Friday 17 April 2015

Protes



Dia duduk di meja tulis, menghadap tingkap yang dibuka seluasnya. Terdiam dia di situ buat beberapa ketika, tidak tahu di mana harus dia bermula. Resah yang berkurung dalam benak mindanya membuatkan dirinya seolah sudah tidak tahu apa yang dia mahukan dalam hidup. Bosan. Semuanya nampak biasa. Cliché. Tiada yang istimewa.

Hari-hari dirasakan tidak bermakna. Dia mahukan perubahan.

***  

Tangannya pantas menulis di atas kertas putih itu. Segala butir-butir memori yang masih diingati pada kuliah pagi tadi ditulisnya semula. Sekadar mahu ‘mengikat’ kefahamannya akan subjek tersebut. Riak mukanya serius tiada gurau.

Memori Khairi terimbau pada keputusan peperiksaannya semester lepas. Punah. Gred A yang ditagih, namun yang diberi, keputusan yang cukup merobek semangatnya. Usaha yang dibuat seolah tiada nilai langsung. Dia masih ingat, hampir seminggu dua jugalah dia tidak mampu lelap lena di malam hari, dan siangnya pula cukup sekadar makan dan solat. Selebihnya diluang dengan berkurung di bilik. Malas mahu bersosial.

“Solat dah, belajar pun dah, kenapa susah sangat ilmu nak lekat?”

Kecewa. Itu sudah cukup menggambarkan dirinya pada ketika ini. Cepat-cepat Khairi menggeleng, mahu memori lepas dibuang jauh-jauh. Kali ini sifir yang sama diteruskan. Dia belajar, dan dia akan berjaya. Itu yang dia percaya.

Kuak pintu berbunyi tatkala Husni masuk ke dalam bilik. Rakan sebiliknya itu duduk di katil usai meletakkan barang-barang yang dibeli di kedai runcit hadapan kolej, ke atas rak. Mengeluh dia sebentar, dek kerana panas mentari yang menyukarkan perjalanannya tadi.

Dipandangnya Khairi.

“Penatnya lahai. Terik gila weh. Aku pun tak faham pagi-pagi macam ni pun dah panas.  
Hmm. Khairi, Khairi.. 
Hari ni hari Sabtu lah. Rehatlah dulu. Dari malam tadi aku tengok kau mengadap buku je. Bukan tak ok, tapi, well, rehat-rehat lah kejap.”

Dihiraukannya Husni. Tangannya masih galak menulis tiap-tiap patah kanji pada nota yang sempat ditulisnya pagi tadi. 加法定理 (baca: kahou teiri). Addition Theorem. Entah mengapa dirinya sukar untuk memahami formula ringkas itu. Pada masa yang sama, Husni mula melipat kain yang dijemurnya semalam. Husni mula mengatur kata.

Khairi, aku tanya sikit boleh? 
Sejak masuk second year kau kat sini, nampak lain macam je aku tengok. Dulu biasa je. 
Sekarang hari-hari aku nampak kau serabut. Kau kenapa doe? Citer ah. Simpan sendiri masalah tak setel bro.”

Khairi masih diam. Walaupun earphone tersangkut kemas di telinganya, sebenarnya dia mendengar setiap bait ayat yang disebut oleh Husni. Sengaja tidak mahu melayan rakannya, mahu fokus pada pelajaran. Sedangkan dalam kepalanya, berbagai-bagai jawapan mula difikirkan.

Pensel picit diletakkan di sisi buku latihan. Letak punggungnya diubah menghadap Husni. Mukanya mahukan pertolongan.

“Hus.. Aku.. Aku buntulah.  
Stress. 
Second year ni aku tak dapat tangkap lah benda apa yang nak kena belajar. Dua sem Hus, dua sem result aku jatuh. Dulu waktu matriks aku okay je. Yang ni? 
Aduh. Kusut lah!”

Husni masih diam di situ. Tersenyum mendengar pengakuan ikhlas dari sahabat sebilik. Anggapannya selama ini ternyata benar. Khairi yang cemerlang keputusannya dahulu, mula berubah atas satu sebab yang meyakinkan.

Dia merasakan dirinya sudah tidak betah mahu belajar.

Husni mula menyusun ayat. Analogi ringkas difikirkan sedari itu juga.

“Agak-agak kau kan Khairi, sebab apa uncle depan tu buka kedai gunting rambut? 
Sebab dia nak gunting rambut orang ke, sebab dia nak jumpa macam-macam orang?”

Riak muka Khairi sedikit berubah. Kaget mendengar persoalan rakannya yang semacam tidak kena dengan situasi.

“Sah sah dia nak gunting rambut orang. Pelik lah kau.”

Husni membalas.

“Tak jugak lah weh. Mana kau tau dia nak apa dalam hidup ni.  
Kokoro beb kokoro. Hati ni tak ada siapa pun tahu lah. Tu, yang atas je yang tahu lah”

Jari telunjuknya ditunjuk ke atas.

“Haha chill. Camni je nak cakap sebenarnya. 
Kau pernah terfikir tak, kenapa tiap-tiap orang yang kau jumpa kat dunia ni, semua spesies lain-lain. Ada orang jenis nak kaya raya, ada jugak yang suka belajar je keje dia. 
Ok lah, aku bagi contoh mudah. Dalam situation kau yang macam tension je aku tengok ni, kenapa kau rasa ada orang boleh rileks je tak belajar tapi result perform. Dan ada juga, yang walau result dia jatuh kemain pun, muka still rileks tak rasa apa-apa. 
Pelik kan?”

Khairi mengangguk-angguk kepala mengiakannya. Rasa terkena betul dengan dirinya saat itu. Merah pipinya dikawal. Protes lagi.

“Percaya tak semua orang, ada rezeki dia masing-masing? 
Kau kau, aku aku. 
Percaya kan? Ni dari kecil kita dah dengar benda ni kan?”,

dia tersenyum sinis.

“Percaya tu memanglah percaya Hus, tapi, kau faham tak kondisi aku sekarang? Result aku jatuh sangat kau tahu? Kalau kau setakat nak nasihat acah-acah suci cakap macam tu, tak apalah Hus. Kau carilah orang lain. Biar je aku ni.”

Keras sedikit nada suaranya. Dia bingkas bangun dan sempat ditenung tajam wajah sahabatnya yang baru mahu memulakan kata. Botol air diambil, langkahnya dibawa ke pintu.

“Sesungguhnya seluruh amal itu tergantung kepada niatnya, dan setiap orang akan mendapatkan sesuai dengan niatnya.”

Derap langkahnya terhenti. Dengan muka yang masih belum berpaling, dia berdiri di situ.

“Aku bukan tak nampak Khairi, aku tahu apa yang kau rasa. Tapi takut kau sendiri terasa kalau aku nak cakap benda ni. Hidup ni bukan pasal nak kejar gred je tau Khairi?  
Niat Khairi. Niat. 
Duduk sekejap boleh? Nanti-nantilah ambil air tu. Aku minta maaf kalau tadi aku salah cakap tadi.”

Entah mengapa, tubuhnya mudah sahaja menurut kata Khairi. Dia berjalan ke meja tulis, dengan mukanya masih masam, menatap dinding.

“Benda apa kau nak cakap? Cakaplah cepat!”

Khairi bersyukur pertelingkahan itu tidak berlarutan. Dia meneruskan bicara.

“Apa yang aku cakap tadi, hadis nabi,cerita pasal niat. Ok mungkin kau tak berapa minat nak dengar tapi, cubalah jugak dengar kejap ya? 
Bagi aku Khai, niat kau mungkin dah lari sikit. Sorry kalau terasa, tapi macam ni lah senang cerita. Kau fikir balik, apa sebab kau nak belajar semua ni? Nak jadi engineer kan? 
Sebab apa? 
Kenapa kau sanggup susah payah belajar ni, tapi kenapa exam kau baru-baru ni tak score? Selalu terfikir kan?”

Dia masih membisu.

“Mungkin kau tengok, kau dah solat, belajar semua, tapi kena sedar Khai, kalau manusia tu manusia jugak. Jangan sampai apa yang kita nak tu buat kita tak tunaikan hak-hak yang lain. Solat? Kau buat betul-betul ke tak? Ke cukup syarat? Mak ayah? Call tak? Mak kau ada mesej aku sebenarnya tanya kenapa kau tak contact-contact dia. Semester lepas pun ada mak kau mesej. Memang kau berniat ke buat benda ni? Atau macam mana?”

Khairi menggeleng.

“Rileks. Jangan muka ketat sangat. Aku tahu, kadang-kadang kita terlepas pandang benda ni. Padahal benda kecik macam nilah yang boleh efek hidup kau Khai. Takkanlah kita nak jadi engineer hebat-hebat, tapi dengan Tuhan buat nampak tak, dengan mak ayah kita buat endah tak endah?”

Khairi hampir mahu mengalirkan air mata. Tapi ditahannya dalam-dalam.

“Aku minta maaf Khai, tapi aku harap sangat kau fikir balik tau. Aku pun tak perfect, tapi tak salah aku rasa kita nak nasihat sesama kita kan? Chill. Bro fist sikit. Hahaha”,
 Husni tersenyum.

Khairi bingkas bangun, melangkah keluar dari bilik. Di dalam hati Husni, hanya Tuhan yang tahu betapa takutnya dia jika dia tersalah cakap. Namun, terlepas jua apa yang disimpan sekian lama.

Tangan ditadah memohon doa.
  
***
 Sudah lebih seminggu rasanya dia tidak bercakap dengan Husni. Mungkin sedikit lucu, tapi sebenarnya dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara. Jujurnya, apa yang dikata Husni memang terkena sungguh pada dirinya.

Sedang dia mengelamun memandang luar tingkap, Husni masuk ke dalam bilik. Mereka berdua sebenarnya baru balik dari kuliah, tetapi oleh sebab jadual kelas Khairi petang itu habis awal, dia balik ke bilik lebih awal daripada Husni.

Sementelah duduknya Husni, dia mula berbicara.

A… Aku minta maaf  Hus, marah-marah kat kau minggu lepas. Mungkin aku jugak ego, taknak terima apa yang kau cakap. Memang betul. Aku ni banyak protes je. Sedangkan Tuhan dah bagi can kat aku rasa nikmat, sampai lupa apa yang aku patut buat. Terima kasih weh. Nasihat-nasihatlah aku lagi ok?”

Sambil tangan kirinya diletakkan di belakang kepala, dengan muka tersengih Khairi menghulurkan tangan tanda damai antara mereka. Mereka bersalaman.

“Baguslah macam tu. Cuak jugak aku takut-takut kau terasa kat aku. Hah, malam ni sibuk tak? Jom teman aku pergi jumpa orang sekejap. Insha Allah lah, mamat ni jugak lah ajar aku macam-macam. Nak? Dia nak ajak makan-makan sikit. Peluang ni bro, hahaha” 

ringkas Husni berkata.

“Ok je, homework semua pun dah siap. Aku on je.”

Jauh di sudut hati Husni, dia rasa sangat bersyukur. Peluang ini akan dia gunakan sehabisnya. Moga hari-hari seterusnya akan memberi lebih cahaya.


Tiada lagi protes.

**
Nota kaki:

Hadis niat:

Dari Amirul Mu'minin (Abu Hafsh atau Umar al-Khattab radiyallahu'anhu) dia berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya seluruh amal itu tergantung kepada niatnya, dan setiap orang akan mendapatkan sesuai niatnya. Oleh kerana itu, barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang menjadi tujuannya (niatnya)"

40 Hadis Imam Nawawi.

p/s: koreksi niat hidup kita. Ha! apa tujuan kamu belajar hari ini? Nak lulus periksa? jeng jeng jeng. :3

Ditulis oleh: Encik Buyo

*心, kokoro [hati]

No comments: