Friday, 27 November 2015

Konfesi

kredit!

Ini cerita aku. Oh, pertama sekali, nak minta izin semua untuk menggunakan ‘aku’ sepanjang coret ini. Bukan apa, ada orang menganggap ‘aku’ itu sedikit kurang ajar sifat bunyi nya, tetapi aku merasakan penggunaan ‘aku’ menjadikan apa yang nak disampaikan itu lebih dekat buat semua. Macam kita bersembang dengan kawan. 

Aku sekadar ingin berkongsi rasa. Supaya dapat dirasai semua. Dan akhirnya kita akan sama sama merasa.

Sebenarnya,  aku bukan insan yang baik sangat. Alim sepanjang masa. Tak.

Tapi, aku juga bukan orang yang jahat sangat. Sampai lupa tuhan.  

Namun, jauh di sudut hati, aku ingin berubah. Aku tak ingin menjadi biasa biasa saja.

Ya! Aku nak berubah!

Tapi, aku masih lagi bergelumang dengan dosa. Walau bersama orang baik, cuba menjadi orang baik, tapi masih lagi gagal.  Saban hari tak ingat dunia. Akhirat lagi lah.

Dalam kelupaan ini lah, di sini segalanya bermula.

Aku masih lagi pelajar. Berbekalkan biasiswa yang sekadar cukup cukup sahaja, itulah sumber dapatan hidup aku bulanan. Bila sampai hujung bulan, dompet itu menjadi nipis. Senipis kulit bawang mungkin. Tapi, kali ini, nipisnya lain macam. Kalau nak dibanding kulit bawang dengan dompet aku sekarang, dompet aku dah jatuh tempat kedua. Nak makan pun terpaksa dicatu. Bayangkan, rm10 untuk empat hari! Bagi aku, ini kritikal memandangkan aku tinggal di pinggir bandar yang pesat membangun. Sehari makan, rm10 pun kadang kadang tak cukup.

Sedang aku sibuk berfikir lebihan duit yang tinggal dengan perut galak berkeroncong lapar, sedar tak sedar aku dah sampai di kafe. Tak ku sangka, mak cik kafe offer aku makanan lebihan yang asalnya untuk  pelawat.

Pucuk dicita ulam mendatang. Kemain bahagia aku waktu itu.
  
Gendang gendut tali kecapi, perut kenyang senang hati. Ewah!

Tapi sayang, aku masih tak merasa apa apa. Aku masih rasa itu untung terpijak sahaja.

Kemudian, aku bersolat. Biasalah, solat pun ala kadar sahaja. Tak khusyuk sangat, leka sangat pun tak. Bagi sah saja. Habis solat, aku balik bilik sebentar. Sementara menunggu kelas petang. 

Tidak lama kemudian, pintu bilik diketuk. Rupanya, akak cleaner yang selalu aku tegur setiap kali terserempak.

“Nah rm20 ni! Hari tu kan dah tolong akak. Ingat tak akak janji nak belanja kalau tolong akak”

Oh, baru teringat aku ada tolong dia beberapa hari lepas. Ingat lagi dia.

“terima kasih kak! Susah susah je”

Biasalah, orang melayu. Mulut kata malu, tapi hati mahu.
Tapi, entah kenapa, sejenak itu, aku terfikir. Dalam keadaan aku sedang leka dengan hal dunia, Allah masih bantu aku. Dihulur nikmat Nya walau aku beribadah apa adanya.

Sampai bila aku nak mengabaikan semua ini? Masa nyawa tersangkut di anak tekak, baru nak bertaubat kah? Sampai bila?

Kadang aku terfikir, aku menunggu dan bertangguh. Tapi, apa yang aku tunggu? Untuk apa aku bertangguh? Dunia entah ke mana, akhirat tercampak jauh ke sana. Bila dah dibangkit di hari pembalasan, bekal apa pun tak bawa.

Dan aku tekad, kali ini I will grab the chance. Lebih tepat, aku tak kan lepaskan peluang kali ini. Mungkin, peluang ini tak kan datang dah.

Ini cerita aku. Dan kau mungkin ada cerita kau sendiri. Persamaan di sini adalah dalam cerita cerita kita, Allah sentiasa bagi hint. Allah bagi alarm. Bagi kepada kita in case kita makin jauh daripada Dia. Sampai bila kita nak snooze kan saja alarm itu? 

Dan setiap orang, lain lain alarm nya. Kerana jalan untuk orang itu untuk kembali pada Allah juga berbeza. Dan usaha setiap orang juga mungkin tak sama dengan yang lain.

Sebab itu, ingin berubah, jangan sekadar tiru orang lain. Yes, nak berubah, cari orang baik. Tapi bukan jadi orang baik yang kita cari itu. kita berubah dengan cara tersendiri tapi pasti.

Dan akhirnya, aku belajar yang aku kena bersungguh. Kalau Allah boleh bersungguh dengan aku, kenapa aku memberikan yang sambil lewa sahaja?



And if Allah never give up on me, kenapa aku tak boleh melakukan perkara yang sama terhadap Allah?


“Katakanlah: Wahai hamba hamba Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Kerana Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia lah jua yang maha pengampun, maha mengasihani. 
Dan kembali lah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah diri bulat bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberi pertolongan 
Dan turuti lah al Quran sebaik baik yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya 
Supaya jangan ada orang yang mengatakan: “Sungguh besar penyesalan dan kekecewaanku kerana telah mencuaikan kewajipan kewajipanku terhadap  Allah, sedang aku telah menjadi  orang orang yang sungguh memperolok olokkan (agama Allah). 
 Atau supaya jangan ada yang berkata: “Kalau sekiranya Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku tentulah aku termasuk orang-orang yang bertakwa”. 
Atau supaya jangan ada yang berkata ketika ia melihat azab: “Kalau sekiranya aku dapat kembali (ke dunia), nescaya aku akan menjadikan diri ku termasuk orang-orang berbuat baik”. 
Bahkan sebenarnya telah datang keterangan-keteranganKu kepadamu lalu kamu mendustakannya dan kamu menyombongkan diri dan kamu menjadikan dirimu dari orang orang kafir ingkar.” 
(az-Zumar (39;53-59)

kredit!

No comments: