Saturday 31 May 2014

Sebelum Terlambat...

Aku sayang Allah, aku takutkan Allah.
Tapi, masih mampu melanggar perintahNya, melakukan sambil lewa suruhanNya,
Huh! Itukah buktinya kau sayangkan Dia?

Aku cintakan Rasulullah SAW, aku rindukan baginda, aku ingin sekali menatapnya.
Tapi, kau tinggalkan sunnahnya, kau utamakan yang lain dari Rasulullah SAW dalam hatimu, kau hina dan kau sebarkan serta kau percaya akan cerita-cerita tidak benar tentang sahabat-sahabatnya yang mulia, tanpa sedikit pun menyelidik kesahihannya,
Huh! Itukah bukti kau cintakan Rasulullah SAW?

Aku tidak akan sekali-sekali mahu menjejak kaki ke neraka, ya Allah!
Tapi, kau masih bermaksiat, melakukan dosa, kala keseorangan, lagi dahsyat, kau berbangga pula dengan dosa yang kau lakukan, tanpa rasa malu apatah lagi segan padaNya,
Huh! Itukah bukti kau tidak ingin sekalipun ke nerakaNya?

Aku ingin sekali ke syurga, penuh kenikmatan.
Tapi, amal kebaikanmu masih sikit, masih statik, tidak pula berusaha ingin menambahnya dengan amalan-amalan sunat, malah amal sedia ada, dikerjakan sekadarnya sahaja, tanpa khusyuk, mungkin riak pula yang timbul,
Huh! Itukah bukti keinginanmu ke syurga?

Aku kasihkan al-Quran, panduan hidupku,
Tapi, berapa kalikah kau buka halaman al-Quran itu dalam kehidupan sehari-harimu, pernahkah kau terdetik untuk memahami maknanya, adakah kau cuba untuk memahatnya dalam hati dengan menghafaznya, 
Atau sekadar menjadi penghias semata dalam kamarmu,
Huh! Itukah bukti kasihmu pada al-Quran?

Aku kasihkan saudara-saudara seIslamku.
Tapi, tidak sekali pun kau terasa apabila mendengar penderitaan mereka, berkira pula apabila diminta untuk menderma, malah dengan seronoknya kau menyokong tanpa sedar ataupun tidak, musuh-musuh yang telah mencipta serangan penderitaan sesetengah umat Islam kini yang masih berterusan,
Dengan orang-orang terdekatmu, kau masih mampu menutup mata, memandang sebelah mata sahaja, apabila melihat mereka tersasar dari jalanNya yang lurus, tidak kau ajak dirinya melakukan kebaikan, meninggalkan kejahatan, lagi parah, kau menyokong, menggalakkan lagi,
Huh! Itukah bukti kau kasihkan saudara-saudaramu?

Aku ingin membantu menyebarkan dakwah, mengIslamkan mereka yang masih belum melihat cahaya Islam, menegakkan syiar agamaku yang mulia,
Tapi, kau masih malu dengan Islammu, kau masih tidak izzah dengan agamamu, kau masih berkelakuan tidak sepatutnya, tidak mencerminkan peribadi Islam dalam dirimu, Islam sekadar nama, tanpa cuba memahami erti sebenarnya, menyempitkan agamamu sekadar dalam ruangan lingkup ibadah dan masjid semata,
Huh, itukah bukti kau ingin menegakkan syiar Islam yang tercinta?

Aku ingin berubah, ya Allah!
Tapi, mujahadahmu tidak kau kuatkan, tekad tidak kau bulatkan,  benteng keimanan tidak kau dirikan dengan amal-amal, kau cepat mengalah apabila godaan syaitan yang direjam dan hawa nafsu datang menyerang,
Malah, kau ragu-ragu dengan sifat ar-Rahim Allah, kau kurang teguh akan sifat ar-RahmanNya, kau berputus asa akan rahmatNya, kau berburuk sangka padaNya, kau rasa dirimu tidak akan pernah diampunkan, kau rasa dirimu ditakdirkan untuk menjadi sang pendosa tegar, kau tidak yakin dengan maghfirah keampunannya yang maha luas tidak terkira,

Ingatlah kisah si pembunuh 100 orang diterima taubatnya, ingatlah kisah sang pelacur pemberi minum si anjing diampun dosanya, ingatlah ayatNya yang mulia!
‘Dan apabila hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
Surah al-Baqarah ayat 186
Lihatlah, betapa penyayangnya Pencipta kita. Lihatlah! Saksikanlah bagaimana Quranul Karim menjadi saksi dan bukti betapa Allah sangat menyayangi hamba-hambaNya. Malah, ketahuilah, Rasulullah SAW pernah bersabda,
 Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik di antara mereka adalah yang bertaubat
Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Majah
Kembalilah, kembalilah, kembalilah kepada Tuhanmu yang Maha Mencipta, perbaikilah, perelokkanlah dan berubahlah wahai diri. Jangan kau leka, jangan kau terus hanyut, jangan…

-kredit-
 Bersegeralah!

Sebelum terlambat…

i.j.
Sai. 

No comments: