Monday, 18 July 2016

umi no hi

Assalamualaikum, hari ini di Jepun adalah hari cuti umum sempena umi no hi, iaitu hari laut.


Ehh,


Kenapa cuti untuk laut? Haa, di Jepun, terdapat cuti-cuti yang dikhususkan sempena kejadian alam semula jadi seperti hari laut, hari gunung dan sebagainya.


Bercerita tentang laut, teringat pula admin akan kisah Nabi Musa as dan tongkatnya yang membelah lautan.



Mari kita telusuri semula kisah Nabi Allah Musa a.s. ini seperti yang di ceritakan di dalam surah as-Syua'ra ayat 52-68.


"dan kami wahyukan kepada Musa, "pergilah pada malam hari dengan membawa hamba-hambaKu (bani israel), sebab pasti kamu akan dikejar""[26:52]

Allah telah memerintahkan Nabi Musa a.s. supaya membawa pengikutnya keluar dari Mesir di waktu malam setelah dirancang dan diatur rapi. Allah juga telah memberitahu nabi Musa bahawa Firaun akan mengejar mereka dengan bala tenteranya justeru Allah memerintahkan nabi Musa memimpin pengikutnya ke kawasan pantai.


"kemudian Firaun mengirimkan orang ke kota-kota untuk mengumpulkan bala tenteranya. Firaun berkata, "sesungguhnya mereka (bani israel) hanya sekelompok kecil. dan mereka sesungguhnya telah membuatkan hal-hal yang menimbulkan amarah kita. dan sesungguhnya kita semua tanpa kecuali haruslah selalu berwaspada."[26:53-56]

Firaun yang mengetahui berita keluarnya nabi Musa dan pengikutnya secara diam-diam dari Mesir terus memerintahkan kerahan tentera untuk mengejar Musa dan kaumnya serta menggagalkan rancangan mereka itu. Tetapi, sebenarnya kerahan tentera itu membayangkan betapa cemasnya Firaun dan betapa kuatnya Musa a.s dan pengikutnya.

"kemudian kami keluarkan mereka (Firaun dan dan kaumnya) dari taman-taman dan mata air. dan dari harta kekayaan dan kedudukan yang mulia. demikianlah kami anugerahkan semuanya itu kepada bani Israel"[26:57-58]
Firaun bersama bala tenteranya telah keluar mengejar nabi Musa dan pengikutnya pada waktu matahari terbit. Keluarnya mereka pada kali ini adalah keluar bagi kali yang terakhir kerana ia nya merupakan pengusiran dari segala nikmat-nikmat seperti disebutkan dalam ayat 57-58.

"lalu Firaun dan bala tenteranya dapat menyusul mereka pada waktu matahari terbit. Maka ketika golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa, "kita benar-benar akan tersusul""[26:60-61]


Nabi Musa telah membawa pengikutnya keluar dari Mesir pada waktu malam dan dengan izin Allah pada pagi keesokannya mereka telah dikejar oleh bala tentera Firaun. Kini perjuangan itu telah sampai ke titik penamatnya, nabi Musa dan pengikutnya berada di hadapan lautan sedangkan mereka tidak mempunyai kapal bahkan juga senjata-senjata. Firaun dan tenteranya pula dilengkapi dengan senjata-senjata yang sedia terhunus dan mengejar mereka tanpa belas kasihan.

Pengikut-pengikut Musa sudah mengatakan bahawa tiada lagi ruang untuk mereka melarikan diri, lautan di hadapan mereka dan bala tentera firaun dibelakang mereka.

"Dia Musa menjawab, "sekali-kali tidak akan tersusul, sesungguhnya Tuhanku bersamaku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku."[26:62]
Kemudian Nabi Musa pun menenangkan pengikut-pengikutnya seperti ayat 62. Nabi Musa a.s yang menerima perintah itu sedikitpun tidak pernah merasa ragu-ragu. Hatinya percaya dan yakin bahawa Allah akan menyelamatkannya dan para pengikutnya walaupun baginda sendiri tidak tahu bagaimana pertolongan itu akan datang.

"lalu kami wahyukan kepada Musa pukullah laut itu, dan setiap belahan seperti gunung yang besar. dan disanalah kami dekatkan golongan yang lain.dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersamanya. kemudian kami tenggelamkan golongan yang lain."[26:64-66]
Kemudian Allah segera memerintah agar nabi Musa memukul lautan itu dengan tongkatnya lalu terbelahlah laut itu kepada dua. Berlakulah mukjizat Allat s.w.t yang disangkakan mustahil oleh manusia, kerana mereka mengukur sunnatullah itu dengan kejadian-kejadian biasa yang berulang-ulang. Allah yang menciptakan segala peraturan alam itu berkuasa untuk memperlakukan peraturan-peraturan itu mengikut kehendakNya apabila dia menghendaki.

Semua air lautan itu tertahan di tepi kedua belah jalan itu seperti gunung yang besar, dan nabi Musa dan pengikutnya terus mengikuti jalan itu sedangkan Firaun dan bala tenteranya tercegat melihat peristiwa luar biasa tersebut. Setelah beberapa detik barulah Firaun memerintahkan bala tenteranya mengejar nabi Musa dan pengikutnya melalui jalan tersebut. Lalu terjadilah seperti ayat 66 dimana Allah menyelamatkan nabi Musa dan pengikutnya dan menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya.

"sungguh, pada yang demikian itu terdapat suatu tanda (kekuasaan Allah) tetapi kebanyakan mereka tidak beriman. dan sesungguhnya tuhanmu dialah yang Maha perkasa, Maha penyayang."[26:67-68]

Dan peristiwa ini telah menjadi suatu bukti kekuasaan Allah sepanjang zaman di mana ia tetap diperkatakan oleh manusia dari generasi ke generasi. Peristiwa-peristiwa mukjizat yang luar biasa itu tidak semestinya membuahkan keimanan walaupun manusia terpaksa tunduk kepadanya (seperti mana Firaun) kerana keimanan itu adalah hasil dari hidayah dari dalam hati manusia itu sendiri yang dkurniakan dengan izin Allah swt,

Wallahualam.


No comments: