Friday, 22 May 2015

TANGISAN ROHINGYA

Bismillah.

Bertemu kita lagi dalam ruangan Isu Semasa. Kali ini penulis ingin kita sama-sama melihat dan memikirkan satu isu yang perlu kita berikan perhatian sebagai seorang muslim yang sedang mengejar impian untuk menjadi mukmin yang sejati.

Yup, selari dengan tajuk yang penulis gariskan pada awalnya iaitu:

“TANGISAN ROHINGYA”

Rohingya merujuk kepada umat Islam yang menetap di utara Rakhine, Myanmar. Mereka mula menetap di Burma (Myanmar) sejak awal kurun ke 15 lagi. Namun, berlakunya migrasi besar besaran penduduk Islam Rohingya ke Myanmar apabila mereka telah dibawa masuk oleh British sebagai buruh pertanian pada tahun 1826. 

Perselisihan yang berlaku antara penduduk Islam Rohingya dan penganut Buddha di Myanmar mula tercetus apabila tercetusnya keganasan dalaman melibatkan tentera British (yang sebahagian besarnya dianggotai oleh umat Islam Rohingya) dan penganut Buddha Rakhine. Sejak itu, hubungan di antara mereka menjadi tidak stabil. Dalam istilah sosialnya, telah berlaku polarisasi antara dua komuniti ini sejak peristiwa itu.  Tambahan lagi, kerajaan junta tentera Myanmar pimpinan Jeneral Ne Win telah memperkenalkan citizenship law pada tahun 1982 yang sekaligus menafikan hak penduduk Islam Rohingya lantas menghalalkan segala perbuatan yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya. Memburukkan lagi keadaan, mereka turut ditindas dengan begitu kejam sekali oleh sekumpulan penganut Buddha ekstremis di sana dan juga kerajaan Myanmar, di bumi mereka sendiri.

Pelbagai penderitaan yang dihadapi umat Islam Rohingya ini, antaranya tanah mereka dirampas, masjid-masjid dimusnahkan, dibunuh dengan kejam dan lebih teruk lagi maruah agama Islam mereka dicabul apabila mereka dipaksa keluar Islam dan beralih kepada anutan agama Buddha.

Walaupun umat Islam Rohingya telah ditindas buat sekian lama, dunia akhirnya membuka mata apabila umat Islam Rohingya nekad untuk keluar dari Myanmar dengan menaiki kapal kapal usang lantas menjadi “penduduk” atas lautan Allah S.W.T. untuk melarikan diri mereka daripada seksaan dan penindasan serta demi menjaga kesucian agama Islam. Lebih menyayatkan hati, apabila berita melaporkan bahawa salah sebuah bot tersebut yang membawa lebih kurang 500 pelarian umat Islam Rohingya, kebanyakannya daripada kaum hawa dan kanak-kanak telah mengalami masalah kebuluran yang teruk setelah sekian lama berada di atas lautan.

Persoalan yang penulis ingin utarakan sekarang:

“Apa tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah ini?”

Amatlah sedih apabila pada mulanya tidak ada sebuah negara pun terutamanya negara-negara Islam ASEAN yang begitu dekat dengan umat Islam Rohingya pada waktu itu, sekadar menutup mata sahaja dan tidak mengambil sebarang tindakan. Mengapa perkara ini boleh berlaku?

kredit kepada HeartVoker
Pada perspektif penulis, tiga faktor major yang menyumbang kepada polemik yang sangat serius ini:

  1.       “Sempadan” & “Garisan”
  2.          Hak sebenar yang di”batil”kan
  3.         Kita RASIS ?

'Sempadan' & 'Garisan'



kredit kepada HeartVoker


Kita sememangnya tidak sedar bahawa kita hidup dalam keadaan yang bergarisan mahupun bersempadan. Ya, kita hidup berdasarkan konsep dan ideologi negara bangsa yang diangkat oleh Barat. Dek kerana isu yang terjadi ke atas umat Islam Rohingya berlaku di negara Myanmar dan bukannya di negara kita sendiri, negara kita secara tidak sedar, memandang sebelah mata sahaja dan tidak begitu mengambil berat akan isu yang sekian lama berlaku ini.

Umat Islam Rohingya dibiarkan begitu sahaja di Laut Andaman tanpa dibenarkan untuk memasuki mana mana negara sekalipun setelah mereka didapati telah menyeludup masuk ke dalam sempadan negara Thailand, Indonesia dan Malaysia. Tidak dinafikan, mereka telah melanggar hak sempadan negara lain apabila telah menceroboh dan menetap tanpa kebenaran yang sah. Namun, logik akalnya, adakah kita sanggup untuk tinggal di tanah air sendiri yang tidak mengiktiraf hak kita dan menyeksa kita dengan kejamnya? Adakah kita sanggup untuk tinggal di tempat yang penuh dengan ancaman ekonomi, politik juga sosial?

Pastinya kita juga akan melakukan apa sahaja untuk meneruskan kehidupan. Termasuklah menggunakan cara yang salah sekalipun. Sayangnya, kita mungkin terlupa untuk cuba memahami situasi mereka. Kita tidak prihatin akan apa yang terjadi kepada mereka. 

Kerana apa? Kerana kita sendiri terperangkap dalam sempadan negara bangsa yang kita cipta sendiri.  Meskipun pelarian Rohingya berbeza warna kulit, bangsa dan negara, namun satu fakta yang kita harus ingat bahawa mereka juga ialah umat Islam, yang kini sedang berjihad dalam mempertahankan agama Islam di bumi mereka sendiri.

“Sesungguhnya penyatuan umat Islam hanya berlandaskan tali Allah, iaitu hanya kepada kepercayaan yang sama iaitu Islam.” 


Fikirkan mengapa sewaktu isu Palestin terjadi (dan kini masih berterusan), negara Mesir dan Arab yang lain langsung tidak memberi bantuan yang sewajarnya? Dan isu umat Islam Rohingya pun diendahkan oleh negara-negara ASEAN sendiri? Dek kerana apa? Kepentingan ekonomi?  Kepentingan politik? Bukan… Kerana kita sudah terperangkap dalam sempadan dan garisan lantas menjadi buta untuk mempertahankan umat Islam yang tertindas di negara lain.

Hak sebenar yang di'batil'kan

Umat Islam Rohingya telah dinafikan hak mereka untuk mendiami Myanmar. Tanpa sebab yang jelas dan kukuh, mereka telah dihalau dari negara sendiri. Ditindas tanpa perikemanusiaan oleh kerajaan yang sepatutnya melindungi mereka. Hak sebenar mereka telah dibatilkan oleh pihak pihak tertentu!

Dan perkara ini tidak pernah menjadi agenda untuk dibincangkan. Tidak ada pihak yang betul betul memperjuangkan hak mereka. Malah menurut Amnesty International, mereka mengalami rampasan hak yang begitu teruk sekali. Sekalipun langkah ke arah mengiktiraf umat Islam Rohingya telah dijalankan, ia sekadar melepaskan batuk di tangga. 

Mengapa kita langsung tidak berasa serba salah apabila melihat nasib saudara-saudara kita sendiri, umat Islam yang bertarung mendapatkan hak mereka di negara sendiri? Kita hanya memandang isu ini secara enteng sahaja kerana kita beranggapan akan ada pihak yang membantu pihak mereka. Kita merasakan yang akan ada NGO kemanusiaan lain yang sudi membantu mereka. Sedangkan kita, jarang sekali memikirkan keadaan mereka yang sedang dizalimi, secara fizikal, mahupun psikologi.

Sedangkan:

“Sesungguhnya (hubungan) orang mukmin dengan orang-orang yang beriman adalah seperti (hubungan) kepala dengan seluruh badan. Seorang mukmin akan merasakan sakit kerana orang mukmin lainnya sebagaimana badan akan merasa sakit kerana sakitnya pada kepala” [Hadis Riwayat Imam Ahmad]

Kita RASIS?!

Cuba kita fikirkan sejenak, sewaktu dunia dihebohkan dengan isu keganasan rejim Zionis Israel terhadap Palestin, betapa tingginya semangat kita untuk berjihad memberi pertolongan yang sewajarnya dengan usaha yang paling jelas dengan memboikot barangan pengeluaran yang ada kaitan dengan negara Israel laknatullah itu.

Begitu juga dengan isu umat Islam di Syria apabila bantuan dihulurkan oleh semua lapisan masyarakat di negara kita. Namun begitu, mengapa ketika isu umat Islam Rohingya sedang berlaku, negara kita Malaysia yang berstatuskan negara Islam yang juga pernah menjadi pengerusi negara-negara OIC tidak mengambil tindakan yang sewajarnya?

Apakah bezanya umat Islam Rohingya tersebut dengan kita? Dek kerana umat Islam Rohingya itu berasal daripada negara Myanmar, negara junta tentera bukannya sebuah negara Islam lantas kita boleh untuk tidak mengambil berat isu ini, seperti mana kita mengambil tahu isu umat Islam di Palestin dan di Syria. 
Ini yang penulis maksudkan kita menjadi rasis dengan isu umat Islam Rohingya ini.
Sedangkan:

“Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, tidak boleh menzalimi dan membiarkannya dizalimi” [Hadis Riwayat Muslim, At-Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad]


 Jadi, jika kita bersikap rasis dengan isu umat Rohingya ini, bukankah kita secara halus telah menzalimi mereka? Nauzubillah.
kredit kepada HeartVoker

Peranan Kita?

Tiga perkara yang dihuraikan sebentar tadi hanyalah berdasarkan analisis penulis yang melihat isu umat Rohingya ini semakin hari semakin parah dan tenat. Apa yang penulis boleh simpulkan ialah kita harus mula bekerja dari sekarang demi Islam. Bermula dengan melaksanakan tanggungjawab asas kita sebagai umat Islam itu sendiri. Prihatin dan mengambil berat akan situasi umat Islam di serata ceruk dunia, tanpa mengira bangsa, warna kulit mahupun rupa.


Moga penyelesaian hakiki isu ini akan timbul jua. Insyaallah.


 “Berangkatlah kamu baik dalam keadaan berasa ringan ataupun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” [At-Taubah ayat 41]

kredit kepada HeartVoker untuk editing, gambar dari satu website hebat.

[informasi terkini] 

Alhamdulilah, kerajaan Acheh Indonesia telah menyelamatkan dan bersetuju untuk menempatkan umat Islam Rohingya yang tersangkut di Laut Andaman. Kerajaan Malaysia juga bersetuju untuk menghulurkan bantuan yang sewajarnya buat mereka. Malah, kerajaan Turki telah menghantar satu kapal tenteranya untuk menyertai misi menyelamatkan umat Islam Rohingya yang tersangkut di lautan.
Moga Allah terus memberikan kekuatan buat umat Islam Rohingya untuk terus sabar dalam menghadapi musibah yang melanda mereka.

Ditulis oleh
zan


No comments: