Thursday 26 March 2015

Kamu, manusia kan?

[credit]

Bila difikirkan kembali, setiap kali rasa ingin berubah itu datang, ia datang dengan begitu kuat sekali. Ibarat ombak laut, yang datang, meluru lalu terus menghempas pepasir di pantai. 


Kita rasa menyesal dengan apa yang telah kita lakukan.  
Kita malu dengan masa silam kita. 


Lantas, keampunan itu dipinta, dengan harapan segala kesilapan lalu, dimaafkan Allah SWT.

Tetapi, ibarat ombak juga, rasa berubah yang kuat itu setelah dihempas ke pantai, saat ia kembali semula ke lautan, tiada lagi impak yang dirasai. 

Kembali bercampur dengan riak-riak ombak lain di lautan, menjadikan kehadiran ombak itu tidak lagi begitu dirasai. 

Kesan yang ditinggalkan juga, akhirnya memudar begitu sahaja. Dan akhirnya, kita menjadi lemah semangat dan berputus asa. Kita merasakan sudah tiada lagi harapan. Sudah tiada lagi jalan. Yang di akhirnya jua menjadikan kita begitu sedih dengan hakikat hidup sendiri di atas muka bumi ini.

Sekiranya kita fikirkan kembali, segala ini terjadi kerana kurangnya ikatan kita pada Allah. Kita tidak dapat membina ikatan yang kuat antara diri kita dengan Penciptanya.

 Sedarlah,

 Apabila kita bergelar hamba Allah SWT, ikatan yang terbina antara kita dengan Dia bukan sahaja saat kita merasakan kita dekat denganNya, tetapi juga di saat kita rasa kita jauh kerana ketika itulah ikatan itu akan teruji.

Seperti menarik tali, begitulah seharusnya yang kita lakukan saat kita rasa diri ini sudah semakin jauh daripadaNya. Genggam ikatan itu, sekuatnya. Kukuhkan genggaman itu dengan amal ibadah kita, kerana rasa cinta kita pada Allah SWT bukan sahaja dimanifestasikan pada jiwa tetapi juga pada lisan, juga perbuatan kita. 

Seperti mana kita mencintai seseorang, kita limpahkannya bukan sahaja dengan kasih sayang, malahan dengan bunga, hadiah dan lain-lain yang boleh menggembirakan insan itu. Itu percintaan sesama manusia. Apatah lagi percintaan kita dengan Allah SWT, pastinya lebih agung darjatnya.

Manusia biasa, tidak akan terlepas daripada salah silap, dosa dan cela. Kerana manusia itu sendiri sifatnya mudah lupa, hatinya sentiasa berbolak balik dan sering kali sahaja gagal untuk terus istiqamah dengan apa yang dilakukan. 

Tetapi, apa yang menjadikan manusia itu dapat mengatasi segala itu adalah iman dan taqwa di dada. Yang cuma dapat dicapai dengan membina ikatan yang kuat dengan Allah SWT.

Pastinya, setelah ikatan itu dapat kita rasai, genggami dan tersimpul di hati, sudah tidak menjadi masalah buat kita untuk mengajak orang lain untuk turut sekali menggenggam ikatan yang sama.

Membina ikatan teguh dengan Allah SWT. Kita tidak akan risau dengan apa yang ada pada diri kita. 

Kita tidak akan merasakan yang diri ini tidak layak. Kerana kita mahu orang lain turut merasai ikatan itu sebagaimana kita merasakan ikatan tersebut. Lantas segala kekurangan diri akan cuba diperbaiki agar ajakan kita kepada orang lain menjadi lebih bermakna, tanpa henti berdoa agar Allah turut membuka hati mereka sama.

Kuncinya mudah, rasakan ikatan kita dengan Allah sepanjang waktu. 

Tidak mengira masa, tidak mengira ketika. 

Buat mereka yang masih lagi kaku ikatannya, binalah sedaya upayanya. Allah pasti membantu. 

La tahzan, innAllaha ma’ana. Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.




Ditulis oleh: i.j.

No comments: