Saturday 18 July 2015

3R (Refleksi Raya Ramadhan)

(Refleksi Raya Ramadhan)

Bismillah…

Bertemu kita lagi dalam ruangan isu semasa. Pabila pada bulan lepas penulis telah mengupas isu mengenai “Puasakah Aku?” yang telah di post pada awal bulan Ramadhan yang mulia ini. Kali ini Alhamdulillah penulis masih diberi kesempatan untuk menerbitkan sebuah penulisan pada tanggal hari pertama hari yang penuh lebaran yakni Hari Raya Aidilfitri.


Sebelum itu, mari kita sama-sama terokai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Hari Raya Aidilfitri? Ya, ia merupakan sebuah perayaan mahupun sambutan yang terbesar bagi seluruh umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadah berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan dengan jayanya.
Namun, tahukah kalian bahawa sebenarnya turunnya Hari Raya Aidilfitri ini membawa pengertian yang lebih besar lagi?

Bukan semata-mata meraikan kemenangan umat Islam selepas sebulan meraikan bulan Ramadhan, namun yang paling penting adalah meraikan manusia kembali kepada fitrahnya yang suci dan bersih sekiranya ibadah-ibadah pada bulan Ramadhan dilakukan sebaiknya. Sebelum ini penulis ada menyebut bahawa tujuan sebenar bulan Ramadhan diturunkan ialah untuk mendidik orang-roang muslim agar menjadi orang yang bertakwa dengan bulan Ramadhan ini sebagai sebuah ‘training camp’. Jika orang yang betul melaksanakannya sudah pasti akan merasai nikmat fitrah apabila diri akan merasakan perubahan yang penghijrahan diri yang ke arah lebih baik.

Sebab itu namanya aidil FITRI yang bermaksud fitrah. Kerana daripada momentum ibadah yang dibina dan penghijrahan yang betul-betul kita lakukan dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadhan itu  dapat diteruskan ke 11 bulan yang lain sehinggalah Ramadhan yang seterusnya tiba. Senang kata jika bulan Ramadhan ialah ‘training camp’, maka kesebelas bulan seterusnya ialah ‘medan perang’ yang sebenar-benarnya untuk kita senantiasa menjadi orang yang soleh dan bertakwa melawan musuh-musuh durjana seperti syaitan dan hawa nafsu.

Namun sayang , apabila ramai antara kita yang menjadi buta dengan tujuan sebenar Hari Raya Aidil Fitri diturunkan kepada umat Islam. Kerana apa? Kerana masih bertunjangkan kepada masalah yang sama penulis tekankan daripada dahulu lagi iaitu apabila masyarakat kita membudayakan Islam yang ada. Maksud penulis apabila Hari Raya itu menjadi sebuah sambutan yang amatlah diagung-agungkan?

Diagungkan? Tak kan lah sampai macam tu kot? Suka hati penulis je!

Ayuh kita fikir sejenak, benda yang kelihatan okay namun hakikatnya salah pada sisi Islam.

Pertama, sesetengah masyarakat sudah berada dalam mood raya sejak masuknya bulan Ramadhan lagi? Eh? Mana tidaknya masuk bulan Ramadhan lagi ada yang duduk sibuk fikirkan baju raya, langsir raya, kasut raya, kuih raya dan macam-macam benda raya lagilah. Paling teruk pabila masuk seminggu terakhir Ramadhan yakni orang akan lebih suka untuk kata lagi seminggu nak raya. Waktu itulah boleh dilihat Pasar Raya Sogo akan dipenuhi ratusan manusia membeli keperluan raya. Isu paling femes tiap tahun ialah nak beraya di kampung belah mana sampai bergaduh suami isteri.





Tak salah untuk memikirkan segala persediaan untuk membeli keperluan raya namun janganlah sampai dilupa bahawa kita sedang menjalani ibadah puasa pada waktu tersebut tatkala kita datang ke masjid-masjid pada awal Ramadhan sahaja lantas terus momentum yang ingin dibina terus pudar dan hilang begitu sahaja. Dan jangan kita sendiri yang memadamkan ibrah bulan Ramadhan yang mulia ini dengan kemeriahan Hari Raya yang kita reka sendiri secara melampau kerana takut-takut nanti tidak direhai Allah S.W.T. Oleh sebab itulah Islam amatlah menekankan umatnya untuk senantiasa hidup bersederhana, tidak lebih dan tidak kurang. Maka seharusnya fokus utama harus diberikan kepada ibadah dalam bulan Ramadhan bukannya berlebihan menyambut Hari Raya.

Kedua, kesalahan yang kita sendiri tidak sedar ketika kita sibuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ini. Yakni, sudah menjadi kebiasaan apabila bila tibanya Hari Raya sudah pastinya kemaafan akan dipinta kepada semua sanak saudara mahupun sahabat handai. Namun begitu harus diingat bahawa kemaafan yang dilafazkan haruslah ikhlas kerana Allah S.W.T dan maaf itu bukanlah semata-mata pada waktu Hari Raya sahaja. Maksud penulis ialah apabila kita melakukan kesalahan kepada orang lain hendaklah bersegera untuk memohon kemaafan kepadanya bukannya menunggu hari lebaran barulah nak meminta maaf. Begitu juga apabila sudah memohon kemaafan maka haruslah berazam agar tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa depan.


                                    

Hal ini demikian kerana agama Islam amatlah menekankan agar setiap muslim untuk menjaga hubungan dengan Allah S.W.T serta menjaga hubungan dengan manusia dalam hidupnya. Jika kita berbuat dosa dengan Allah S.W.T sudah pastinya kita boleh mohon taubat pada bila-bila masa di mana jua kerana pintu taubat akan senantiasa dibuka bagi umatnya yang bertakwa tambahan sifat Allah yang Maha Pengampun. Namun begitu, andai kata kita ada melakukan kesalahan atau kesilapan kepada manusia, harusnya kita bersegera meminta maaf selagi kita masih hidup di dunia kerana andai kata kita tidak sempat berbuat demikian, takut-takut jenuh kita kena mencari orang tersebut dalam billion-bilion manusia di padang Masyar nanti. Nauzubillah…

Ketiga, fenomena raya di Malaysia sering kali kita dengar ialah ramai yang menyatakan raya ini haruslah disambut selama sebulan seperti mana kita berpuasa pada bulan Ramadhan selama sebulan juga. Sedangkan kita tidak sedar bahawa Hari Raya Aidilfitri hanya disambut pada hari pertama hari raya. Maksud sambutan hari raya tersebut ialah bermulanya takbir raya pada waktu maghrib sehingga kita melaksanakan solat sunat Aidilfitri pada pagi hari tersebut. Dan yang paling penting dalam menyambut Hari Raya ini ialah kita ‘menangisi’ pemergian bulan yang amat mulia iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan merefleksi diri kita akan sejauh mana kita mengejar takwa Allah S.W.T dan sejauh mana kita memohon keampunan daripada Allah S.W.T atas segala dosa dan maksiat yang kita lakukan. Kerana sungguh orang yang sangat rugi dalam bulan Ramadhan ialah orang yang berpuasa namun tidak mendapat keampunan daripada Yang Maha Pengampun.


                


Konklusinya, imbas kembali dan muhasabahlah segala perkara baik mahupun buruk yang telah kita lakukan sepanjang sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan ini. Andai kita berjaya meningkatkan tahap ibadah kita maka teruskanlah momentum yang baik itu bermula pada Syawal ini. Andai kata kita terlanjur maka bersegeralah memohon taubat daripada yang Maha Pengampun. Sentiasalah bersederhana dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana itulah tuntulah yang sebenar dalam agama Islam. Akhir kata moga kita panjang umur untuk betemu bulan Ramadhan yang seterusnya. Wallahualam.


 Ditulis oleh zan

No comments: