Friday 27 November 2015

Konfesi

kredit!

Ini cerita aku. Oh, pertama sekali, nak minta izin semua untuk menggunakan ‘aku’ sepanjang coret ini. Bukan apa, ada orang menganggap ‘aku’ itu sedikit kurang ajar sifat bunyi nya, tetapi aku merasakan penggunaan ‘aku’ menjadikan apa yang nak disampaikan itu lebih dekat buat semua. Macam kita bersembang dengan kawan. 

Aku sekadar ingin berkongsi rasa. Supaya dapat dirasai semua. Dan akhirnya kita akan sama sama merasa.

Sebenarnya,  aku bukan insan yang baik sangat. Alim sepanjang masa. Tak.

Tapi, aku juga bukan orang yang jahat sangat. Sampai lupa tuhan.  

Namun, jauh di sudut hati, aku ingin berubah. Aku tak ingin menjadi biasa biasa saja.

Ya! Aku nak berubah!

Tapi, aku masih lagi bergelumang dengan dosa. Walau bersama orang baik, cuba menjadi orang baik, tapi masih lagi gagal.  Saban hari tak ingat dunia. Akhirat lagi lah.

Dalam kelupaan ini lah, di sini segalanya bermula.

Aku masih lagi pelajar. Berbekalkan biasiswa yang sekadar cukup cukup sahaja, itulah sumber dapatan hidup aku bulanan. Bila sampai hujung bulan, dompet itu menjadi nipis. Senipis kulit bawang mungkin. Tapi, kali ini, nipisnya lain macam. Kalau nak dibanding kulit bawang dengan dompet aku sekarang, dompet aku dah jatuh tempat kedua. Nak makan pun terpaksa dicatu. Bayangkan, rm10 untuk empat hari! Bagi aku, ini kritikal memandangkan aku tinggal di pinggir bandar yang pesat membangun. Sehari makan, rm10 pun kadang kadang tak cukup.

Sedang aku sibuk berfikir lebihan duit yang tinggal dengan perut galak berkeroncong lapar, sedar tak sedar aku dah sampai di kafe. Tak ku sangka, mak cik kafe offer aku makanan lebihan yang asalnya untuk  pelawat.

Pucuk dicita ulam mendatang. Kemain bahagia aku waktu itu.
  
Gendang gendut tali kecapi, perut kenyang senang hati. Ewah!

Tapi sayang, aku masih tak merasa apa apa. Aku masih rasa itu untung terpijak sahaja.

Kemudian, aku bersolat. Biasalah, solat pun ala kadar sahaja. Tak khusyuk sangat, leka sangat pun tak. Bagi sah saja. Habis solat, aku balik bilik sebentar. Sementara menunggu kelas petang. 

Tidak lama kemudian, pintu bilik diketuk. Rupanya, akak cleaner yang selalu aku tegur setiap kali terserempak.

“Nah rm20 ni! Hari tu kan dah tolong akak. Ingat tak akak janji nak belanja kalau tolong akak”

Oh, baru teringat aku ada tolong dia beberapa hari lepas. Ingat lagi dia.

“terima kasih kak! Susah susah je”

Biasalah, orang melayu. Mulut kata malu, tapi hati mahu.
Tapi, entah kenapa, sejenak itu, aku terfikir. Dalam keadaan aku sedang leka dengan hal dunia, Allah masih bantu aku. Dihulur nikmat Nya walau aku beribadah apa adanya.

Sampai bila aku nak mengabaikan semua ini? Masa nyawa tersangkut di anak tekak, baru nak bertaubat kah? Sampai bila?

Kadang aku terfikir, aku menunggu dan bertangguh. Tapi, apa yang aku tunggu? Untuk apa aku bertangguh? Dunia entah ke mana, akhirat tercampak jauh ke sana. Bila dah dibangkit di hari pembalasan, bekal apa pun tak bawa.

Dan aku tekad, kali ini I will grab the chance. Lebih tepat, aku tak kan lepaskan peluang kali ini. Mungkin, peluang ini tak kan datang dah.

Ini cerita aku. Dan kau mungkin ada cerita kau sendiri. Persamaan di sini adalah dalam cerita cerita kita, Allah sentiasa bagi hint. Allah bagi alarm. Bagi kepada kita in case kita makin jauh daripada Dia. Sampai bila kita nak snooze kan saja alarm itu? 

Dan setiap orang, lain lain alarm nya. Kerana jalan untuk orang itu untuk kembali pada Allah juga berbeza. Dan usaha setiap orang juga mungkin tak sama dengan yang lain.

Sebab itu, ingin berubah, jangan sekadar tiru orang lain. Yes, nak berubah, cari orang baik. Tapi bukan jadi orang baik yang kita cari itu. kita berubah dengan cara tersendiri tapi pasti.

Dan akhirnya, aku belajar yang aku kena bersungguh. Kalau Allah boleh bersungguh dengan aku, kenapa aku memberikan yang sambil lewa sahaja?



And if Allah never give up on me, kenapa aku tak boleh melakukan perkara yang sama terhadap Allah?


“Katakanlah: Wahai hamba hamba Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Kerana Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia lah jua yang maha pengampun, maha mengasihani. 
Dan kembali lah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah diri bulat bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberi pertolongan 
Dan turuti lah al Quran sebaik baik yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya 
Supaya jangan ada orang yang mengatakan: “Sungguh besar penyesalan dan kekecewaanku kerana telah mencuaikan kewajipan kewajipanku terhadap  Allah, sedang aku telah menjadi  orang orang yang sungguh memperolok olokkan (agama Allah). 
 Atau supaya jangan ada yang berkata: “Kalau sekiranya Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku tentulah aku termasuk orang-orang yang bertakwa”. 
Atau supaya jangan ada yang berkata ketika ia melihat azab: “Kalau sekiranya aku dapat kembali (ke dunia), nescaya aku akan menjadikan diri ku termasuk orang-orang berbuat baik”. 
Bahkan sebenarnya telah datang keterangan-keteranganKu kepadamu lalu kamu mendustakannya dan kamu menyombongkan diri dan kamu menjadikan dirimu dari orang orang kafir ingkar.” 
(az-Zumar (39;53-59)

kredit!

Friday 20 November 2015

What you give, you get back



Pernah tak, kita rasa penat sangat dengan apa yg kita buat?
Pernah tak, kita rasa macam nak stop kan saja semua yang tengah kita buat sekarang?
Stop dan kemudian apa?
Berehat? Bercuti? Bermalasan?

Mungkin kita akan rasa puas sekejap. Pada permulaannya  mungkin kita akan rasa saangaatt seronok. Ya lah, siapa yang tak suka kalau hidupnya dilalui dengan cool, sempoi dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Kalau tanya saya, saya pun suka.

Tapi, lama lama kita akan mula penat. Kalau tadi, kita penat dengan segala kesibukan yang tak tertanggung rasanya, kini kita akan rasa penat dengan segala kekosongan yang terjadi dalam hidup waktu itu. Semua serba tak kena. Semua dirasakan tak menjadi. Tak ada feel. Tak ada umph!

Di manakah semangat yang hilang?
Jadi, ini telah jadi satu masalah dalam hidup kita. Masalah bermakna ujian daripada Allah swt. Persoalannya, macam mana kita nak mengharungi hidup yg penuh pancaroba ini, dengan relaks walaupun kita dalam kesibukan mahupun dalam keluangan masa?

Dalam hidup yang sementara ini, kalau ada masalah, kita kena selesaikan. Kan, dunia ini jambatan menuju kampung kita, akhirat sana yang kekal abadi. Kalau jambatan rosak, goyang goyang, macam nak runtuh saja, takut takut tak sampai nanti ke destinasi yg dituju. Kalau sampai pun, kita mungkin akan sampai dalam keadaan yang tak bersedia. Dan kita tak nak sampai di akhirat dalam keadaan tidak bersedia, kan?

Apa yang kita boleh buat untuk menyelesaikan masalah ini?
First and foremost,kita semua setuju yang masalah ini adalah ujian yang Allah bagi kat kita. Sebagai tanda sayang kepadaNya kepada kita. Jadi, untuk kita menghadapi ujian ini dengan penuh style, kita kena lah balas sayang Allah swt balik. Maksudnya? Kita minta tolong pada Allah. Berdoa pada Allah.

Dalam surah An-Nisa ayat 28,
"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah."

Minta diberikan kita petunjuk untuk solve our problems. Ilham, harapan dan kekuatan. Bukan sangkaan yang bukan bukan yang boleh melemahkan iman kala ujian. Fuhh, berfalsafah pula saya. *senyum*

Allah will make us stronger ~
Setelah itu, kita muhasabah balik diri. Let's think deeper into ourselves. Give ourselves a moment of silence. Based on muhasabah, kita akan mampu membina foundation utk bertindak dalam berhadapan dengan masalah.

Untuk proses muhasabah ini, izinkan saya bantu dengan buah fikiran. Moga buah ini mampu memberi biji benih kepada tindakan kita.
Pernah dengar quote 'what you give, you get back' ?
Hidup kita sebenarnya memberi. Dan apa yg kita dapat dalam hidup, itulah hasil pemberian kita. Tak percaya?

Contoh, saya seorang pelajar. Kalau saya beri yang terbaik dalam pelajaran, maka yang terbaiklah akan saya dapat. Dan jika saya sekadar memberi yang ala kadar, tak all out dlm studies, then so so saja result saya di akhir nanti. That is the typical case.
Kita abaikan pelajar yang special case genius whatsoever utk contoh ini. *wink*

Tengok solat pula. Solat dikatakan mencegah mungkar. Kalau masih berlaku kemungkaran, walaupun sudah solat, maknanya kita belum memberi yang terbaik dalam solat.

Apa yang kita beri menentukan apa yang kita dapat.
Mungkin rasa penat itu lahir kerana kita tidak memberi yang sepenuhnya. Tidak ikhlas mungkin.
Mungkin rasa ingin stop itu terjadi kerana kita mengharapkan yang indah sahaja dalam hidup kita.

If you think about giving up, remember why you are there in the first place! :)
Sedangkan dunia ini tempat kita berusaha. Di akhirat sana lah tempat menuai hasilnya. Maka, rasa penat, putus asa itu perkara biasa. Lawanlah dgn tingkatkan lagi pemberian kita. Give more efforts. Give more hamasah.

Sebagai penutup kata, saya tinggalkan potongan ayat daripada Surah Ibrahim ayat 12 sebagai renungan.
"Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah".

Berilah sehingga ke akhirnya. Kerana apa yg kita beri, itulah yang akan kita dapat di hujung nanti.
Tindakan? Sentiasa memberi. Jangan berhenti. Dan andai tersungkur, bangkit kembali. Keep giving as Allah will make sure you'll get back. Kalau tidak di sini, mungkin di sana nanti.

i.j.

*doakan yang terbaik buat segala mangsa keganasan dan bencana yang terjadi di pelusuk dunia ini. Berikan doa buat mereka agar sentiasa tabah dan kuat menghadapi ujian. #ganbatte

Saturday 14 November 2015

School of Tarbiyyah

[DISCLAIMER: This article is highly written with tarbiyyah, usrah and words related to them. Read at your own risk.]

kredit

“Sebelum baca, mungkin kita hanya perlukan, betulkan niat, dan renungkan, kenapa sebenarnya kita nak berada di ruangan ini”

Mari saya kisahkan anda dengan satu cerita.


-Sebelum Hijrah-


Dakwah telah dilakukan secara terbuka oleh Nabi saw. Ramai umat Islam yang kian hari diseksa dengan kasar dan tanpa belas kasihan oleh musyrikin Mekah. Namun, keteguhan iman mereka sentiasa teguh tanpa ragu dengan ucapan syahadah yang mereka titipkan di bibir mereka.

Pihak musyrikin pula semakin hari semakin bimbang dengan keadaan sewaktu itu. Makin hari, ramai yang mula tertarik dengan agama yang telah dibawa oleh Nabi saw. Tapi, as we all know in seerah, they will do anything to stop it. Kita pernah belajar, sampai satu saat, pihak Musyrikin juga pernah membuat tawaran kepada Nabi saw, menawarkan duit, pangkat dan wanita. 

Tapi Nabi saw tolak. Hebat kan?

Dalam buku Fiqh Sirah, ada menghuraikan tentang part ini. It stated that boleh saja kalau kita fikir in other kind of strategy, Nabi saw boleh ambil peluang ini untuk menggunakan pangkat yang telah ditawarkan oleh pihak Musyrikin, untuk mengajak lebih ramai orang dan Islam akan lebih berkembang. Then in an instance, terus ada sebuah Kerajaan Islam!  (tangga keempat dalam maratib amal). 

Lagi senang bukan?

But nope, it didn’t happen that way. If it does,

- Tak akan berlaku kisah penghijrahan umat Islam ke Madinah. 
- Tak akan terjumpa 313 orang tentera Islam yang terlibat dalam Badar 
-Tak ada rasanya kita dengar seni kata lagu “memayungi dua pertiga dunia, rahsia mereka, ….”

Hebat kan perancangan Allah!

Pengajaran?

Yang pasti, saya tahu sewaktu di Mekah ketika itu, Nabi saw betul-betul membina insan, rijal, pemuda, yang sangat berkualiti regardless of the quantity and that what made them so strong and great in the quantity of 313 that eventually lead us to the “ISK GRAF”.

Sememangnya kalau kita nak bina sebuah tamadun Islam, bukanlah satu kerja yang senang dan singkat. Perjalanan memang jauh, tapi ingat, Nabi saw sendiri tiada saat Islam berada di puncak. Yang pasti, Nabi yakin dengan janji Allah. Adanya 7 tangga maratib amal itu bukanlah untuk senang-senang kita lompat, dan kemudiannya terjatuh begitu sahaja.

kredit


- Kerajaan Islam itu bukanlah apabila pemimpinnya sahaja seorang Individu Muslim yang hebat, tapi orang bawahannya masih lagi kecundang dibuai ombak nafsu. 
- Masyarakat Muslim itu terjadi dengan kesemua dalam kelompok tu adalah Individu Muslim 
- Baitul Muslim pula… (rasanya semua lebih arif)

Cara membina Individu Muslim?

TARBIYAH.

Be it in any kind of form you want to find. Yang pasti kita tahu TARBIYAH yang menghidupkan dan menggerakkan. Payah kalau hanya hidup tapi tak bergerak, macam air yang bertakung. Lagi payah dan penat bila kita bergerak tanpa menghidupkan fikrah dalam diri kita.

FIKRAH.

Tapi, macam mana nak hidupkan fikrah dalam diri kita?

The answer is, ilmu. Ilmu itu sememangnya penting untuk kita menghidupkan fikrah kita. Keep reading. keep searching. For ilmu.

Kalau rasa reading is quite boring, try guna kaedah lain. Watch YouTube videos, ready tarbiyah comics (daily deen comics, for example), dengar lagu yang ada elemen yang boleh ingatkan kita pada Allah (instead of listening to those songs yang melalaikan for hours) and etc etc. Cari method yang sesuai dengan diri kita. 

But, remember, once we found ilmu, amalkan. Kerana kata pak pak Arab, ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah.

I believe this is how Nabi saw dah lakukan, berdasarkan sirah.

In a nutshell, just a reminder that I would like to share with you guys, to remind you guys, and of course myself as well,
“Tarbiyah bukanlah segala-galanya, tapi everything begins with Tarbiyah”.
Moga Allah redha.

Saturday 7 November 2015

Hai Anak Budak Hitam!

Ada satu kisah yang sangat menyentuh hati mengenai Abu Dzar al Ghifari.

Kisahnya dengan Bilal ra.

Abu Dzar pernah merasakan Bilal tidak menjalankan amanah dengan baik. Oleh kerana beliau tidak dapat mengawal dirinya, tanpa disedarinya beliau telah mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya kepada Bilal.

“Hai anak budak hitam!”

Saat Rasulullah saw tahu akan peristiwa ini, baginda bersabda

“Sesungguhnya dalam dirimu masih lagi tertinggal sisa jahiliyah”

Sesal akan perbuatannya, Abu Dzar lantas memohon maaf. Beliau malah meletakkan kepalanya ke tanah, memohon agar Bilal memijak kepalanya.

Beliau sangat menyesal. Sangat sedih akan perbuatannya. Sangat kecewa dengan dirinya. Yang mendorong beliau bertindak untuk bertindak sedemikian rupa.

Mujurlah Bilal tidak berdendam. Malah memaafkan khilaf sahabat kesayangannya itu.

Kata Bilal.

“Biarlah ini menjadi urusan Allah swt. Moga ini menjadi kebaikan bagiku kelak”

Bukanlah niat di sini untuk merendahkan Abu Dzar. Malah, beliau ini adalah sosok yang diiktiraf sendiri kebenaran ucapannya oleh Rasulullah saw.

Peristiwa ini tidak sediketpun mengurangkan kredibiltinya selaku sahabat yang disegani.

Cuma, ini menjadi satu pengajaran buat kita.

Kita mungkin akan bergaduh dengan sahabat kita. Kita mungkin akan berkasar dengan sahabat kita. Baik kita sengaja atau pun tidak. Tapi, itu bukan bermakna kita boleh terus bermasam muka. Tidak bertegur. Bersikap dingin berdendam. Bertindaklah seperti Abu Dzar.

Pintalah kemaafan andai kita yang salah. Menyesal lah. Mintalah ampun pada Allah.

Dan jadilah seperti Bilal.

Maafkanlah! Dengan lapangnya.

Benarlah para sahabat itu adalah sebaik baik generasi!

kredit

Monday 2 November 2015

Takoyaki


kredit
Langkahnya diatur perlahan. Ditambah pula kepul-kepul asap kenderaan manusia yang mahu bergegas pulang setelah seharian penat berkerja, tidak banyak yang mampu dilakukan tubuh tua lewat usia lima puluh itu. Mak Usu menggendong erat dua orang cucu kesayangannya. Irfan dan Arfan. Itulah tempat dirinya mencurahkan segala kasih dan sayang, segala rasa cinta yang tidak berbelah bahagi. Sudah hampir dua tahun dia menjaga rapi kebajikan kedua-dua cucunya. Segala perihal makan dan pakai, dicubanya sehabis mungkin untuk dilunaskan. Bimbang benar dirinya jika pernah si cucu berasa tersisih, rasa terkurang dalam hidup.

Mak Usu berkerja sebagai seorang tukang sapu di sebuah sekolah rendah berdekatan dengan rumahnya di tengah bandar Sitiawan. Tidak mahu berbelanja lebih dalam soal pengangkutan malahan kerana mahu menjaga cucunya, itulah rutin harian Mak Usu. Dia akan membawa cucunya bersama berjalan kaki ke sekolah, dan cucunya akan dibiar bermain di bilik rehat pekerja di bangunan belakang sekolah sementara menunggu waktu kerjanya tamat. Mujur Guru Besar sekolah tempat Mak Usu berkerja, membenarkan Mak Usu berbuat sedemikian, mengambil kira keselamatan si anak kecil jika ditinggalkan di rumah. 

Dan seperti hari-hari sebelumnya, si kembar akan terlena tidur, sambil Mak Usu menggendong mereka dua beradik. Tidak mengeluh, malah Mak Usu tenang melayan karenah mereka, sambil berjalan pulang menyelusuri jalan pulang ke rumah. Dan tiap-tiap kali Mak Usu berjalan melepasi simpang memasuki lorong rumah belakang deretan rumah kedai di situ, si Arfan pasti akan terjaga.
"Nek, hari ni boleh nek? Hari ni je. Apan teringin sangat nek. Boleh lah eh nek?"
Arfan cepat-cepat menarik-narik perlahan lengan baju neneknya, sambil tangan kanannya menunjuk pada sebuah gerai francais yang ada di situ. Home Takoyaki by Rusdi, gerai kecil menjual takoyaki; sejenis makanan seperti jemput-jemput Jepun. Gerai itu baru bertapak di situ, kira-kira tiga bulan. Ditambah pula dengan adanya penduduk taman, bola-bola keperangan terisi sotong, daun bawang dan kobis yang ditambah hiasan atasnya dengan sos istimewa, mayonis Jepun, serbuk rumpai laut bernama ao-nori serta kepingan kecil ikan katsuobushi, sudah pasti mendapat sambutan dalam kalangan anak kecil di taman itu. Arfan tidak terkecuali salah seorang daripadanya.

Langkah Mak Usu terhenti. Mahu diterus, rasa bersalah. Mahu diikut, wang yang dibawa tidak cukup untuk dibelanja lagi. Mak Usu hanya membawa sekeping not merah, cukup sekadar untuk membeli tepung dan ikan bilis yang sudah habis di dapur. Dia mahu sahaja menurut kehendak si cucu, bukan tiada wang, cuma hari itu dia tidak bawa wang lebih. Malah memang itu tabiatnya, hanya membawa nilai yang mahu dipakai, supaya tidak terlebih belanja.

Usai langkah Mak Usu terhenti, Arfan bingkas mahu turun mencecah bumi. Si Irfan yang baru bangun, terpisat-pisat matanya melihat si adik tiba-tiba mahu turun dari belakang neneknya. Cahaya petang yang tiba-tiba masuk ke mata, membuatkan dirinya berasa tidak selesa dan tangan kecilnya pantas menguis-nguis mata.
"Alaa pan, esok-esok kita makan nak? Harini macam ramai je orang dekat kedai tu, kesian nenek nak balik. penat."
Irfan memang sedikit matang berbanding adiknya, Arfan. Walau beza usia antara mereka hanyalah sekadar sembilan minit, dirinya cepat tangkap akan keadaan hidup neneknya. Irfan yang turut sama turun dari belakang nenek tadi, cepat memegang tangan si adik, sambil tangan kanan masih menguis mata. Lantas membawa adiknya berjalan menghala ke rumah. Arfan yang tidak banyak soal, mengikut perlahan walau wajahnya masam. Mukanya ditunduk menghadap bumi, mulutnya diam.

Mak Usu hanya diam lalu tersenyum tatkala si Irfan memalingkan muka lalu senyum ke arahnya. Hampir sahaja air matanya mahu menitis, namun sebaknya ditahan apabila melihat cucunya sudah mula memahami. Cepat-cepat kakinya melangkah, mahu sama beriring dengan cucunya.

Walau dalam hatinya, gundah gulana hanya Allah yang tahu.

***
"Mak, kalau ada apa-apa berlaku kat Yasmin, mak jaga tau cucu mak dua orang tu. Janji dengan Yasmin tau mak?"
Mak Usu yang sedang sibuk menambah tanah ke dalam pasu pokok bunga kertas di hadapan rumah terkejut mendengar kata-kata anak perempuan tunggalnya itu. Tangannya membuang sisa-sisa tanah merah, lalu bangkit pergi berdekatan Yasmin.
"Ish kamu ni, jangan nak cakap benda bukan-bukan. Ayah kamu dah tinggalkan mak, ni kamu pulak nak cakap benda macam ni."
Suami Mak Usu, Pak Rahmat sudah meninggal dunia setahun yang lalu, akibat sakit dada yang hingga menyebabkan arwah demam panas. Tidak tertanggung rasa sedih yang dirasai Mak Usu saat suami tercinta menghembuskan nafas terakhir dek kerana tidak sempat menghantarnya ke hospital. Mak Usu yang sememangnya tidak bekerja sebelum itu, disara Yasmin. Malang juga buat Yasmin apabila suaminya lari entah ke mana. Kini, hanya Yasminlah yang menampung perbelanjaan rumah hasil kerjanya sebagai jururawat di sebuah klinik desa berdekatan Kampung Serdang.

Yasmin yang masih berseragam jururawat, duduk termenung melihat anak kembarnya yang sedang bermain di kawasan hadapan rumah ibunya. Lari-lari anak kecil yang baru menginjak usia tiga tahun itu membawa mindanya menerawang. Usai tamat shif kerjanya, dia singgah ke rumah ibunya itu, untuk bertanya khabar. Dan entah bagaimana, dia terfikir tentang dirinya mati, meninggal dua putera di dunia, sedang dirinya sudah menghadap Ilahi. Resah yang tiba-tiba hadir itu merisaukan diri.
"Bukanlah mak. kita tak tau pun ajal kita bila kan mak kan? Tu yang Yasmin nak minta mak jaga budak-budak tu, kalau ada apa-apa terjadi kat Yasmin. Ayah budak tu pun lari entah ke mana. Yasmin risau plak mak dekat dorang dua tu mak, kalau Yasmin mati nanti."
 Suasana tiba-tiba sunyi.
"Ish, tak payahlah kamu fikir benda bukan-bukan. Kamu jangan nak takutkan mak. Kalau betul pun, pandai-pandailah mak jaga anak kamu tu nanti. Dah-dah, nanti dengar si Ipan Apan maknya cakap macam tu, sedih dua beradik tu nanti. Dah-dah."
Yasmin tersenyum merenung ibunya itu. Hari yang semakin senja, membawa anak-beranak itu masuk ke rumah, bersiap-siap membersihkan diri sedang hari semakin bertukar gelap.

****
Matanya berair melihat Arfan bersungguh menjamah takoyaki yang dibelinya tadi. Sejak Mak Usu membeli hinggalah sampai ke rumah, si Arfan tak henti-henti berterima kasih pada neneknya, diselang-seli dengan senyum manis di pipi mungilnya. Lesung pipit yang termuncul saat Arfan tersenyum, membuatkan Mak Usu teringat pada Yasmin. Entah bagaimana, motorsikal yang dibawa Yasmin ketika mahu ke klinik desa Kampung Serdang, tiba-tiba gagal beroperasi seperti biasa, membuatkan motorsikalnya tidak mampu dikawal lalu terlanggar lampu jalan. Hentakan laju yang berlaku malah pendarahan yang tidak henti-henti menyebabkan Yasmin meninggal dunia di tempat kejadian. Terduduk Mak Usu apabila Hani, rakan sekerja Yasmin memberitahu perihal tersebut di rumahnya.

Ingatan akan anak perempuannya itu cuba disembunyi apabila Irfan memaut tangannya, mengajak sama-sama menjamah takoyaki itu. Empat bebola kecil berharga empat ringgit setengah. Sementara menunggu makan malam disediakan, Mak Usu memberi cucu kesayangannya makan takoyaki yang sudah lama diidamkan Arfan.
"Takpe Ipan. Pergi makan dengan Apan. Nanti nenek dah siap masak makan malam, kita makan pulak ya nak?"
Irfan tersenyum semula pada Mak Usu. Dicuitnya pinggang Arfan. Arfan yang baru menjamah sebiji bebola itu, membawa bekas takoyaki itu ke arah Mak Usu, mahu menyuap sebiji takoyaki kepada neneknya.
"Nek makan jugak eh nek? Takpe nek. Nanti Apan dah besar, Apan kerja, Apan belanja nek makan takoyaki banyak-banyak. Nek makan eh?"
 Air jernih mula mengalir laju dari mata tua Mak Usu. Sambil tangannya mengesat mata, dia mengangguk-angguk menerima suapan dari Arfan. Biar pun mulutnya sedikit terasa kelat dek perasaan sedih yang menjelma, dimakan jua bebola itu.

credit
Mak Usu sedar cucunya semakin dewasa. Moga si cucu mampu terus tabah hidup dalam keadaan serba kekurangan, dan menjadi manusia. Hanya doa yang mampu Mak Usu titipkan, dan sehingga nyawanya belum diambil Tuhan, dia akan menjaga dua cucunya sebaik mungkin. Dan hari ini, moga senyum yang muncul di wajah cucunya akan berkekalan, walaupun senyum itu hanyalah daripada makanan yang diperoleh.

Walaupun senyuman itu kerana takoyaki yang dijamah.