Tuesday, 12 July 2016

Tanabata


Setelah habis kelas, maka berjalanlah pulang daripada daigaku (universiti) ke rumah. Nasib baik jarak rumah tak lah begitu jauh daripada daigaku. Ketika seronok melayan perasaan, terperasan pula satu struktur tumbuhan.

Pokok buluh.

Ya, pokok buluh yang digantung padanya potongan potongan kertas yang berisi harapan dan impian. Apa benda ini? Masih lagi lost, maka diputuskan biarkan saja lah. Lantas rasa ingin tahu itu dipendam begitu sahaja.

***

Sewaktu sedang membeli Koala Machi, jenama snek Jepun yang terkenal, bila dibelek belek design pack nya, lain pula kali ini. Special edition.

Tanabata special edition.

Tanabata lagi.



***

Bila ditanya pada kawan Jepun, apa itu Tanabata, rupa rupanya bila masuk bulan tujuh, mereka akan menyambut Tanabata. Di mana perayaan Tanabata ini akan disambut pada tujuh hari bulan tujuh pada setiap tahun. Dan kebiasaannya seawal bulan tujuh bermula, pokok buluh akan didirikan dan potongan kertas pelbagai warna akan diisi dengan wish penulisnya. 

Mitosnya di sebalik perayaan Tanabata yang berasal daripada China ini adalah mengenai kisah seorang puteri yang tinggal di langit dan penjaga lembu. Walaupun mereka sudah berkahwin, namun dek kerana lembu lembu si penjaga ini naik ke langit (kononnya), akhirnya mereka dihalang berjumpa oleh ayahanda puteri ini. Namun kerana rasa kasihan melihat anaknya, maka dibenarkan pertemuan sekali sahaja setiap tahun antara pasangan ini. Iaitu pada tujuh hari bulan tujuh.

Seperti biasanya, bukanlah niat ingin mengulas lanjut mengenai mitos ini, apatah lagi mengenai kertas kertas yang digantung pada buluh. Tapi, yang ingin dicari di sini adalah apa perumpamaannya Tanabata ini dengan kehidupan kita. 

Ada dua perkara yang menarik mengenai Tanabata ini. Apabila tahu sahaja cerita mengenai Tanabata ini, perkara pertama yang terlintas sekali di minda adalah 'pertemuan' kita dengan Ramadan. Bagaimana pertemuan kita dengan Ramadan lalu?

Bermakna kah? 

Seperti yang kita sedia tahu, kita dapat berjumpa dengan Ramadan sekali sahaja setiap tahun. Dan sebagaimana si puteri langit yang rindukan pertemuannya dengan suaminya yang special baginya, begitu jugalah seharusnya kita merindukan Ramadan yang special buat kita semua. Suasananya, amal ibadahnya, ukhuwahnya pasti akan membuatkan kita ingin berjumpa lagi dengan Ramadan tahun hadapan. Tapi, rasa rindu itu tidak seharusnya tinggal rasa rindu sahaja. Kita buktikan dengan berusaha meneruskan momentum yang terbina sepanjang Ramadan mengikut kapasiti yang kita miliki. Kata orang, kalau tak dapat buat semua, jangan tinggal semua. Beribadahlah, seikhlasnya moga kita termasuk dalam rahmatNya. 

Kedua, apabila melihat wish wish, harapan dan impian yang tertulis di kertas kecil yang tergantung di pokok pokok buluh itu, tersedar satu perkara.


Kita manusia penuh dengan pengharapan.

Harapan itu yang sentiasa ada dalam kita.

Harapan itu yang menggerakkan kita.

Harapan itu lah yang menjadikan kita, manusia.

Dan manusia itu melayan harapan dengan tiga cara berbeza. Pertama, mereka yang tidak berharap. Pesimistik. Mereka rasakan harapan itu sudah tiada. Mereka tidak rasa harapan itu perlu. Kerana tiadanya harapan itulah, menjadikan mereka manusia yang penuh negaitviti. The negative vibes itu akhirnya akan terkena kepada orang lain. Tapi, bukan itu yang dirisaukan. Lebih merisaukan lagi, apabila mereka sendiri menderita akibat hilangnya harapan terhadap diri sendiri. Misalnya, kalau diajak berubah ke arah yang lebih baik, maka dia tolak peluang itu. Dia tidak berharap untuk berubah. Harapan itu sudah tiada kerana dia merasakan dia sudah tidak dapat keluar dari dirinya yang sekarang. Sedangkan apa yang dia perlukan adalah harapan untuk berubah, dan insyaAllah akan mudahkan perjalanannya untuk berubah. Sekiranya diri sendiri tidak berharap untuk berubah, masih mampukah orang lain untuk membantunya?

Cara kedua, ada orang, dia berharap, tapi pengharapannya pada perkara yang salah. Sekadar berharap pada perkara yang duniawi mahupun manusiawi. Harapannya agar nikmat dunia dapat dikecapi, harapannya agar manusia mengiktiraf dirinya di atas sekali dan banyak lagi perkara yang bersifat sementara lain, yang akhirnya akan mengheret dirinya untuk menjadi orang yang tidak berharap lagi. Kerana apa? Kerana pengharapannya bersifat sementara. Apabila sementara, maka ia akan hilang. Mungkin dapat dirasa, tapi sekadar sekejap cuma. Dan bila harapannya pergi, dia juga akan pergi. Contohnya, ada orang, dia sedang berubah. Tapi, dek kerana berubahnya dia disebabkan mengharap pada perkara yang salah, akhirnya dia terhenti. Mungkin harapan itu sudah membantunya selama ini, tapi tidak dapat membantu untuk selamanya. Kerana sementaranya harapan yang disandarkan pada perkara dunia atau manusia lain itu.

Dan ketiga, beruntunglah mereka yang berharap pada perkara yang benar. Pengharapannya pada Yang Maha Kekal. Yang ada untuk selama lamanya. Ya! Dia berharap pada Allah swt sahaja. Tidak pada perkara lain. Dan harapan ini tidak akan berakhir dengan kekecewaan kerana harapan ini akan sentiasa ada. Malah ia akan menjadi sumber kekuatan buat dirinya. Jika sedang berada di awan langit, maka harapan inilah yang akan memastikan dirinya terbang tinggi. Dan jika dirinya berada di dasar laut yang paling dalam penuh hitam gelap, maka harapan inilah yang akan menjadi cahaya petunjuk buat dirinya, mengutip mutiara mutiara kekuatan di sepanjang kebangkitan dan akhirnya berenang ke permukaan menikmati mentari harapan!



Optimistik. Impian. Harapan. Jadilah manusia yang sentiasa berharap. Dan letakkan lah pengharapan itu pada tempat yang betul. Luruskan pengharapan kita, harapnya kita sentiasa berada di jalan yang lurus. 

Berharaplah. Bukan sekadar berharap, tapi berusahalah dengan harapan yang tersemat di dada. Bukan sekadar berharap, tapi tidak berbuat apa apa. Itu samalah seperti harapan yang tergantung di pokok pokok buluh sahaja.

:)

No comments: