Monday, 2 November 2015

Takoyaki


kredit
Langkahnya diatur perlahan. Ditambah pula kepul-kepul asap kenderaan manusia yang mahu bergegas pulang setelah seharian penat berkerja, tidak banyak yang mampu dilakukan tubuh tua lewat usia lima puluh itu. Mak Usu menggendong erat dua orang cucu kesayangannya. Irfan dan Arfan. Itulah tempat dirinya mencurahkan segala kasih dan sayang, segala rasa cinta yang tidak berbelah bahagi. Sudah hampir dua tahun dia menjaga rapi kebajikan kedua-dua cucunya. Segala perihal makan dan pakai, dicubanya sehabis mungkin untuk dilunaskan. Bimbang benar dirinya jika pernah si cucu berasa tersisih, rasa terkurang dalam hidup.

Mak Usu berkerja sebagai seorang tukang sapu di sebuah sekolah rendah berdekatan dengan rumahnya di tengah bandar Sitiawan. Tidak mahu berbelanja lebih dalam soal pengangkutan malahan kerana mahu menjaga cucunya, itulah rutin harian Mak Usu. Dia akan membawa cucunya bersama berjalan kaki ke sekolah, dan cucunya akan dibiar bermain di bilik rehat pekerja di bangunan belakang sekolah sementara menunggu waktu kerjanya tamat. Mujur Guru Besar sekolah tempat Mak Usu berkerja, membenarkan Mak Usu berbuat sedemikian, mengambil kira keselamatan si anak kecil jika ditinggalkan di rumah. 

Dan seperti hari-hari sebelumnya, si kembar akan terlena tidur, sambil Mak Usu menggendong mereka dua beradik. Tidak mengeluh, malah Mak Usu tenang melayan karenah mereka, sambil berjalan pulang menyelusuri jalan pulang ke rumah. Dan tiap-tiap kali Mak Usu berjalan melepasi simpang memasuki lorong rumah belakang deretan rumah kedai di situ, si Arfan pasti akan terjaga.
"Nek, hari ni boleh nek? Hari ni je. Apan teringin sangat nek. Boleh lah eh nek?"
Arfan cepat-cepat menarik-narik perlahan lengan baju neneknya, sambil tangan kanannya menunjuk pada sebuah gerai francais yang ada di situ. Home Takoyaki by Rusdi, gerai kecil menjual takoyaki; sejenis makanan seperti jemput-jemput Jepun. Gerai itu baru bertapak di situ, kira-kira tiga bulan. Ditambah pula dengan adanya penduduk taman, bola-bola keperangan terisi sotong, daun bawang dan kobis yang ditambah hiasan atasnya dengan sos istimewa, mayonis Jepun, serbuk rumpai laut bernama ao-nori serta kepingan kecil ikan katsuobushi, sudah pasti mendapat sambutan dalam kalangan anak kecil di taman itu. Arfan tidak terkecuali salah seorang daripadanya.

Langkah Mak Usu terhenti. Mahu diterus, rasa bersalah. Mahu diikut, wang yang dibawa tidak cukup untuk dibelanja lagi. Mak Usu hanya membawa sekeping not merah, cukup sekadar untuk membeli tepung dan ikan bilis yang sudah habis di dapur. Dia mahu sahaja menurut kehendak si cucu, bukan tiada wang, cuma hari itu dia tidak bawa wang lebih. Malah memang itu tabiatnya, hanya membawa nilai yang mahu dipakai, supaya tidak terlebih belanja.

Usai langkah Mak Usu terhenti, Arfan bingkas mahu turun mencecah bumi. Si Irfan yang baru bangun, terpisat-pisat matanya melihat si adik tiba-tiba mahu turun dari belakang neneknya. Cahaya petang yang tiba-tiba masuk ke mata, membuatkan dirinya berasa tidak selesa dan tangan kecilnya pantas menguis-nguis mata.
"Alaa pan, esok-esok kita makan nak? Harini macam ramai je orang dekat kedai tu, kesian nenek nak balik. penat."
Irfan memang sedikit matang berbanding adiknya, Arfan. Walau beza usia antara mereka hanyalah sekadar sembilan minit, dirinya cepat tangkap akan keadaan hidup neneknya. Irfan yang turut sama turun dari belakang nenek tadi, cepat memegang tangan si adik, sambil tangan kanan masih menguis mata. Lantas membawa adiknya berjalan menghala ke rumah. Arfan yang tidak banyak soal, mengikut perlahan walau wajahnya masam. Mukanya ditunduk menghadap bumi, mulutnya diam.

Mak Usu hanya diam lalu tersenyum tatkala si Irfan memalingkan muka lalu senyum ke arahnya. Hampir sahaja air matanya mahu menitis, namun sebaknya ditahan apabila melihat cucunya sudah mula memahami. Cepat-cepat kakinya melangkah, mahu sama beriring dengan cucunya.

Walau dalam hatinya, gundah gulana hanya Allah yang tahu.

***
"Mak, kalau ada apa-apa berlaku kat Yasmin, mak jaga tau cucu mak dua orang tu. Janji dengan Yasmin tau mak?"
Mak Usu yang sedang sibuk menambah tanah ke dalam pasu pokok bunga kertas di hadapan rumah terkejut mendengar kata-kata anak perempuan tunggalnya itu. Tangannya membuang sisa-sisa tanah merah, lalu bangkit pergi berdekatan Yasmin.
"Ish kamu ni, jangan nak cakap benda bukan-bukan. Ayah kamu dah tinggalkan mak, ni kamu pulak nak cakap benda macam ni."
Suami Mak Usu, Pak Rahmat sudah meninggal dunia setahun yang lalu, akibat sakit dada yang hingga menyebabkan arwah demam panas. Tidak tertanggung rasa sedih yang dirasai Mak Usu saat suami tercinta menghembuskan nafas terakhir dek kerana tidak sempat menghantarnya ke hospital. Mak Usu yang sememangnya tidak bekerja sebelum itu, disara Yasmin. Malang juga buat Yasmin apabila suaminya lari entah ke mana. Kini, hanya Yasminlah yang menampung perbelanjaan rumah hasil kerjanya sebagai jururawat di sebuah klinik desa berdekatan Kampung Serdang.

Yasmin yang masih berseragam jururawat, duduk termenung melihat anak kembarnya yang sedang bermain di kawasan hadapan rumah ibunya. Lari-lari anak kecil yang baru menginjak usia tiga tahun itu membawa mindanya menerawang. Usai tamat shif kerjanya, dia singgah ke rumah ibunya itu, untuk bertanya khabar. Dan entah bagaimana, dia terfikir tentang dirinya mati, meninggal dua putera di dunia, sedang dirinya sudah menghadap Ilahi. Resah yang tiba-tiba hadir itu merisaukan diri.
"Bukanlah mak. kita tak tau pun ajal kita bila kan mak kan? Tu yang Yasmin nak minta mak jaga budak-budak tu, kalau ada apa-apa terjadi kat Yasmin. Ayah budak tu pun lari entah ke mana. Yasmin risau plak mak dekat dorang dua tu mak, kalau Yasmin mati nanti."
 Suasana tiba-tiba sunyi.
"Ish, tak payahlah kamu fikir benda bukan-bukan. Kamu jangan nak takutkan mak. Kalau betul pun, pandai-pandailah mak jaga anak kamu tu nanti. Dah-dah, nanti dengar si Ipan Apan maknya cakap macam tu, sedih dua beradik tu nanti. Dah-dah."
Yasmin tersenyum merenung ibunya itu. Hari yang semakin senja, membawa anak-beranak itu masuk ke rumah, bersiap-siap membersihkan diri sedang hari semakin bertukar gelap.

****
Matanya berair melihat Arfan bersungguh menjamah takoyaki yang dibelinya tadi. Sejak Mak Usu membeli hinggalah sampai ke rumah, si Arfan tak henti-henti berterima kasih pada neneknya, diselang-seli dengan senyum manis di pipi mungilnya. Lesung pipit yang termuncul saat Arfan tersenyum, membuatkan Mak Usu teringat pada Yasmin. Entah bagaimana, motorsikal yang dibawa Yasmin ketika mahu ke klinik desa Kampung Serdang, tiba-tiba gagal beroperasi seperti biasa, membuatkan motorsikalnya tidak mampu dikawal lalu terlanggar lampu jalan. Hentakan laju yang berlaku malah pendarahan yang tidak henti-henti menyebabkan Yasmin meninggal dunia di tempat kejadian. Terduduk Mak Usu apabila Hani, rakan sekerja Yasmin memberitahu perihal tersebut di rumahnya.

Ingatan akan anak perempuannya itu cuba disembunyi apabila Irfan memaut tangannya, mengajak sama-sama menjamah takoyaki itu. Empat bebola kecil berharga empat ringgit setengah. Sementara menunggu makan malam disediakan, Mak Usu memberi cucu kesayangannya makan takoyaki yang sudah lama diidamkan Arfan.
"Takpe Ipan. Pergi makan dengan Apan. Nanti nenek dah siap masak makan malam, kita makan pulak ya nak?"
Irfan tersenyum semula pada Mak Usu. Dicuitnya pinggang Arfan. Arfan yang baru menjamah sebiji bebola itu, membawa bekas takoyaki itu ke arah Mak Usu, mahu menyuap sebiji takoyaki kepada neneknya.
"Nek makan jugak eh nek? Takpe nek. Nanti Apan dah besar, Apan kerja, Apan belanja nek makan takoyaki banyak-banyak. Nek makan eh?"
 Air jernih mula mengalir laju dari mata tua Mak Usu. Sambil tangannya mengesat mata, dia mengangguk-angguk menerima suapan dari Arfan. Biar pun mulutnya sedikit terasa kelat dek perasaan sedih yang menjelma, dimakan jua bebola itu.

credit
Mak Usu sedar cucunya semakin dewasa. Moga si cucu mampu terus tabah hidup dalam keadaan serba kekurangan, dan menjadi manusia. Hanya doa yang mampu Mak Usu titipkan, dan sehingga nyawanya belum diambil Tuhan, dia akan menjaga dua cucunya sebaik mungkin. Dan hari ini, moga senyum yang muncul di wajah cucunya akan berkekalan, walaupun senyum itu hanyalah daripada makanan yang diperoleh.

Walaupun senyuman itu kerana takoyaki yang dijamah.



No comments: