjaya,tak kira dalam calculus, kerjaya, etc, kuncinya hanya satu,ayat-ayat cinta dariNya.

“Semua rahsia terbongkar di dalamnya. Tak percaya, bukalah Al Quran, tadabbur la guna hati!” sambung sahabatnya lagi.

Kedengaran pintu surau dibuka. Khayra berpaling. Sahabatnya tersenyum,memberi salam di muka pintu.

“Jom tadabbur?”

Kami berdua tersenyum. Ya, Indah. Indah perasaan ini. Moga Allah membantu dia untuk terus berperasaan sebegini. Moga dia tidak berputus-asa saat diuji kelak, akan datang. Kerana Khayra yakin,Dia pasti ada dan Dia tidak lenyap!

IL

No comments: