-kredit- |
Dia terduduk lagi. Tidak mampu
rasanya untuk dia menanggung segala rasa ini keseorangan. Sememangnya dia
seorang hamba, manakan mungkin mampu untuk mengharunginya sendirian. Fitrah
seorang hamba itu sesangatlah memerlukan tuannya untuk menjaganya. Sangat
memerlukan.
Dan dia, seorang hamba. Hamba
kepada Allah, Tuhan yang Maha Esa. Segala perintah, cegahan daripada Allah itu
sewajibnya diikuti setaatnya. Dan di saat dia sangat menyedari dirinya itu
hanyalah makhluk yang lemah, tidak berdaya, kerdil lagi hina di hadapan
Tuhannya yang Maha Berkuasa, dia masih lagi mampu untuk menyombongkan diri,
melanggar perintahNya, sesuka hatinya. Bukan dia tidak tahu, malah dia cukup
arif akan betul salahnya perbuatannya. Namun, mata dipejam, akal yang ada,
ditinggalkan, malah nafsu yang menjadi kiblat hidupnya saat celaka itu.
Alangkah takburnya hambaMu ini, ya Allah !
‘Maka
pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan HAWA NAFSUnya sebagai TUHANnya,
dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuanNya, dan Allah telah mengunci
pendengarannya dan hatinya serta meletakkan penutup atas penglihatannya. Maka
siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat)?
Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran ?
Surah al-Jathiyah (Yang Berlutut) 45:23
Tidak pernah dapat dinafikan,
sememangnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun,
maghfirahNya terlampau luas buat hamba-hambaNya, namun seringkali juga
makhlukNya yang bernama manusia terlupa, bahawa Allah itu juga Maha keras hukumannya,
pedih juga azabNya buat hamba-hamba yang ingkar akan perintah, angkuh, tidak
pernah peduli akan hakikat diri sendiri.
Dan kini, dia bersimpuh lemah,
sekadar mampu tertunduk, lantas tangan diangkat, jari-jemarinya disusun cermat,
memohon keampunan kepada Allah akan segala dosa-dosanya. Sesungguhnya, dia amat
mengharap agar taubatnya diterima. Tidak dinafikan, sudah berkali-kali tangan
ini ditadah, namun akhirnya dia mengalah, tiada mujahadah, lantas bisikan sang
syaitan laknatullah dan nafsu yang menjadi penunjuk arah. Namun, dia tidak akan
berputus asa akan rahmat Allah kerana dia sedar Allah sangat membenci hamba-hambaNya
yang berputus asa akan kasih sayang Allah, kerana Allah itu sangat sayang akan
hambanya, begitu sayang sehingga melampau kasihnya seorang ibu terhadap
anaknya.
-kredit- |
Allah itu sangat menyukai akan
hambaNya yang sentiasa bertaubat. Sehinggakan mereka inilah yang bakal menjadi
kebanggan Allah di hadapan para malaikat yang taat. Maka, itulah yang
diharapkannya, kebanggaan Allah, bukan kebanggaan manusia yang dicari.
Dia tekad, dosa-dosa itu tidak
akan diulangi. Tidak akan pernah diulangi. Dosa itu sendiri, sifatnya
memusnahkan. Ibarat api dalam sekam, jika dibiar akan hangus leburlah sekam.
Ibarat gunting dalam lipatan, akhirnya akan terpisahlah lipatan. Dosa-dosa yang
terus terkumpul, akan terus berparasit di hati, ibarat noda hitam, jika terus
dibiarkan menggunung, keraslah hati. Malah kerasnya mampu melebihi batu yang
masih boleh dilekukkan oleh air. Dia tidak mahu hatinya keras, matanya buta,
telinganya pekak dan dirinya tuli dek kerana sombong, takbur yang terus
merantai diri !
Ya Allah, engkau tempat aku
bergantung, tidak ada tempat lain untuk aku mengadu akan lemahnya diri ini,
selain kepadamu ya Allah… Hulurkanlah pertolonganMu di saat hambaMu ini ingin
bermujahadah, melawan segala musuh, segala tarikan yang bakal menjerumuskan
diriku ke lembah hina. Istiqamahkan diriku ya Allah dalam melakukan segala amal
ibadah, kurniakanlah nur hidayah, yang akan terus menyinari hidupku sehingga ke
akhirnya kelak… In shaa Allah.
Amin, ya
Rabbal Alamin… Makbulkanlah, ya Allah…
-kredit- |
i.j.
No comments:
Post a Comment