Sunday, 26 July 2015

Allah itu, Sentiasa Ada ( Allah がいつもいるから )

Terbeliak matanya tatkala melihat jam tangan elektronik miliknya yang terletak betul-betul di sisinya. Terpampang 9:01 pada jamnya itu.

                “Ya Allah!! Pukul 9 dah!

Dia seolah-olah tidak percaya yang dia hanya ada 1 jam sahaja lagi sebelum peperiksaan 熱力学 (baca : netsu rikigaku) [thermodynamics] pada hari itu. Dilihatnya ke luar jendela biliknya, melihat sinar sang matahari yang semakin menyinar.

jzkk!


Di satu sudut di biliknya itu duduknya rakan sebiliknya sejak 2 tahun dia berada di situ, Fiqar. Kelihatan Fiqar sedang mula mengemas barang-barang diperlukan untuk peperiksaan pada hari itu.
Dipandangnya Fiqar.

                “Fiqar, exam mula pukul 10 kan?”

Fiqar masih lagi sibuk mengemas barang-barangnya, tidak sedar akan soalan yang diajukannya itu.

                “Oo, Fiqar. Exam kita hari ini mula pukul 10 kan?”

                “Sorry tak dengar. Ya, pukul 10 nanti. Kenapa Min?”

Mulutnya dicebikkan tanda kurang berpuas hati tatkala mendengar balas daripada rakannya itu.

“Boleh pula dia tanya kenapa. Yang dia tu kenapa tak kejutkan aku?           bentak Aimin dalam diam.

Hari ini boleh dikatakan antara subjek paling susah bagi Aimin yang bergelar pelajar Kejuruteraan Mekanikal. Banyak teori-teori asas serta 考え方 (baca : kangaekata) [pemahaman] yang perlu difahami dan juga dihafal. Ketiadaan study week sangat terasa bagi pelajar sepertinya. Mana tidaknya, dia tidak sepandai rakan-rakan seperjuangannya bahkan di dalam kelasnya yang mana terkumpulnya hampir 10 pelajar yang top dalam jurusannya itu, dia merupakan salah seorang daripada nama-nama yang berada di bawah jika dilihat pada keputusan final semester lepas.

Tambah lagi, keputusan final semester ini bakal menentukan sama dia betul-betul layak untuk ke universiti idamannya di Jepun tahun depan. Khabarnya, ramai sekali rakan-rakannya yang lebih layak dari segi akademik, ingin melanjutkan pelajaran di universiti yang sama. Terkadang itu terasa dirinya begitu terdesak mahu memperbaiki keputusan peperiksaannya sebelum ini supaya layak ke universiti tersebut.

Tapi, itulah realiti dunia seorang pelajar di kolej persediaannya itu. Tekanan dek kerana pelajaran itu merupakan norma-norma kehidupan yang harus ditempuhi.

Aimin mula bangkit, duduk, cuba untuk menenangkan dirinya. Perlahan-lahan dicapainya beg sandang miliknya dan mula mengemas nota-nota serta alat tulis untuk peperiksaannya sebentar lagi.
Ligat bermain di benak fikirannya beberapa soalan.

“Apa aku nak jawab nanti ni? Macam mana aku boleh tertidur lepas subuh tadi? Macam mana aku nak naikkan keputusan aku kalau tak boleh jawab final ni?

Diingatnya kembali tentang apa yang dilakukannya malam semalam. Usai solat tarawih di surau, dia terus balik ke bilik lalu mula menelaah satu persatu topik yang telah dipelajari dalam 熱力学. Dia meminati subjek itu tetapi banyak perkara yang kurang difahami saat dia cuba membuat kembali latihan yang telah diberikan oleh 先生 (baca : sensei) sewaktu kuliah.

jzkk!


Terimbau keadaannya sewaktu di bangku sekolah menengah dahulu. Dia sangat meminati subjek Biology dan Sejarah, tetapi sewaktu ujian, jarang sekali dia memperoleh B, apatah lagi A, selalunya C sahaja.

Selesai mengemas barang, Aimin bergegas ke tandas untuk mandi. Jiwanya semakin tidak tenang mengenangkan dirinya yang hanya sempat mengulangkaji satu perempat sahaja daripada semua topik. Malam semalam, selesai mengulangkaji satu perempat topik-topik subjek itu, dia cuba untuk berehat sebentar. Namun, sedar-sedar azan Subuh sudah mula berkumandang dan hasrat di hatinya ingin sambung menelaah selepas solat. Entah bagaimana, tahu-tahu sahaja selepas solat dia tertidur dan tatkala bangun, jam sudah pun menunjukkan jam 9.01 pagi.

Sehingga selesai mandi, dia masih belum tenang.

“Aduh, apa aku nak jawab nanti? Semalam dah tak boleh jawab sebaiknya, takkan hari ini pun sama? Kecewa semalam pun belum habis lagi.”         monolog Aimin dalam hatinya.

Siap mengurus diri, Aimin melihat jam tangan yang dipakainya di tangan kiri itu. Jelas kelihatan angka 9:33 pada jamnya itu lantas dalam keadaan tangan terketar-ketar dia mencapai sejadah lalu ditunaikan solat sunat dhuha sama seperti hari-hari sebelumnya. Sentuhan tarbiah menyedarkan dirinya tentang kelebihan solat sunat dhuha yang mana berkait rapat dengan hajat dipermudahkan urusan pada hari tersebut.

Hatinya pada waktu itu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa tinggi dia meletakkan pengharapan agar dikurniakan bantuan sewaktu menjawab soalan-soalan final nanti.

Hatinya mula tenang.

Sedikit demi sedikit.

jzkk!


***

                “Kau tahu tak kenapa guna formula ni?”

                “PV sama dengan mRT...”

                “Soalan ni kau kena buat macam ni...”

Aimin sekadar mendengar saat rakan-rakannya di depan dewan peperiksaan riuh berbincang tentang soalan-soalan latihan yang masih belum difahami.

Dia melabuhkan punggungnya di atas tangga, tertunduk risau akan nasibnya nanti. Sesekali dia cuba bertanya kepada rakannya di sebelah sedikit-sedikit berkenaan tajuk yang tidak sempat diulangkaji olehnya. Namun, dalam keadaan masih cemas dan risau itu, apa sahaja yang dibincangkan seolah-olah tidak boleh dihadam lagi.

                “Min, kau study tak semalam?”

Soalan daripada Khai itu hanya dibalas dengan senyuman yang dipaksa. Khai, teman study Aimin itu tahu benar masalah Aimin yang sejak kebelakangan ini seakan-akan hilang semangat belajar.

“Ya Allah, bantulah aku. Ya Allah, tolonglah aku. Ya Allah, bantulah aku” monolog Aimin sendirian dengan suara sayup-sayup kedengaran.

Sehingga suatu ketika satu suara kedengaran.

“Okay semua dah boleh masuk dewan.”

***
                はい,10時になって、試験を始めます。”  (baca: haik. juu jyi ni natte, shiken wo hajimemasu.)  [Baiklah. Tepat pukul 10, peperiksaan akan dimulakan]

Arahan serta perihal peperiksaan yang sedang diberitahu oleh 先生 sensei [cikgu] tidak diendahkan Aimin. Dia masih lagi cuba untuk menenangkan dirinya. Dia tahu dia sangat sangat risau kerana daripada saat dia melangkah ke dalam dewan peperiksaan sehingga dia duduk, tangannya masih lagi menggeletar kerisauan.

                はい。じゃ、始めてください。 (baca: haik. jya, hajimete kudasai) [baiklah. boleh mula sekarang]

Dengan lafaz Bismillah, Aimin mula menjawab soalan final subjek 熱力学 itu. Entah mengapa, saat dia membuka helaian kertas soalan itu, hatinya yang gundah gulana itu tiba-tiba menjadi tenang setenang-tenangnya.

Melihat soalan pertama pada helaian kertas tersebut menenangkan lagi jiwanya kerana soalan itu antara soalan-soalan yang sempat diulangkaji semalam.

Gerak tari jarinya lancar menjawab soalan...

Hingga ke akhirnya.

Tapi, tenang itu daripada mana?

***

Badannya dibaringkan di atas katil empuk kepunyaannya. Bacaan Juz Amma didengarkan di komputer peribadi miliknya.

                “Tadi tu, tenang. Bukan?” bisik hatinya.

Tanpa disedari, hatinya mula sebak. Seakan-akan mahu menangis, tapi ditahan juga. Sudah lama Aimin tidak merasakan perasaan itu. Perasaan apabila Allah membantunya walaupun dia, bukanlah seorang hamba yang selalu mengingati-Nya.

Teringat olehnya pada satu ayat :

" iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang" 
(Surah Ar-Ra'd 13 : 28)

Biarpun tidak mampu menjawab beberapa soalan, namun Aimin tetap tenang.


なぜか?Allah がいつもいるから。 
(baca: naze ka? Allah ga itsumo iru kara)  
[kenapa? kerana Allah sentiasa ada] 
=’)



p/s : Semoga kita semua lulus dan boleh terbang ke Jepun. Bersama sama.





Ditulis oleh : pocoyo

No comments: