Friday 3 April 2015

Fantastic F.O.U.R.

credit

Assalamualaikum warahmatullah dan konnichiwa!

Ehem. Post kali ini sedikit panjang ya. 

Jom kita baca sambil rileks makan keropok petang jumaat yang osem ni!

Kali ini penulis ingin berkongsi tentang sebuah hadis daripada 40 hadis penawar hati daripada kompilasi Edisi Istimewa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman oleh Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam iaitu:

Daripada Abu Barzah Nadhlah bin ‘Ubaid al-Aslami r.a.; beliau berkata, telah bersabda Rasulullah S.A.W:
“Tidak bergerak kedua-dua kaki seorang hamba (di hadapan Allah pada hari kiamat nanti), sehingga terebih dahulu dia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya, dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa dia melakukannya, dan akan ditanya tentang hartanya dari mana dia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya, dan akan ditanya tentang tubuh badannya untuk apa dibinasakannya (digunakannya).”

Penulis berasa seram sejuk setelah membaca hadis ini, mengapa? Kerana hadis ini seolah-seolah merupakan sebuah peringatan yang amat keras kepada hamba-Nya yang soleh dan beriman. Apa yang digambarkan oleh hadis ialah situasi apabila pada manusia akan disoal dan dihisab dengan seadil-adilnya di Padang Mahsyar, ditanya tentang empat perkara tersebut.

Bayangkan pada waktu tersebut berbillion manusia akan dibangkitkan semula selepas tiupan sangkakala oleh malaikat Israfil lantas berkumpul di Padang Mahsyar, tempat di mana Mahkamah Agung Allah S.W.T berlangsung pada tempoh waktu yang tidak dapat dibayangkan pada setiap umat manusia bermula daripada umat Nabi Adam. 

Meskipun kita sebagai umat Rasulullah S.A.W. akan dibicarakan paling awal sekali namun tidak bilangannya pun sudah ramai.

Yang paling menjadi kerisauan penulis ialah frasa ‘tidak bergerak kedua-dua kaki seorang hamba’ sehingga betul-betul dibicarakan tentang:

1)      Umur
2)      Ilmu
3)      Harta
4)      Tubuh badan

Yang telah kita ‘pinjam’ daripada Allah S.W.T yang Maha Esa. Penulis menyatakan keempat-empat ini hanyalah ‘pinjaman’ daripada Allah S.W.T kepada kita kerana ia ialah rezeki dan nikmat yang diberikan olehNya untuk digunakan oleh kita umat manusia ke arah kebaikan.

Namun begitu, cuba fikirkan sejenak, sejauh manakah kita betul-betul menggunakan keempat-empat perkara tersebut ke arah redha Allah? Kita renungkan satu demi satu:


1)      UMUR


Sepanjang kita hidup di dunia ini, (bagi situasi penulis yang sudah memasuki alam 20-an), sejauh manakah kita menggunakan nikmat umur tersebut ke arah yang benar. Dari kecil kita telah dimanjakan oleh kedua ibu bapa kita ketika zaman kanak-kanak, pabila masuk alam remaja, ramai antara kita yang suka akan kebendaan dan keseronokan yang dunia ini hadiahkan, lantas menjadi sebuah fenomena yang biasa di negara kita pabila umur kita telah lanjut atau orang kata usia senja barulah ingat tuhan dan beribadah. Bukan niat penulis hendak merendahkan orang tua yang kuat beribadah. Namun situasi lazim yang berlaku:

“nanti-nantilah aku bertaubat, rilek dulu kita muda kot, kita enjoy dulu lah, tua-tua nanti barulah bertaubat solat bagai”

“ahhh tak yah alim sangat lahhh… kita muda lagi, tak muda lah kalo x berjimba weyhhh”

MasyaAllah… takut bukan?

Jikalau persepsi ini yang kita percaya dan pegang, maka apa yang kita hendak jawab kepada Allah S.W.T apabila ditanya tentang apa yang dibuat pada masa muda kita? Sedangkan pada masa mudalah masa yang paling ampuh untuk kita memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah S.W.T kerana ajal maut di tanganNya. 

Jadi ubahlah jika anda berfikiran sebegitu. 

Manalah tahu pada saat ini nafas kita terhenti lantas tidak sempat bertaubat kepadaNya. Alangkah ruginya manusia tersebut bukan?

2)      ILMU

Seperti yang tahu, ayat pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad ialah Iqra yang bermaksud bacalah dan secara penuh maksud surah pertama Surah Al-Alaq ialah

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.”

Yang jelas menyeru kepada semua yang beragama Islam agar menuntut ilmunya yang terbentang luas agar senantiasa dapat menegakkan syariat Islam di muka bumi ini. 

Namun begitu, adakah kita sebagai HambaNya adakah betul-betul melaksanakannya?

Bayangkan, daripada bangku sekolah kita didoktrinkan agar sentasa belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat semua A dalam peperiksaan lantas kita sanggup melakukan apa jua cara sekalipun untuk mencapai kejayaan yang kita idamkan. Namun begitu, mungkinkah kejayaan yang kita inginkan hanya kejayaan dunia semata-mata?

“Saya hendak belajar bersungguh agar dapat mencapai cita-cita menjadi seorang engineer yang superb…”
“anak saya nanti next year fly jepun nanti… bangga kott…”

Kalau jenis yang di sekolah atau universiti yang langsung tidak belajar pula bagaimana? Tidakkah dia telah mensia-siakan hidupnya dengan tidak mengkaji benda yang ada di sekelilingnya? Yang hanya dipenuhi dengan keseronokan semata-mata?

Tidak dinafikan ilmu Allah terdiri daripada ilmu duniawi dan ilmu agamawi namun kita dituntut agar senantiasa seimbangkan antara keduanya. 

Alangkah indah jika kita menanam azam untuk menjadi seorang pejuang Islam yang diberi nama ‘Engineer Muslim’ atau  ‘Cikgu Muslimah’ atau apa pun kerjaya anda, yang betul-betul mengamalkan ilmu Allah ini ke arah yang benar dari menggunakan ilmu untuk keduniaan dan kebinasaan semata?

3)      HARTA

Jikalau dunia ialah penjara bagi setiap orang mukmin, maka penulis boleh katakan harta dunia ialah racun bagi kita umat manusia yang hidup di dunia yang fana ini. 

Mengapa?

Kerana harta amatlah dikaitkan dengan kekayaan dan kemewahan lantas mengaburkan semua mata umat manusia di muka bumi ini.

Dan secara tidak langsung kita pun terperangkap dalam helah harta ini. Buktinya cukup mudah, ada antara kita yang sanggup bekerja siang malam sepanjang malam tidak mengira masa untuk mencari harta sampai alpa tentang apa sebenarnya tujuan penciptaan manusia di muka bumi Allah ini. 

Untuk menjadi khalifah dan hambaNya. Dan harta ini telahpun berjaya mengaburkan mata kita daripada mengetahui kebenaran yang sebenar apabila kita ditanamkan ‘mindset’ untuk menjadi seorang yang kaya.

Lebih teruk lagi apabila seseorang yang mempunyai harta yang banyak namun dibazirkan dengan begitu sahaja ke arah benda keduniaan. Harta yang bersifat tidak kekal inilah yang menjadi penanda aras kekayaan seseorang di mata orang. Lantas pelbagai sikap buruk seperti hasad dengki dan busuk hati wujud dek kerana cemburu akan harta orang yang lebih.

Oleh sebab itulah harta yang digunakan kepada jalan Allah ialah yang sebaik-baiknya. 

Harta yang dimiliki haruslah digunakan ke arah membangunkan dan memajukan umat Islam yang sekarang tertindas dalam permainan duniawi ini!

4)      TUBUH BADAN

Nikmat yang paling besar Allah S.W.T kepada kita umat manusia ialah nikmat tubuh badan sendiri. Pernahkan anda terbayang jika anda dilahirkan dengan haanya satu tangan dan satu kaki sahaja, bagaimana rasanya? 

Pastinya akan timbul kesyukuran yang tidak terhingga kini atas apa yang Allah berikan kepada kita.

Namun begitu, sayang beribu kali sayang tidak ramai yang menghargai nikmat tubuh badan yang dikurniakan ini. Dalam surah Rahman berulang kali diulang ayat yang membawa maksud:

“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”
Yang jelas memberi peringatan agar sentiasa menggunakan nikmat Allah ke jalan kebaikan.

Tubuh badan adalah aset yang amat berharga kepada manusia untuk sentiasa beribadat kepada Allah S.W.T dan bukanlah melakukan perkara mungkar seperti maksiat yang amat berleluasa ketika ini. 

Lantas gunalah tubuh badan kita dengan sebaiknya kerana pada hari pembalasan nanti, anggota tubuh badan kita ini boleh menjadi pembela yang akan membela kebaikan kita di dunia mahupun pendakwa yang akan mendakwa segala kejahatan kita di dunia nanti. Ini dijelaskan dalam firman Allah dalam surah Yasin ayat 65 yang berbunyi:

“Pada hari ini kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan kami kaki-kaki mereka terhadap apa yang mereka telah lakukan dahulu.”

Akhir sekali persoalan yang timbul untuk kita renungkan bersama ialah

Sudahkah kita bermunasabah?

Sudahkah kita menghitung diri sebelum diperhitungkan di hadapan Allah S.W.T kelak?

Wallahualam

credit


Ditulis oleh: zan









No comments: