Monday 13 June 2016

教習車 (Kyoushuusha)

Sejak berada di Jepun, ke mana sahaja mahu pergi pastinya akan menggunakan public transport atau bahasa melayu nya, pengangkutan awam. Manakan tidaknya, efisiennya public transport di Jepun sehinggakan kadang kadang kita terpaksa menunggu train untuk memulakan perjalannya kerana train itu tersampai awal di terminal. Kalau nak dibandingkan dengan public transport Malaysia, alahai~ Moga pengangkutan awam di Malaysia akan mampu meningkatkan perkhidmatannya agar mampu berkhidmat dengan lebih cemerlang demi rakyat jelata. *bunyi sudah seperti ahli politik gamaknya, hehe* 

Bukan sahaja sistem kereta apinya yang bagus, malahan sistem bas Jepun pun tidak kurang bagusnya. Baru baru ini, berkesempatan untuk menggunakan perkhidmatan bas di Jepun untuk sampai ke satu destinasi. Maka menunggulah dengan penuh sabar di terminal bas.

Sedang sedang menunggu bas yang akan sampai pada jam 11.42 pagi itu, tiba tiba terperasan satu bas yang tiada penumpangnya. Tidak ditunjukkan ke mana pula mahu pergi. Bila dilihat lebih lama pada bas itu, tertulis perkataan 教習車 (kyoushuusha). Apa kyoushuusha ini?



教習 (kyoushuu) dalam bahasa Jepun bermaksud latihan. 車 (sha) pula bermaksud kereta atau sebarang kenderaan. Bila digabungkan menjadilah 教習車 (kyoushuusha) yang bermaksud `kereta/kenderaan dalam latihan`. Tapi, dalam konteks bas ini, ia bermaksud `bas dalam latihan` or `training bus`. Demi memastikan kecekapan bas dalam perkhidmatannya, maka kyoushuusha diadakan untuk melatih pemandu pemandu bas yang bakal mengendalikan bas bas ini. 

Tapi, bukan itulah isi utama kali ini. Tidaklah berhasrat untuk menceritakan sejarah bas Jepun, sistemnya dan sebagainya. Tapi, apa yang nak diceritakan adalah analoginya kyoushuusha dengan Ramadan yang sedang kita lalui kini. 

Baiklah, ayuh kita mulakan. 

Seperti kebiasaanya, pemandu pemandu bas ini kenalah tahu bagaimana untuk mengendalikan bas, informasi mengenai laluan yang bakal dilalui peraturan peraturan sebagai seorang pemandu bas, apa yang perlu dilakukan dan sebagainya. Begitulah juga kita, seharusnya tahu apa Ramadan ini, hikmahnya, bagaimana ingin melaluinya dengan betul tepat dan mutakhir serta fadilat fadilat Ramadan ini sendiri. Apa pentingnya? Supaya mudah untuk kita menerangkan kepada rakan non muslim (especially those yang berada di oversea) mengenai Ramadan yang kita lalui. Tiadalah terkulat kulat kita dibuatnya. Malah, dengan mengetahui fadilat fadilat atau kelebihan Ramadan ini, pastinya kita akan lebih bermotivasi dalam menyambut Ramadan. 

Sewaktu kyoushuusha, mereka ini dilatih agar dapat membawa bas dalam laluan yang betul dan membiasakan diri dengan laluan laluan bas atau route route nya supaya tidak tersesat sewaktu membawa bas kelak. Begitulah juga dengan Ramadan yang sedang kita jalani ini, Seharusnya kita anggaplah Ramadan ini sebagai latihan dan tarbiyah buat kita dalam menghadapi laluan hidup sebagai seorang muslim dan mukmin. Supaya kita terbiasa dengan jalan dan laluan hidup Islam yang menyeluruh agar tidak tersesat dari jalan Islam yang sebenar. Misalnya ibadah solat terawih yang cuma ada dalam Ramadan mengajar kita untuk bangun malam dan solat demi mendapat reda Allah swt. Yang paling penting, puasa sebulan itu sendiri mendidik kita untuk menjadi lebih bertaqwa apabila kita bukan sahaja menahan nafsu makan, malah nafsu syahwat, nafsu mengompat, nafsu dosa berat, senang cerita, nafsu nak buat dosa. 



Selain itu, pastinya pemandu bas kyoushuusha mempunyai panduan sewaktu training atau dalam latihan. Begitu juga dengan kita, kita punya al Quran dan sunnah. Ayuh gunakan kedua dua panduan ini untuk menikmati kelazatan Ramadan yang dalamnya juga punya malam yang lebih baik dari seribu bulan, Lailatul Qadr. Dan sebagaimana kyoushuusha driver yang punya mentor sewaktu mengendalikan bas dalam latihan, kita juga perlu mencari tunjuk ajar dalam membawa diri dalam bulan Ramadan. Sebaiknya bergurulah dengan ustaz ustaz. Tapi, di zaman yang serba canggih ini, kita boleh dapatkan akses ke mana sahaja, apa sahaja hanya di hujung jari. Bukalah video di TiubAwak ke, membaca post post di MukaBuku atau Pentwit atau bukalah laman Pemblog yang bermanfaat. Gunakanlah teknologi dengan berhemah. Tapi, awas jangan sampai teknologi ini menyasarkan kita dari ibadah sepanjang Ramadan. 

Tapi, dalam Ramadan kadang kadang ada bunyi bunyi seperti ini 

"Alah, fake je tu. Alah sekejap je tu, habih Ramadan habihlah~"

Bukanlah nak jadi fake atau bajet bajet alim sepanjang Ramadan. Tidaklah juga kita beribadah dan menjadi hamba Ramadan semata. Tapi, anggaplah Ramadan sebagai bulan melatih kita untuk kembali menjadi muslim sebenar setelah melalui 11 bulan yang mencabar keimanan kita. Sesungguhnya Ramadanlah medan terbaik buat kita untuk melatih diri kembali melalui laluan hidup sebagai seorang muslim yang bukan sekadar berilmu, malah beramal dengan ilmu yang kita miliki. 

Jangan terpengaruh dengan kata nista dusta yang bisa merusak momentum ibadah kita dalam Ramadan. *langsung ngomong indonesia*

Dan setelah berakhirnya kyoushuusha, pemandu pemandu bas ini akan dapat memandu bas dengan baik, di laluannya dengan betul dan mengikut panduan sebaiknya. Begitulah juga kita, semoga dengan berakhirnya Ramadan, kita dapat memandu diri kita dengan baik, di laluan Islam yang sbenar dan mengikut panduan al Quran dan sunnah Rasulullah saw.

Jom! 教習 (kyoushuu) diri kita di bulan Ramadan!

3 comments:

himawari said...

analogi yang sangat baik dalam memahami tujuan kita pada bulan ramadan :)

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...
This comment has been removed by the author.