Friday 15 May 2015

Unmei: Ia Tertulis




Suasana hiruk-pikuk dalam bangunan itu bagaikan mencengkam. Pendingin hawa yang dibuka, hampir tak terasa sejuknya. Ditelan kegelisahan manusia yang sabar menunggu. Dari luar pagar, bangunan ini begitu sunyi. Saat kaki melangkah masuk, pelbagai ragam manusia yang ada, jelas terpampang di tiap-tiap wajah mereka. 

Ada yang termenung. 

Ada yang menahan air mata. 

Ada yang tersenyum.

Senyuman pahit.

*** 
Yang ni ubat adik ya. Yang ni Laratadine. Yang Ascorbic Acid ni, vitamin c tau. Sekali sehari, selepas makan. Ubat ni, adik ambil selepas makan. Jangan makan dengan perut kosong ye!

Dari jauh mataku melihat tulisan tertera pada plastik ubat itu. 

Ferrous Fumarete. For low haemoglobin. 

Laratadine biasanya untuk alergi, gatal-gatal.

Tersenyum. Aku pernah dengar pasal ubat tu.

“Eh, Kenapa termenung?Ada la tu rezeki nanti. Kalau adik memang nak jadi macam akak, insha Allah boleh. kena kuat usaha sikit, barulah impian adik tercapai. Belajar elok-elok tau.”
Pertemuan ringkas sebentar aku bersama Doktor Rohani tadi membuatkan semangatku berkobar-kobar. Semacam aura itu muncul, lalu menggugah diriku untuk terus menjadi seperti Doktor Rohani.

Berkerjaya. Bijak. Elegan.

Paling penting, jiwaku seperti  memberontak mahu membantu orang di luar sana. Seperti orang yang dahagakan air, aku dahagakan cita-cita ini. Cita-cita yang aku yakin, membawa aku 1001 pengajaran. Benarlah, menziarahi orang sakit akan mengingatkan kita tentang mati. Ya mati. Menambahkan lagi keyakinan aku untuk memilih bidang itu sebagai kerjaya masa hadapan.

Doktor.

Sejak dari kecil aku memendam rasa. Kali ni, aku tekad. Aku mahu menjadi seorang doktor!

***


もう 終わったか?  [mou owattaka?] ( Dah siap? ) ” 
 “ Dah.”

Ruang petak kosong di atas kertas A4 itu diisi. 
 
レポート (Report)

 名前:マディハ ( Nama: Madihah)

Siap!

“Awak nak tolong hantar?”
“ Yela. “ .

 Bayang sahabatnya, Amira itu berlalu hilang dari pandangan mata. Mata digosok-gosok. Tangan laju memicit kepala usai menaip report yang perlu dihantar. Pening kepalanya terasa akibat mahu menyiapkan report yang perlu dihantarnya itu. Sehari dua dia tidur lewat, mencari maklumat apa yang patut. Baru kini dia dapat berehat. Untunglah rakan karibnya itu sudi menghantarkan report itu ke bilik pensyarah di bangunan akademik; tidak jauh daripada perpustakaan. Tarik nafas. Tangannya galak mengambil komputer riba, lalu ditekan butang on di sudut kiri komputer berjenama Asus itu. Lantas, jemarinya pantas bergerak. 

Mouse laptop dipegang. Google Chrome dibuka.

Klik!

Button [New tab] ditekan. Tangannya pantas membuka laman blog dirinya, tempat meluah apa yang dirasa apa yang patut. Yang mahu dikongsinya kepada dunia. Butang New post ditekan, dan dia mula menaip.

“Kuatkan aku,Ya Allah!”
Gerak pantas jarinya terhenti di situ.

Tiba-tiba perasaannya bercampur baur. Jika dibuka tempurung kepalanya, entah berapa ribu aksara sedang rancak bergerak ke sana-sini, mencari antara satu sama lain untuk membentuk kalimah yang tepat.

Namun, kalimahnya tidak terjumpa. Seolah-olah hilang.

Ironinya, dia sendiri tidak mengerti apa yang berlaku.

Sudah dua tahun berlalu, semenjak hari pertama dia mendaftar di program pengajian ini. Pada awalnya, dia sendiri tidak mahu berada di sini, dek kerana cita-cita yang dia mahukan. Namun, atas dasar mahu mencuba, dia menerima tawaran ini terlebih dahulu. Allahu, perasaannya tidak menentu ketika itu. Keliru. Takut pilihannya salah. Takut pilihannya memberi ruang lingkup masa hadapan yang gelap.

Dia masih terpana di situ, di tempat duduk paling hujung di dalam perpustakaan, sendiri bersama komputer ribanya. Tiada sesiapa. Hanya dia dan juga kata hati. Sedang berdialog mencari kata putus.

"Jawapannya sama!"

 Ya, dia mendapat jawapan yang sama! Hati yang dahulunya berat, kini tidak semena-mena yakin. Solat istikharah telah dilakukan. Jika ini yang telah diaturkan olehNya, mengapa tidak? 

Wajarkah jika aku mempersoalkan ujian ini? Manusia. Ilmunya terhad. Kerana itulah, keputusan ini diserahkan kepada The Most Highest Power. Allah. 

Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita!

Beberapa kali dia beristighfar. Bimbang diri tidak terkawal dengan ujian yang diberi olehNya. Otak ligat berfikir. 

Teringat isi Hadis ke 4 Imam Nawawi.

Yakin pada Qada dan Qadar Nya.

Telah ditetapkan 4 perkara kita.

Ajal. Rezeki. Amal perbuatan. Bencana atau bahagia kita. Adakah ini rezeki yang telah ditetapkan olehNya? Rezeki. 

***


Awak menyesal masuk program ni? ”


“ Tak.”


“ Sebagai hamba yang kerdil, yakin akan hikmah disebalik semua yang berlaku. Urusan kita bukan lah berterusan merungut dengan apa yang diberi. Sebaliknya, laksanakan kewajipan dan bekerja menurut jalan yang diredhaiNya. Saya tahu, awak pun faham. Tinggal nak terus move on, atau awak sendiri akan terseksa dengan perasaan kesal tu.”


Senyap. Kerdilnya aku. Perbualan dengan Amira beberapa hari lalu seolah-olah bermain di kotak fikirannya. Beberapa kali dia istighfar.



"Ya, ini rezeki aku!! Jika kita benar-benar yakin akan ketentuanNya, mengapa perlu bersedih? Biarpun kamu rasa susah, berusahalah untuk memahaminya!"
Matanya rasa berpasir. Cepat-cepat barangnya dikemas. Malu dilihat orang. Langkah kakinya berlalu menuruni anak tangga perpustakaan menghala ke kediaman pelajar wanita di situ. Barang Amira juga tersisip kemas di dalam beg sandang, di bahu sebelah kanan.

"Biar monolog ini berlarutan. Aku mahu bertegas dengan diriku!"
***
Usai masuk ke bilik, perlahan-lahan tangannya mencapai sepucuk surat yang disimpan di dalam rak, sebelah meja tulis. Masih tidak dibaca betul-betul isi surat itu. Sebak. Gembira. Jika inilah jawapan dariNya. Surat tawaran menyambung pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu dipandangnya tetap tanpa mata berkedip. Ke Jepun?

Engineer?

Gulp.

Madihah menarik nafas. Lega. WhatsApp daripada Amira yang mengatakan report nya sudah selamat diterima Matsumoto Sensei benar-benar menenangkan hati. Barang rakannya tadi juga, sudah selamat dihantar ke bilik.

Surat tadi ditatapnya semula.

Mechanical Engineering. Bidang yang tidak pernah dia fikir untuk masuk ke dalamnya. Bidang yang suatu ketika dahulu sangat asing. Dipandangnya pun tidak.

Kini? Kadang terfikir, entah bagaimanalah keadaan dirinya jika tidak belajar di sini. Perubahan yang dapat dirasainya semenjak dahulu, menjadi bukti kukuh bahawa tempat ini punya biah yang baik untuk dirinya. Dan sayangnya dia pada cita-cita dahulu, terbayar dengan apa yang dia terima di sini.

"Biar aku hilang cita-cita dahulu, kerna yang kini sedang mengajar aku. 
Manusia. Sering mengikut hati. 
Tanpa memerhati, apa yang telah dia kecapi hari ini.Tanpa menikmati, merasai, betapa luasnya ilmu yang diperolehi"

Kini aku sedar. Bukan hanya kerjaya doktor yang dapat membantu orang di luar sana!

Tidak kira kita siapa, dimana jua. 

Jika kita yakin setiap hambaNya yang berbuat baik akan dibalas dengan ganjaran yang baik, kenapa perlu ragu? 

Firman Allah SWT ;

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al Baqarah 2 : 216 )


Di mana sahaja kita berada, ayuh, sampaikan cinta ini. Cinta yang benar-benar buat kita mahu bekerja di dunia untuk akhirat. Biar seronoknya kita di dunia ini berteraskan cita-cita kita untuk akhirat sana.

Tukang sapu? Tukang kayu? Doktor? Engineer?

Siapa pun kita, bersyukurlah! Bila dah nampak hikmah disebalik setiap babak kehidupan ini, kita akan tersenyum. Kerana ternyata, itulah yang mengajar kita. Dirinya yang dahulu berbolak-balik jiwanya, kini sudah mampu tersenyum. Di biliknya itu, kata-kata ini dikata seorang diri. Mahu menetapkan harapan dan citanya.

"Namaku Madihah. Student 機械専攻 dan, aku bahagia. Selamat datang ke dunia engineering!"

Semuanya sudah tertulis. Senyum.

***

Kisah ini dinukil bagi kamu di luar sana yang merasakan sudah tersilap dalam menyambung bidang pengajian. Mungkin apa yang kamu ambil kini, tidak seperti yang kamu harapkan. Namun harus diingat, jika kita hanya mahu berdolak-dalih, adakah mampu untuk kita berjaya? Lupa janji kamu pada Tuhan untuk memakmurkan dunia ini atas nama agamamu?

Terinspirasi daripada isi berkenaan qada dan qadar yang dicerna melalu hadis keempat Imam Nawawi (Hadis 40):


"Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas’uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga. 
Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim"
Ingat, apa yang terbaik untuk kamu bergantung pada The Most Highest Power! Sentiasalah berprasangka baik.

Moga setiap gerak kerja kita keranaNya. InsyaAllah. 

*機械専攻 (baca: kikai senkou; Jurusan Kejuruteraan Mekanikal)
*Unmei ertinya Takdir

ditulis oleh: IL

No comments: