Monday, 26 January 2015

Jom Ponteng!


Tak tahulah betapa banyak shaiton bertenggek dekat kelopak mata sampai nak bangun pagi bagaikan nak berperang dekat Gaza rasanya. Kelas dah nak mula tapi masih berteleku atas katil sambil tuala dililit ala-ala turban gaya Yuna. Terdetik di hati kecil ini, apa kata aku ponteng kelas hari ini? Lagipun belum pernah rasanya diri ini gagal menjelmakan diri dalam kelas. Apa salahnya sekali sekala merasa sedikit manisnya kenakalan. Sekurang-kurangnya apabila sudah berjaya mengenggam segulung ijazah dalam tangan, ada benda yang menarik untuk dikenang kembali. Taklah kita dilabel budak nerd atau suci murni bagai kain putih tanpa noda walau sekelumit jua. *ketawa*


Dengan hati berbolak-balik menuju ke tandas, tiba-tiba teringat akan satu cerita yang muncul dalam minda bagaikan tersambar kilat dengan voltage infiniti terus menusuk ke dalam hati. Cerita masyhur mengenai  dua orang adik beradik lelaki.

Si Abang, sejak kecil dikenali baik, alim, soleh dan sangat taat melakukan ibadah. Dia tidak suka menyakiti hati orang lain.Tidak suka bergaduh dan mencari pasal dengan orang lain. Waktu mudanya dihabiskan di masjid. Dia tidak suka bergaul dengan wanita yang bukan mahramnya. Pernah satu ketika dia digoda dan dipujuk rayu oleh sepupunya cantik menawan namun ia tetap teguh dalam keimanannya. Kerana amalnya serta perbuatan berakhlak mulia ini, dia dicintai oleh keluarga dan dikasihi oleh kebanyakkan orang disekelilingnya.

Sedangkan adiknya, sangat berbeza dengan abangnya. Sejak kecil si adik terkenal dengan kenakalannya. Alam remajanya dipenuhi dengan segala bentuk maksiat dan dosa. Rumah pelacuran adalah tempat biasa baginya. Hampir setiap hari dia mabuk dan melakukan pelbagai macam maksiat di rumah pelacuran miliknya. Kadang-kadang ia juga melakukan rompakan bersama teman-temannya bahkan ia juga terlibat dengan aktiviti yang tidak bermaruah. Hampir segala jenis maksiat dan perbuatan yang menjijik telah dilakukan untuk memuaskan hawa nafsunya. Perbuatannya yang jahat itu membuatkan dirinya terus menerus dibenci oleh keluarga dan masyarakat.

Suatu hari, sang abang yang alim dan ahli ibadah itu merenung ketika bersendirian. Tiba-tiba dengan halus nafsunya berkata kepadanya :

” Sejak kecil kau selalu berbuat kebaikan dan beribadah. Kau telah mendapat tempat dihati masyarakat dan dikenal sebagai orang yang baik. Namun kau tidak pernah merasakan nikmat hidup sedikit pun. Kenapa tidak sesekali kau datang ke tempat adikmu menghiburkan diri di rumah pelacurannya. Sesekali sahaja. Setelah itu kau boleh bertaubat. Kau boleh membaca istighfar ribuan kali dalam solat tahajjud. Bukankan Allah itu Maha Pengampun?”


Pujukan hawa nafsunya itu ternyata masuk dalam pemikirannya dan hatinya. Syaitan pun dengan sangat halus masuk aliran darahnya dan lantas ia berkata kepada diri sendiri :

” Benar juga. Kenapa aku tidak sesekali menghibur diri? Hidup Cuma sekali. Malam nanti aku mahu menari dan bersenang-senang bersama wanita cantik di rumah pelacuran adikku. Setelah itu aku pulang dan bertaubat kepada Allah SWT. Dia Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.

Sementara itu dirumah pelacuran. Adiknya juga merenung. Ia merasa amat kekosongan dengan hidup yang dijalaninya. Nuraninya berkata:

”Sudah bertahun-tahun aku hidup bergelimang dosa. Bermacam maksiat telah aku lakukan. Apakah aku akan hidup begini terus? Keluarga membenciku kerana perbuatanku. Juga masyarakat, mereka memusuhiku kerana kejahatanku. Kenapa aku tidak mencuba hidup baik-baik seperti abang. Ah, bagaimanakah esok kalau aku telah mati. Bagaimanakah aku harus mempertanggungjawabkan perbuatanku. Kalau begini terus, kelak aku akan masuk neraka. Hidup susah di akhirat sana. Sementara abangku akan hidup nikmat di syurga.Tidak! Aku tidak boleh terus hidup dalam lembah maksiat. Aku harus mencuba hidup di jalan lurus. Malam nanti selepas Maghrib aku akan ke masjid tempat abang beribadah. Aku mahu bertaubat dan ikut solat. Aku mahu kembali ke pangkuan Allah SWT. Aku mahu beribadah sepanjang sisa hidupku. Semoga Allah mahu mengampuni dosa-dosaku yang lalu.”
Dan benarlah. Ketika malam tiba, kedua saudara itu melaksanakan niat mereka masing-masing. Selesai solat Maghrib di masjid, sang abang kembali ke rumah, ganti pakaian dan bergegas menuju rumah pelacuran. Adapun sang adik, telah pergi meninggalkan rumah pelacuran sebaik mendengar suara azan Maghrib. Jalan yang diambil dua saudara itu tidak sama sehingga keduanya tidak berjumpa di tengah jalan.

Sampai di rumah pelacuran sang abang mencari adiknya. Namun tidak ada. Orang-orang yang ada di rumah pelacuran tidak ada yang tahu ke mana adiknya itu pergi. Meskipun adiknya tidak ada ia tetap melaksanakan niatnya. Nafsu telah menguasai seluruh akal fikirannya. Ia pun menuruti segala yang diinginkan nafsunya di rumah pelacuran itu bersama para penari dan pelacur.

Di tempat lain, sang adik sampai di masjid tempat abangnya biasa beribadah. Ia sudah bertekad bulat untuk bertaubat meninggalkan semua perbuatan buruknya. Ia mengambil whuduk dan masuk ke dalam masjid. Ia mencari-cari abangnya, ternyata tidak ada. Padahal biasanya abangnya selalu beriktikaf di masjid selepas Maghrib sampai Isyak. Ia bertanya pada penjaga masjid, namun ia tidak tahu ke mana perginya. Meskipun tidak ada abangnya, niatnya telah nekad. Ia melakukan solat dan beristifar sebanyak-banyaknya dengan bercucuran air mata.

Tiba-tiba bumi bergoncang dengan hebatnya.


” Awas , ada gempa! Ada gempa!” teriak orang-orang di jalan. Orang-orang panik keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Takut kalau-kalau rumah mereka runtuh. Sang adik yang sedang larut malam kenikmatan taubatnya tidak berganjak dari dalam masjid. Ia tidak merasakan ada gempa. Demikian juga sang abang yang saat itu terlena di rumah pelacuran. Ia sama sekali tidak merasakan gempa. Goncangan gempa malam itu cukup kuat. Beberapa bangunan roboh. Termasuk masjid dan rumah pelacuran.

Keesokan harinya. Sang abang ditemui mati di antara runtuhan rumah pelacuran di samping mayat seorang penari wanita dalam keadaan yang memalukan. Sedangkan adiknya juga ditemui mati diantara runtuhan masjid. Kedua tangannya mendakap sebuah mushaf di dada.

Masya Allah. *nangis laju-laju*

Bagaikan Allah sedang berbicara berhadapan dengan aku, membisik nasihat secara halus, tatkala hati terdetik niat serupa. Manusia itu memang lemah kerana itu Allah memberi kita manual lengkap cara kehidupan melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Bosan berada dalam kebaikan bukan bererti kita perlu melakukan kejahatan tetapi adalah petanda supaya kita terus bergerak ke hadapan. Hidup adalah perjalanan dan setiap benda yang tidak bergerak adalah tidak bererti. Kalau kita belajar bersengkang mata tiga tahun untuk dapat diploma, adakah selepas kita berjaya mendapat sijil tersebut, kita akan mengulang tiga tahun lagi untuk mendapat diploma yang serupa? Tidak! Sebab kita tahu perkara tersebut tidak berguna. Tetapi kita akan terus melangkah meraih ijazah, master dan phD. Begitulah juga kita dalam kehidupan, menjadi lebih baik itu sukar, tapi nikmatnya? Macam syurga!


*senyum pergi kelas*


-kicap-

No comments: