(Refleksi Raya Ramadhan)
Bismillah…
Bismillah…
Bertemu kita lagi dalam ruangan isu semasa.
Pabila pada bulan lepas penulis telah mengupas isu mengenai “Puasakah Aku?”
yang telah di post pada awal bulan Ramadhan yang mulia ini. Kali ini
Alhamdulillah penulis masih diberi kesempatan untuk menerbitkan sebuah
penulisan pada tanggal hari pertama hari yang penuh lebaran yakni Hari Raya
Aidilfitri.
Sebelum itu, mari kita sama-sama terokai
apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Hari Raya Aidilfitri? Ya, ia merupakan
sebuah perayaan mahupun sambutan yang terbesar bagi seluruh umat Islam yang
berjaya melaksanakan ibadah berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan dengan
jayanya.
Namun, tahukah kalian bahawa sebenarnya
turunnya Hari Raya Aidilfitri ini membawa pengertian yang lebih besar lagi?
Bukan semata-mata meraikan kemenangan umat
Islam selepas sebulan meraikan bulan Ramadhan, namun yang paling penting adalah
meraikan manusia kembali kepada fitrahnya yang suci dan bersih sekiranya
ibadah-ibadah pada bulan Ramadhan dilakukan sebaiknya. Sebelum ini penulis ada
menyebut bahawa tujuan sebenar bulan Ramadhan diturunkan ialah untuk mendidik
orang-roang muslim agar menjadi orang yang bertakwa dengan bulan Ramadhan ini
sebagai sebuah ‘training camp’. Jika orang yang betul melaksanakannya sudah
pasti akan merasai nikmat fitrah apabila diri akan merasakan perubahan yang
penghijrahan diri yang ke arah lebih baik.
Sebab itu namanya aidil FITRI yang
bermaksud fitrah. Kerana daripada momentum ibadah yang dibina dan penghijrahan
yang betul-betul kita lakukan dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadhan itu
dapat diteruskan ke 11 bulan yang lain
sehinggalah Ramadhan yang seterusnya tiba. Senang kata jika bulan Ramadhan
ialah ‘training camp’, maka kesebelas bulan seterusnya ialah ‘medan perang’
yang sebenar-benarnya untuk kita senantiasa menjadi orang yang soleh dan
bertakwa melawan musuh-musuh durjana seperti syaitan dan hawa nafsu.
Namun sayang , apabila
ramai antara kita yang menjadi buta dengan tujuan sebenar Hari Raya Aidil Fitri
diturunkan kepada umat Islam. Kerana apa? Kerana masih bertunjangkan kepada
masalah yang sama penulis tekankan daripada dahulu lagi iaitu apabila
masyarakat kita membudayakan Islam yang ada. Maksud penulis apabila Hari Raya
itu menjadi sebuah sambutan yang amatlah diagung-agungkan?
Diagungkan? Tak kan lah sampai macam tu
kot? Suka hati penulis je!
Ayuh kita fikir sejenak, benda yang
kelihatan okay namun hakikatnya salah pada sisi Islam.
Pertama, sesetengah masyarakat sudah berada
dalam mood raya sejak masuknya bulan Ramadhan lagi? Eh? Mana tidaknya masuk
bulan Ramadhan lagi ada yang duduk sibuk fikirkan baju raya, langsir raya,
kasut raya, kuih raya dan macam-macam benda raya lagilah. Paling teruk pabila
masuk seminggu terakhir Ramadhan yakni orang akan lebih suka untuk kata lagi
seminggu nak raya. Waktu itulah boleh dilihat Pasar Raya Sogo akan dipenuhi
ratusan manusia membeli keperluan raya. Isu paling femes tiap tahun ialah nak
beraya di kampung belah mana sampai bergaduh suami isteri.
Tak salah untuk memikirkan segala persediaan
untuk membeli keperluan raya namun janganlah sampai dilupa bahawa kita sedang
menjalani ibadah puasa pada waktu tersebut tatkala kita datang ke masjid-masjid
pada awal Ramadhan sahaja lantas terus momentum yang ingin dibina terus pudar
dan hilang begitu sahaja. Dan jangan kita sendiri yang memadamkan ibrah bulan
Ramadhan yang mulia ini dengan kemeriahan Hari Raya yang kita reka sendiri
secara melampau kerana takut-takut nanti tidak direhai Allah S.W.T. Oleh sebab
itulah Islam amatlah menekankan umatnya untuk senantiasa hidup bersederhana,
tidak lebih dan tidak kurang. Maka seharusnya fokus utama harus diberikan
kepada ibadah dalam bulan Ramadhan bukannya berlebihan menyambut Hari Raya.
Kedua, kesalahan yang kita sendiri tidak
sedar ketika kita sibuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ini. Yakni, sudah
menjadi kebiasaan apabila bila tibanya Hari Raya sudah pastinya kemaafan akan
dipinta kepada semua sanak saudara mahupun sahabat handai. Namun begitu harus
diingat bahawa kemaafan yang dilafazkan haruslah ikhlas kerana Allah S.W.T dan
maaf itu bukanlah semata-mata pada waktu Hari Raya sahaja. Maksud penulis ialah
apabila kita melakukan kesalahan kepada orang lain hendaklah bersegera untuk
memohon kemaafan kepadanya bukannya menunggu hari lebaran barulah nak meminta
maaf. Begitu juga apabila sudah memohon kemaafan maka haruslah berazam agar
tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa depan.
Hal ini demikian kerana agama Islam amatlah
menekankan agar setiap muslim untuk menjaga hubungan dengan Allah S.W.T serta
menjaga hubungan dengan manusia dalam hidupnya. Jika kita berbuat dosa dengan
Allah S.W.T sudah pastinya kita boleh mohon taubat pada bila-bila masa di mana
jua kerana pintu taubat akan senantiasa dibuka bagi umatnya yang bertakwa
tambahan sifat Allah yang Maha Pengampun. Namun begitu, andai kata kita ada
melakukan kesalahan atau kesilapan kepada manusia, harusnya kita bersegera
meminta maaf selagi kita masih hidup di dunia kerana andai kata kita tidak
sempat berbuat demikian, takut-takut jenuh kita kena mencari orang tersebut
dalam billion-bilion manusia di padang Masyar nanti. Nauzubillah…
Ketiga, fenomena raya di Malaysia sering
kali kita dengar ialah ramai yang menyatakan raya ini haruslah disambut selama
sebulan seperti mana kita berpuasa pada bulan Ramadhan selama sebulan juga.
Sedangkan kita tidak sedar bahawa Hari Raya Aidilfitri hanya disambut pada hari
pertama hari raya. Maksud sambutan hari raya tersebut ialah bermulanya takbir
raya pada waktu maghrib sehingga kita melaksanakan solat sunat Aidilfitri pada
pagi hari tersebut. Dan yang paling penting dalam menyambut Hari Raya ini ialah
kita ‘menangisi’ pemergian bulan yang amat mulia iaitu bulan Ramadhan
Al-Mubarak dengan merefleksi diri kita akan sejauh mana kita mengejar takwa
Allah S.W.T dan sejauh mana kita memohon keampunan daripada Allah S.W.T atas
segala dosa dan maksiat yang kita lakukan. Kerana sungguh orang yang sangat
rugi dalam bulan Ramadhan ialah orang yang berpuasa namun tidak mendapat
keampunan daripada Yang Maha Pengampun.
Konklusinya, imbas kembali dan muhasabahlah
segala perkara baik mahupun buruk yang telah kita lakukan sepanjang sebulan
kita berpuasa di bulan Ramadhan ini. Andai kita berjaya meningkatkan tahap
ibadah kita maka teruskanlah momentum yang baik itu bermula pada Syawal ini. Andai
kata kita terlanjur maka bersegeralah memohon taubat daripada yang Maha
Pengampun. Sentiasalah bersederhana dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana
itulah tuntulah yang sebenar dalam agama Islam. Akhir kata moga kita panjang
umur untuk betemu bulan Ramadhan yang seterusnya. Wallahualam.
Ditulis oleh zan
No comments:
Post a Comment