Monday 21 December 2015

Illogically Logic

bila lojik menjadi illojik  -kredit-

Dewasa ini kita sering melihat pelbagai isu yang pada zahirnya nampak logik pada akal namun pada syariat Islamnya ternyata tidak kena. Isu terbaru adalah daripada sekumpulan bekas pekerja awam yang menggelarkan diri mereka sebagai G25. Mereka mengemukakan tuntutan yang amatlah ekstrem antaranya jangan diganggu orang yang berkhalwat, jangan halang hak asasi LGBT dan jangan halang orang bukan Islam mengutuk syariat Islam.

Paling mengejutkan apabila kenyataan daripada salah seorang daripada ahli G25, Datuk Noor Farida Ariffin menyatakan bahawa “Khalwat di rumah sendiri adalah hak dan privasi setiap individu”.  Kenyataan ini lah yang telah membawa pelbagai reaksi daripada masyarakat sehingga menjadi isu hangat di negara ini. Ramai juga yang menyokong kenyataan ini dengan alasan berlandaskan kebebasan hak asasi manusia. 

Namun harus sedar bahawa isu yang sebegini bukanlah lazim di negara kita apabila tahun 2013, wujud juga satu pertubuhan gabungan NGO Malaysia yang digelar “Coalition of Malaysian NGO’s” yang telah menghantar draf laporan COMANGO bertarikh 11 Mac 2013 sebagai laporan “stakeholder” untuk proses semakan berpenggal sejagat yang dihantar kepada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). 

Antara isu-isu yang dibincangkan dalam draf laporan itu termasuklah kebebasan murtad, menghalalkan seks songsang, menghapuskan kesalahan jenayah syariah dan pelbagai perkara lain yang jelas amat bercanggah dengan syariat agama Islam.  Bukan itu sahaja, isu seperti ini juga telah berlaku dalam lingkup waktu yang sama iaitu Seksualiti Merdeka yang memperjuangkan hak seseorang untuk mengamalkan LGBT. 

Walaupun pelbagai isu sebegini berlaku, amat mengejutkan bahawa terdapat golongan yang menyokong usaha-usaha pertubuhan-pertubuhan ini yang bertambah dari tahun ke tahun. Mengapakah wujudnya perkara yang sedemikian?

Hal ini demikian kerana golongan ini hanyalah menggunakan logik akal yang “buta” semata-mata. Lebih teruk lagi apabila ada yang menggunakan logik akal yang berlandaskan hawa nafsu. Berdasarkan isu-isu yang digariskan, jelas bahawa golongan manusia menggunakan logik akal semata untuk membuat pertimbangan dalam perkara-perkara ini sehingga mengubah perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh agama Islam yang murni ini.

kerosakan di muka bumi, boleh kah dibaiki? -kredit-


Lantas tidak hairan lah pelbagai kerosakan telah berlaku di muka bumi ini akibat manusia yang mentadbir alam ini hanya akal yang berlandaskan hawa nafsu dan logik akal semata-mata. Daripada pelbagai bidang seperti pentadbiran mahupun perniagaan pelbagai korupsi sering sahaja berlaku. Walaupun peristiwa peristiwa umat terdahulu telah menunjukkan azab Allah S.W.T terhadap golongan yang hanya bertunjangkan hawa nafsu semata seperti kaum Nabi Lut, Kaum Aad yang diterbalikkan muka bumi dek pengamalan homoseksual.

Manusia adalah ciptaan Allah S.W.T yang paling sempurna kerana dikurniakan akal untuk berfikir tentang kebesaran Allah S.W.T, juga untuk membezakan antara baik dan buruk. Namun mengapa manusia yang asalnya daripada tanah, makan hasil daripada tanah, berpijak di atas tanah, masih lagi bersikap setinggi langit yang sombong dan memudaratkan muka bumi ini?

Justeru, pentingnya untuk kita untuk mempunyai akal yang berfikir berlandaskan iman. Maksudnya menggunakan akal fikiran dengan sebaiknya agar senantiasa mengikut tetapan dan peraturan Allah S.W.T. Jadi bagaimana untuk memastikan akal kita berfikir berlandaskan iman?

Ya, dengan membaca dan mengamalkan mukjizat agung Rasulullah S.A.W yakni Al-Quran yang tertulis pelbagai syariat dan panduan dalam agama Islam. Sekiranya dilakukan nescaya fikiran kita akan lebih bersih untuk membezakan yang mana baik juga yang mana buruk. Namun, berhati hati lah agar tidak ditafsir al Quran itu mengikut kehendak nafsu kita semata ataupun demi kepentingan peribadi atau pihak pihak tertentu. 

Maka apabila suatu isu berlaku dalam kehidupan, nilailah isu tersebut dengan akal yang disulami dengan iman bukannya hawa nafsu. Contohnya di beberapa buah negara sudah ada penjualan arak halal yang kononnya tidak memabukkan, adakah  kita ingin meminumnya kerana logik akal bahawa air itu sudah bersih halal sedangkan kita perlu menghindarinya kerana ternyata arak itu haram di sisi Allah S.W.T. 

Bayangkan pada masa hadapan adanya khinzir halal, adakah kita mahu memakannya? 

Wallahualam. 


Ditulis oleh,
zan

No comments: