Monday 15 August 2016

1 x (7 x 100)

"Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui."
Allah telah menggambarkan ganjaran bagi orang-orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 261.

Dengan menggunakan perumpamaan singkatan hidup tanaman yang subur dan memberi hasil itu, Al-Quran mengajak hati nurani manusia berkorban dan memberi kerana pada hakikatnya, manusia tidak memberi sebaliknya mengambil, dan ia tidak berkurang sebaliknya bertambah.

Begitulah Allah melipatgandakan rezekiNya yang tiada siapapun mengetahui batasnya dan melipatgandakan rahmatNya yang tiada siapapun mengetahui sempadannya.

Tetapi infaq yang mana satukah yang sentiasa bertambah subur dan mana satukah pemberian yang diberi Allah ganjaran yang berlipat ganda di dunia dan di akhirat?

Itulah infaq yang mengangkat dan tidak mencemarkan perasaan-perasaan kemanusiaan, iaitu infaq yang tidak menjatuhkan kehormatan dan tidak menggoreskan perasaan, iaitu infaq yang terbit dari hati yang murni dan bersih, infaq yang ditujukan semata-mata kerana mencari keredhaanNya seperti yang disebutkan didalam ayat 262 surah Al-Baqarah


Islam mahu infaq itu dilakukan untuk tujuan membersihkan akhlak dan hati pihak pemberi, iaitu mengukuhkan perasaan persaudaraan dan pertalian dengan saudara-saudara yang miskin kerana Allah dan kerana kemanusiaan, juga mengingatkan terhadap nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita dan terhadap janji kita dengan Allah dengan menggunakan nikmat-nikmat ini, iaitu janji untuk menggunakannya tanpa membazir dan janji untuk menginfaqkan sebahagian darinya ke jalan Allah tanpa bakhil dan menunjuk-nunjuk pemberiannya. 

Untuk menguatkan lagi konsep infaq dan pengorbanan yang itu, iaitu konsep membersihkan jiwa dan menyenangkan hati dan menghubungkan pemberi dan penerima dengan tali sillaturrahim, maka Allah berfirman dalam ayat seterusnya: 




Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa sedekah yang diikuti dengan sesuatu yang menyakitkan hati itu adalah tidak diperlukan, malah lebih baik dari itu adalah kata-kata yang baik dan memberi kemaafan.

Ini kerana kata-kata yang baik itu boleh mengubati hati yang luka dan memenuhkannya dengan rasa kerelaan dan kegembiraan, dan kemaafan itu dapat mencuci perasaan-perasaan dendam di dalam hati dan menggantikannya dengan perasaan persaudaraan dan setiakawan.

Perkataan yang baik dan pemberian kemaafan dalam keadaan seperti ini, kedua-duanya dapat melaksanakan tugas utama sedekah iaitu membersihkan jiwa.

Demikianlah Islam menggalakkan kita menginfaqkan sebahagian dari apa yang kita miliki ke jalan Allah. dan dengan menginfaqlah kita dapat membersihkan hati dari sifat riak dan takbur atas nikmat dan pemberian Allah swt.

No comments: