Friday 31 July 2015

Fantasia Bulan Ramadan

Sebenarnya, penulis sepatutnya menyambung penulisan mengenai slot sirah untuk blog ini. Namun, dek kerana masih lagi terngiang ngiang di lubuk minda dan hati penulis (dan juga pastinya para pembaca sekalian) akan kehangatan bulan Ramadan yang telah mendakap erat diri kita, penulis mengambil keputusan untuk menyentuh mengenai bulan yang mulia ini.

jzkk


Tapi, rasanya hal berkenaan Ramadan ini sudah pun disentuh sebelum ini, deshou (baca: kan)? Kenapa masih lagi mahu berbicara mengenai hal ini? 

Sekarang dah masuk bulan Syawal dah. Relevan lagi kah?

Mungkin ini persoalan persoalan terapung apung di pemikiran kita semua. Shinpai shinai de (baca: jangan risau), kali ini insyaAllah penulis ingin berkongsi mengenai satu lagi sudut mengenai Ramadan. 

Another perspective!

Bukan sahaja berkisar mengenai Ramadan semata, tetapi juga boleh diamalkan sepanjang masa! 

InsyaAllah!

Enough with mukadimah yang boleh tahan panjangnya itu. Mari, terus ke titik! (baca: straight to the point)

Perasan atau tidak, bagaimana tingkah laku kita sepanjang Ramadan? Bagaimana adab kita sepanjang Ramadan? Bagaimana kehidupan kita sepanjang Ramadan?

Terutamanya ibadah kita.

Kita mampu bertadarus al Quran, boleh dikatakan hampir sepanjang masa. Setiap masa yang terluang, kita manfaatkan sepenuhnya dengan membaca al Quran. Alhamdulillah.

Kita mampu mengerjakan solat malam. Qiamullail. Ya! Solat terawih itu, mampu kita kerjakan. Bukan sedikit, 20 rakaat tuhhh! Tambah lagi dengan solat sunat witir 3 rakaat. Malah, ada yang sampai menambahnya dengan solat sunat tahajud, hajat, taubat dan sebagainya. Alhamdulillah.

Itu tidak termasuk sedekahnya lagi, menghadiri ceramahnya lagi dan sebagainya. Alhamdulillah.

Ini menunjukkan sebenarnya patuh taat suruhan Allah itu tidak susah. Malah menyeronokkan dan menikmatkan.

Tetapi, perginya Ramadan seakan juga mebawa pergi kekuatan kita dalam beribadah. Momentum yang terbina sukar untuk diteruskan. 

jzkk!


Mengapa?

Ada dua punca.

Pertama, orang itu sememangnya tidak ada langsung niat untuk meneruskan ibadahnya itu. Dia fikir, bulan Ramadan adalah masa untuk beribadah sebanyak banyaknya dan kemudian berakhirnya Ramadan, maka berakhirlah kerajinan dalam beribadah. Tidak salah untuk beribadah sebanyaknya dalam bulan Ramadan. Malah itu tersangatlah bagus. Tetapi, yang salahnya apabila kita tidak menyimpan hasrat untuk meneruskan amalan kita sepanjang Ramadan di masa yang lain, selain Ramadan. 

Disebabkan wujud golongan sebeginilah wujudnya istilah ‘hamba Ramadan’. Sedangkan Allah swt itu bukan sahaja tuhan bulan Ramadan. Allah juga tuhan kepada Syawal, Zulkaedah, Muharram, RabiulAwal dan bulan yang lain lain. Allah itu tidak wujud dalam Ramadan sahaja, malah Allah juga wujud di masa masa yang lain juga. Maka, mengapakah momentum ibadah hanya terbina di bulan Ramadan dan tidak diteruskan di bulan bulan yang lain juga? 

Mengapa kita mampu menyembah Allah sebaiknya dalam Ramadan tapi tidak mampu melakukan perkara yang sama di masa yang lain? 

Tidakkah aneh situasi sebegini?

Moga moga kita diselamatkan Allah agar tidak tergolong dalam golongan ini. InsyaAllah.

Wujud juga golongan kedua di mana mereka ini sememangnya berhasrat untuk meneruskan amalan yang dikerjakan di Ramadan di masa yang lain juga, tetapi mereka gagal melakukannya. Mereka istiqamah pada hari pertama dan kedua selepas Ramadan. Tetapi, masuk hari ketiga, mereka mula mengalami kesukaran dalam meneruskannya, lantas momentum itu terhenti jua.

Jadi, apa yang harus dilakukan agar momentum ibadah kita dalam Ramadan tidak terencat begitu sahaja di bulan dan masa yang lain?


jzkk!


Berikut merupakan metode atau kaedah yang dapat saya kongsikan agar kita dapat mengatasi perkara ini, seterusnya menjadi hamba Allah yang lebih soleh dan diredai olehNya.

1)      Minta pertolongan pada Allah swt


Doa senjata orang mukmin. Kepada Allah sahaja kita meminta petolongan. Dia lah tempat kita meminta, mengadu dan bersandar memohon pengharapan. Sebenarnya, istiqamah kita dalam amalan hanya mampu dicapai dengan izin Allah. Pastinya Allah tempat yang paling layak untuk meminta diberikan kekuatan dalam beribadah. Malah kalau kita amati seruan azan pada 

Hayya alas Solah! (Mari Mendirikan Solat)  
Hayya alal Falah! (Mari menuju kejayaan) 

Apa yang harus kita jawab setelah mendengar dua seruan ini.

 Ya!

''Lahaula Wala Quwata Illa Billah Hil Aliyil 'Azim. '

'Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia."

Jelas bukan, sedangkan ingin mendirikan solat dan menuju kejayaan pun perlu kita mohon pertolongan daripada Allah swt, apatah lagi niat yang lebih besar. Misalnya, memohon diberikan tenaga dan azam yang kukuh untuk beribadah!


2)      Berdikit dikit


Menurut Kamus Dewan, berdikit dikit bermaksud ‘mengerjakan sesuatu sedikit-sedikit’. Begitulah juga yang perlu kita amalkan sekiranya ingin terus kuat dalam amalan. Jangan terus sekali harung mengerjakan segala amalan yang kita lakukan dalam bulan Ramadan itu. Tak terdaya kita nanti untuk meneruskannya. Contohnya,

jzkk!


Dalam bulan Ramadan kita boleh habiskan satu juzuk dalam sehari, tiada salahnya selepas Ramadan, kita mulakan dengan dua halaman sehari atau yang selesa dengan situasi kita sewaktu itu. Yang penting, berterusan. Malah sabda Rasulullah SAW,

“Daripada Aisyah r.ha., Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3)      Bertahap (Tadarruj)


Tadarruj ini ada dua maksud. Pertama, suatu pendekatan secara bertahap atau beransur-ansur dalam memastikan pelaksanaan hukum syarak dijalankan secara berkesan dan sempurna. Kedua, kita tidak tergesa-gesa  dalam bekerja untuk mencapai sesuatu tujuan.

Dalam konteks ini, maksud kedua lebih sesuai. Ya, dalam usaha kita untuk berterusan dalam amalan, jangan tergesa gesa. There’s no need for rushing! Kerana yang kita cari bukan kelajuan, tetapi konsistensi itu yang dikejar. Bersabarlah dalam beramal. 

Jika dalam bulan Ramadan, kita mampu bersedekah sehingga RM100 sehari, janganlah melakukan perkara yang sama selepas bulan Ramadan. Silap silap hari bulan, rasa tak nak bersedekah pula datang. Mulakan dengan RM1 sehari, dan perlahan lahan tanpa kita sedari kita akan selesa dengan amalan ini.

4)      Plan the Routine


Ingat workout sahaja ada rutinnya? Jika workout pun ada workout yang perlu dipatuhi, apatah lagi ibadah yang kita lakukan sehari hari. Tentunya lebih lebih lagi.

Dalam usaha kita untuk konsisten dalam beribadah selapas Ramadan, pastikan kita ada perancangan. Ada matlamat. Misalnya, dalam masa tiga bulan, aku akan mampu mengkhatamkan al- Quran. Pastikan apa langkah atau rutin yang perlu diambil untuk memastikan matlamat ini tercapai. Begitu juga dengan amalan amalan yang lain. Rancang rutinnya.

5)      Tetapkan masa dan tempat


Sebenarnya, sekiranya kita mampu memperuntukkan masa dan tempat yang spesifik untuk sesuatu ibadah, lebih mudah untuk kita konsisten dalam melakukan ibadah tersebut.

 Amalan solat witir, sebagai contoh. Jika kita tidak mampu untuk bangun sebelum Subuh setiap hari untuk qiamullail, tiada salahnya jika kita kerjakan dahulu solat witir sebelum tidur. Kita peruntukkan masa sebelum tidur itu dengan witir. Sekiranya kita bangun qiamullail, Alhamdulillah. Jika tidak, sekurang kurangnya amalan solat sunat witir itu menjadi amalan qiamullail kita pada hari itu. 
Cari juga masa dan tempat untuk ibadah yang lain.


jzkk!




6)      Ganti kalau tertinggal.


Sekiranya kita tidak dapat melakukan ibadah tersebut mengikut perancangan yang telah kita tetapkan, kita harus menggantikan ibadah tersebut. Dan pastikan, sewaktu mengganti itu, jumlah amalan mestilah melebihi jumlah amalan pada awalnya. Contoh, kita target dua halaman sehari. Tetapi, entah kenapa pada suatu hari, kita hanya mampu membaca satu halaman sahaja sehari. Esoknya, pastikan kita baca tiga atau empat halaman untuk menggantikan kelalaian kita semalam. Ini boleh juga kita kira sebagai hukuman juga kepada diri kita kerana gagal mematuhi rutin yang ditetapkan. InsyaAllah, disiplin dalam beribadah itu dapat dibina.


7)      Beri ganjaran kepada diri sendiri


Sekiranya kita mampu memenuhi target amalan yang ditetapkan, tidak salah untuk mengganjari diri sendiri atas usaha yang telah dilakukan. Ini untuk memotivasikan lagi diri selain menambah elements of fun dalam beribadah itu sendiri. 

Siapa yang tidak seronok jika tidak diberikan hadiah, bukan? Jika dapat mengkhatam Quran dalam tiga bulan misalnya, bawalah diri atau keluarga (jika ada) makan sedap sedap ke, pergi berjalan jalan ke. Kan seronok jika begitu. Terpulang kepada kreativiti dan kemampuan masing masing dalam memberi ganjaran kepada diri sendiri atau kepada orang lain.


jzkk!


8)      Ikat amalan kita


Apakah maksudnya ikat amalan ini? Mudah sahaja. Untuk memastikan amalan itu sentiasa berterusan, kita ikat ia dengan amalan wajib yang perlu kita lakukan harian. Misalnya, selepas solat fardu, kita lakukan solat sunat dan membaca al-Quran. Saya pernah mendengar kisah, seorang pak cik yang mengikat amalan sedekahnya dengan solat Subuh. Bagaimana? Beliau akan memastikan beliau akan membawa RM1 setiap hari untuk disedekahkan ke tabung masjid setiap hari. Malah beliau turut berpesan kepada isterinya untuk sentiasa mengingatkan beliau akan ikat amalan ini.

9)      Upgrade


Setelah memulakannya dengan berdikit dikit, kita pastinya akan mampu untuk konsisten dengan amalan tersebut. Sehinggakan jika kita tetinggal, selautan perasaan bersalah dan sedih akan menenggelami diri. Jika sudah sampai ke tahap itu, upgrade lah ibadah kita. Tingkatkan kuantitinya. Dan pada masa yang sama, jaga kualitinya agar diterima Allah swt, insyaAllah


jzkk!


Misalnya, jika tidak mampu ke masjid pada setiap waktu solat, carilah satu masa yang kita betul betul boleh menghadirinya. Kemudian, tingkatkanlah sehingga kita mampu menghadiri lima waktu solat berjemaah di surau atau masjid.



10)   Bersungguh sungguh


Dalam kita berusaha untuk terus konsisten dalam beramal, jangan dilupakan kesungguhan yang menjadi tunjang amalan itu sendiri. Kita tidak mahu, timbul pula kes amalan yang dilakukan berterusan, tetapi sambil lewa sahaja. Dan akhirnya terhenti begitu sahaja. Ataupun, amalan itu sudah dicemari dengan pelbagai penyakit seperti riak, ujub dan sebagainya akibat kesungguhan yang mula memudar. Seperti taubat nasuha yang perlu dilakukan dengan bersungguh sungguh, begitu juga dengan amalan kita yang perlu dikerjakan sebaiknya agar diredai Allah swt.


Begitulah 10 tips yang dapat penulis kongsikan. Jika kesemuanya tidak dapat membantu dan tidak dapat diamalkan, satu dua tips pun jadilah. Kerana penulis pernah terdengar satu quote
Jika tidak dapat dibuat semua, jangan tinggal semua.

Hasan Al-Basri rahimahullah pernah berkata:

Sesungguhnya di antara balasan amalan kebaikan ialah (dimudahkan Allah) melaksanakan kebaikan setelahnya. Dan di antara hukuman atas perbuatan buruk ialah melakukan keburukan setelahnya. Maka, apabila Allah telah menerima (amalan dan taubat) seorang hamba, nescaya Allah akan memberinya taufiq untuk melaksanakan ketaatan (kepada-Nya), dan memalingkannya dari perbuatan maksiat (kepada-Nya).”
Jom sama sama kita beramal, insyaAllah! Ramadan bukanlah the end, tetapi ia adalah sekadar pit stop yang menyediakan kita peluang untuk memperbaiki kembali kehausan iman dan pembinaan takwa yang lebih mantap untuk terus meningkatkan prestasi dalam menghadapi litar perlumbaan kehidupan. Voomm!

jzkk!


Ditulis oleh

i.j.







No comments: