Friday 25 September 2015

Aidiladha : Cerita Tentang Pengorbanan


Salam Aidiladha !
Eidul Adha disambut lagi tahun ini. Gema takbir bersambung-sambung memuji keagungan tuhan Yang Maha Besar. Dan pastinya kita akan kembali mengenang kisah pengorbanan dua orang manusia hebat dalam sejarah Islam.


Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".[37:102]


Hebatnya Nabi Ismail kerana memahami maksud yang telah ayahnya sampaikan dan baginda dengan tenang dan redha hatinya akur akan perintah Allah swt. Begitulah jiwa anak kecil itu telah terdidik dengan keimanan dan kepercayaan yang kukuh daripada orang tuanya sehinggakan baginda sanggup berserah jiwa dan raga semata-mata kerana Allah. Sungguhlah pengorbanan Nabi Ibrahim sebagai seorang hamba Allah melebihi kasih sayangnya kepada anak tersayang. Dan kerana tekad menjalankan perintah Allah swt, Allah telah menggantikan anak tersebut dengan seekor binatang sembelihan.
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;[37:107]

Begitulah Allah menguji hamba hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Kerana satu-satu ujian itu diberikan bukan untuk melemahkan tetapi untuk meningkatkan lagi tahap keimanan kita kepada Allah swt.

Dalam menempuh jalan-jalan inilah kita sering dituntut untuk berkorban itu dan ini, demi menyelesaikan tugas kita di atas muka bumi ini. Setiap perkara yang menuntut pengorbanan kita pastinya bukan sesuatu yang sia-sia jika kita ikhlas dan mendahulukan Allah dalam setiap pengorbanan yang kita berikan.


Dahulukan Allah dalam setiap pengorbanan
Pengorbanan tidak semestinya terhad kepada wang ringgit dan harta benda semata mata, tetapi juga melibatkan masa, tenaga dan kepakaran. Jika kita ingin membangunkan sebuah baitul muslim (keluarga muslim), pastinya kita memerlukan ilmu dan dalam menuntut ilmu tersebut juga, pastinya kita perlu berkorban masa untuk mempelajari hal-hal rumahtangga. Begitu juga apabila kita mahu membangunkan sebuah negara islam, kita bukan sahaja perlu mempelajari selok-belok pentadbiran, bahkan mengajak dan mendidik setiap rakyat agar memahami ciri-ciri sebuah negara islam dan mengamalkan setiap perintah dan larangan Allah swt.

Di kesempatan ini penulis ingin menyeru kepada pembaca sekalian akan suatu perkara yang pastinya dapat membantu kita menambah amal sementara masih berpeluang menyumbang untuk pembangunan ummah.

Kita seharusnya meyakini bahawa Islam pasti akan tertegak kembali pada masa akan datang.

Bersandarkan kepada keyakinan itulah, kita seharusnya menyusun langkah langkah yang dapat menjadikan kita sebagai salah seorang daripada orang orang yang berjuang untuk kemenangan itu. Tidak mahukah kita terlibat sama dalam usaha menaikkan kembali syiar islam yang dulunya dijulang julang? Meskipun kita mungkin tidak dapat melihat kemenangan islam pada zaman kita, pastinya langkah langkah orang terawal dalam kemenangan tersebut akan dikenang kenang.

Saksi kegemilangan Islam berabad tahun dahulu
Lupakah kita bagaimana Rasulullah saw dan para sahabat yang berkorban jiwa dan tenaga berkerah keringat ke sanas sini demi menyebarkan syiar islam. Berbekalkan keyakinan bahawa islam akan terus berkembang , islam akan menguasai dunia, nabi dan para sahabat bertebaran ke serata pelusuk dunia demi memastikan setiap inci dunia menerima dan mengetahui keindahan Islam. Kerana pengobanan yang tiada berbelah bahagi Nabi Muhammad saw dan para sahabatlah, hari ini kita boleh menghembus nafas dalam ruh dan jiwa Islam.

 Pengorbanan mereka juga yang seterusnya melahirkan tamadun tamadun Islam yang hebat seperti Umayyah, Abbasiyyah, dan Turki Uthmaniyyah di mana Islam telah berjaya menakluk sepertiga dunia. Walaupun nabi dan para sahabat tidak dapat melihat sendiri bagaimana keagungan Islam pada tamadun-tamadun tersebut, tetapi merekalah tunjang, merekalah akar yang setia berkorban hingga Islam berkembang pesat keserata dunia.

Sedarkah kita pengorbanan kita untuk Islam amatlah kecil sekiranya mahu dibandingkan dengan pengorbanan sahabat sahabat yang mahukan setiap pelusuk dunia mengetahui betapa indahnya, betapa lengkapnya ajaran Islam. Masih teragak agak lagikah kita untuk berkorban demi Islam tercinta? Masih sayang lagikah kita akan harta-harta yang tidak mungkin akan mengikut kita ke alam kubur? Masih sayang lagikah kita akan masa-masa berfoya foya duduk bersembang kosong dengan rakan taulan? masih sayang lagikah kita akan gadjet-gadjet yang semakin canggih?


Makin besar dugaan, makin hebat ganjaran yang Allah beri
Ayuhlah teman! Ayuhlah rakan! Kita berkorban demi Islam ini. Sekiranya bukan untuk ummah, fikirkan juga diri kita sendiri, yang lambat atau cepat, pasti akan kembali mengadap Allah swt. Fikirkan akan jawapan yang akan kita beri apabila ditanya ‘apa yang telah engkau sumbangkan untuk Islam?’ .

Semoga hayat kita yang masih berbaki ini tidak disia-disiakan dengan kelalaian terhadap dunia yang cuma sementara ini.

No comments: