-kredit- |
Pernah makan sushi?
Sedap bukan?
Dan kalau kita bercakap tentang Jepun, perkara pertama yang terbayang dalam minda kita adalah?
Yes, matahari!
Then baru sushi. Apa yang menarik nya tentang sushi ini sehingga menjadi kegemaran setiap orang Jepun, malah kita sendiri yang tidak tinggal di Jepun pun tercari-cari di mana kita dapat menikmati keenakan sushi di negara sendiri?
Tapi tahukah anda bahawa sebahagian besar daripada makanan yang terdapat di dalam sushi itu adalah mentah. Tetapi itu tidak menghairankan kerana orang Jepun memang sangat mengambil berat tentang pemakanan dan kesihatan mereka. Kerana itu mereka lebih memilih untuk makan makanan yang tidak berminyak dan berkolestrol tinggi walaupun makanan itu sedapnya tidaklah seberapa.
Bagaimana pula bagi kita orang Malaysia? Sejak dari kecil lagi kita dihidangkan dengan makanan yang dimasak selazat-lazatnya. Jarang-jarang sekali kita dapat makan makanan yang tidak dimasak dahulu bukan? Sebagai contoh mudah, kita ambil sosej yang telah siap dipack dan dijual di pasaraya. Kita sebenarnya boleh sahaja terus makan sosej itu setelah dibuka. Tetapi kita sudah diajar oleh orang tua kita untuk merebus terlebih dahulu, atau pun digoreng dan sebagainya bukan? Kerana itulah, majoriti daripada kita tidak dapat menerima makanan atau daging mentah-mentah ditelan ke dalam tekak kita.
Tapi sedarkah kita, sebenarnya ramai, dan selalu sahaja kita makan daging mentah yang belum dimasak. tambah-tambah pula golongan wanita atau suri rumah. dan daging mentah ini lagi enak jika dimakan beramai-ramai bersama sahabat handai!
Lebih extreme lagi, jenis daging ini sudah pun disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam kitab al-Quran!
Sudah dapat mengagak daging apakah itu?
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
(Al-Hujuraat 49:12)
Rasulullah s.a.w telah bersabda,
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Sebenarnya telah nyata larangan Allah bagi kita orang Islam untuk tidak mengumpat orang lain. Mengumpat ini bagaikan sudah menjadi satu virus dalam masyarakat kita. Virus ini boleh dijangkiti dimana-mana sahaja, di dalam tren, dalam pejabat, dalam kelas, Hatta dalam masjid sekalipun masyarakat kita masih dijangkiti dengan virus ini. Virus ini bukanlah sesuatu yang boleh dilihat biasa dan dibiarkan begitu sahaja. kenapa kita perlu mengumpat dan menyebarkan fitnah tentang orang lain. kadang-kadang kita sendiri tidak tahu kesahihan cerita itu, Tup-tup dah heboh satu kampung!
Marilah kita sama-sama memperbaiki perkara ini. Kadang-kadang kita sekadar mahu beramah mesra dan memecahkan kebosanan apabila bersama dengan orang sekeliling kita, Akhirnya kita bercakap perihal orang lain . Kenapa perlu bercerita tentang orang lain? Sedih memikirkannya! Lebih sedih lagi apabila tanpa sedar kita telah memakan daging yang telah mati, bukan lagi daging mentah, Tetapi bangkai!
Wahhh!
Lebih baik kita makan sushi kalau begitu, selain dapat menjaga pemakanan, kita juga tidak lah perlu menanggung dosa-dosa mengumpat orang lain.
Wahhh!
Lebih baik kita makan sushi kalau begitu, selain dapat menjaga pemakanan, kita juga tidak lah perlu menanggung dosa-dosa mengumpat orang lain.
Banyak lagi yang boleh kita jadikan topik perbualan kita selain bercerita soal keburukan seseorang. Contohnya, kasut, baju, tudung dan lebih baik jika kita berbincang soal kekuasaan Allah, keindahan Islam dan sebagainya, sekali gus dapat menambahkan keimanan kita bukan?
Saya pernah mendengar satu slot yang dikeudarakan oleh salah satu stesen radio di negara kita. Seorang pendengar telah bertanya kepada seorang ustaz dalam rancangan tersebut. Apabila seseorang itu masih hidup, kita mengumpat dan bercakap hal yang buruk-buruk berkenaannya, dan apabila seseorang itu telah meninggal dunia, kita memuji dan memuliakannya pula. Adakah dosa-dosa akibat mengumpat sewaktu seseorang itu masih hidup, akan diampunkan dengan pujian yang dilakukan setelah beliau meninggal dunia.
Satu soalan yang menarik bagi saya!
Jawapan ustaz itu pula sangat menusuk hati! Kata ustaz itu,
'Dosa-dosa mengumpat itu tidak akan diampunkan sebelum kita berterus-terang dan meminta maaf dengan bersungguh-sungguh kepada orang yang kita telah umpat! Adapun dengan pujian setelah itu tidak mendatangkan sebarang kesan kepada dosa mengumpat sebelum itu.'
Nah!
Susah bukan mahu menghapuskan dosa mengumpat? Jadi kenapa masih lagi mahu 'memakan bangkai'?
Tetapi harus diingat, ada pengecualian di dalam isu pengharaman mengumpat ini, di mana kita dibenarkan mengumpat hanya dalam situasi berikut, sahaja.
1 – Untuk mengadu mengenai kezaliman seseorang.
Misalnya seorang isteri ingin menuntut bela di mahkamah akan kezaliman suaminya.
2 – Sebagai cara untuk mengubah kemungkaran dan menasihati seseorang yang berbuat dosa.
Misalnya apabila kita memberi contoh akan perkara-perkara buruk di mana kita tak mahu lagi ianya berulang lagi.
3 – Untuk memohon fatwa mengenai sesuatu hukum dan permasalahan.
4 – Menyelamatkan orang-orang Islam daripada kejahatan seseorang dan menasihati mereka.
5 – Membongkar penyelewengan seseorang yang melakukan kefasiqkan dan bid’ah secara terang-terangan.
6 – Untuk lebih memudahkan pengenalan .
Misalnya apabila kita memanggil seseorang itu dengan sifatnya seperti 'awang pekak' dan sebagainya, dengan syarat dia redha akan gelaran itu!
7 – Dah tak ada yang ketujuh! hanya enam keadaan yang di atas sahaja yang dibenarkan. ;)
Justeru, saya mengajak para pembaca untuk mengurangkan aktiviti memakan 'sushi' yang diperbuat daripada daging mentah dan beralih kepada makanan rohani yang pastinya lebih menyihatkan!
Senyum.
Ditulis oleh: AKRIMI MATHWA