Monday 6 June 2016

Tragedi Ramadan


Malam yang sunyi. Seakan aku dapat mendengar dengan jelas bunyi cengkerik. Makin jelas hingga akhirnya aku tekad menekan punat di telefon, memasang alunan surah al Buruj lalu memecah kesunyian yang makin ku rasa.

" Adibah mana? Senyap je pagi ni. " Aku berdehem beberapa kali. Perit di kerongkong ku tahan. Kurang air barangkali.

" Adibah? Tadi saya nampak dia tidur. Awak ada pergi bilik dia tadi? " Alia tersenyum hambar. Mungkin dia faham perasaan aku, mungkin juga tidak.

Sejak akhir ini, aku rasa seolah-olah makin jarang lihat Adibah face to face. Oleh kerana dia budak Mechanical, dan aku student Electrical, kuliah kami berbeza.  Blok asrama juga agak jauh. Hanya di tempat ini kami berjumpa. Satu-satunya tempat yang memelihara ukhuwah kami. 

" Nanti kalau awak jumpa Adibah, kirim salam pada dia ye! " Suara yang semakin serak ku tuturkan jua.

Suasana kembali sunyi.

***
3 Minggu yang lalu.

Hari itu, di tempat yang sama, tempat itu.

Jam di tangan ku pandang. Agak lama. Jarum menunjukkan angka 12.30 pagi. Kepala menoleh ke kanan dan kiri. Di suatu sudut, terlihat sekujur tubuh bertudung litup. Adibah!

" Adibah! Awak dah lama kat sini? " Aku memberikan senyuman.

" Fatma. Saya dah lama kat sini. Saya study kat sini. Ni habiskan tadarus. " Adibah menguntumkan senyuman.

" Tidur kat sini? "aku menyambung.

" Tak kot. Saya tak bawak barang-barang pun. " Mata Adibah seakan layu. Mengantuk mungkin.
Aku menyambung hafazan. Beberapa orang rakan-rakan yang lain dah mula beredar ke asrama masing-masing, bersiap untuk qiam pula.


***

Sekarang? Tempat ini, tempat yang aku duduki semakin lengang. Lengang, ke mana hilang mereka? Aku masih mencari.

Suis lampu ku buka. Jam 5.30 pagi. Mana mereka? Sibuk mungkin. Mungkin sekejap lagi mereka akan sampai, dengan anak masing-masing. Nanti tempat ini akan dipenuhi student yang begitu tekun dalam amal ibadahnya. Yang bersungguh-sungguh berdoa dan berharap padaNya.

15 minit berlalu. Azan telah dilaungkan. Mana mereka? Mata dikerlingkan pada saf lelaki dihadapan. Jemaah solat subuh. Tak sampai satu saf?

Diam. Berfikir.


***

Tika bulan itu. Bulan memburu Lailatul Qadr.

Lampu dibuka. Meriah suasana. Entah bila lagi aku dapat bersua dengan mereka di tempat ini. 


" Final exam macam mana? Ok? "

" Alhamdulillah. Entahlah. Saya usaha, tawakal pada Allah je. " Sebaris senyuman diukir.

 Suasana semakin meriah dek kedatangan penduduk berhampiran. Masing-masing bersemangat, membawa anak-anak. Seronok. Itu yang aku nampak dari wajah mereka.

" Ibu.." anak kecil itu meronta-ronta.

" Ye sayang. Kenapa ni? Ibu nak solat terawih ni. Adik mengantuk ke? " Lembut. Penuh kasih sayang.

" Tak. Adik nak solat dengan ibu. " Dia merengek lagi.

" Habis tu kenapa adik menangis, pakai kain sembahyang adik. Ibu tunggu. " Comel benar budak perempuan itu. Bersungguh-sungguh menemani ibunya solat terawih.

Bulan ini benar-benar terasa nikmatnya. Subhanallah. Tempat ini, tempat semua manusia menghadapNya.

***
Sekarang. 3 minggu yang lepas, tempat ini begitu terasa kemeriahannya. Mana pergi mereka?

" Mungkin mereka sibuk? "

Habis tu, time bulan Ramadhan, mereka tak sibuk?  Atau, sebelum ini datang awal kerana ingin bersahur di masjid sahaja? 

" Mungkinkah tempat ini hanya dipenuhi student bila mereka menghadapi exam? " 

 Jika begitu, apa niat sebenar kita bertemu denganNya? Entah. Aku sendiri bingung memikirkannya. Mencari Dia hanya bila rasa perlu. Begitukah? Tahun lepas-lepas, aku rasakan rasa yang sama. Perkara sama berulang- ulang. Perlukah jadi begini?

Monolog dalam diri berterusan, hingga tanpa sedar aku sampai di hadapan tempat itu. Jam 6 pagi Dan, pintu masjid dikuak. Kosong. Sunyi. Hanya suara beberapa orang jemaah kedengaran. Mana mereka? 
 

Bersambung...




***
nota hati~
Pernah dengar memburu Ramadhan dengan iman dan ihtisab?
Means, bukan memburu Ramadhan hanya dengan keimanan, malah dengan ihtisab iaitu perasaan benar-benar mengharapkan pahala dan keredhaanNya! Power bukan?

Sabda Rasulullah ﷺ bermaksud:

"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan penuh keimanan dan "ihtisab" , maka akan diampunkan baginya dosanya yang terdahulu" 

( Riwayat Al-Bukhari )

Ibadat bukan seperti buah. Buah mungkin bermusim, tapi bukan amal ibadat!

No comments: