Friday 21 August 2015

Arabization, Japanization.. dan Islamization?

Kali ini penulis berminat untuk 'imbas kembali' atau throwback isu-isu yang telah viral dalam media sosial sejak beberapa minggu yang lalu. Isu yang telah menjadi polemik hangat dalam kalangan netizen adalah:

  1.   Artikel yang telah dikeluarkan oleh sebuah laman sesawang popular mengenai kaum Melayu yang dikatakan telah melupai budayanya dan  mula menyerap budaya Arab baik dari segi pemakaian, percakapan dan sebagainya. [klik sini untuk baca lebih lanjut]
  2. Artikel seorang pelajar Malaysia di Jepun mengenai sebab mengapa beliau tidak mahu balik Malaysia dan mahu kekal tinggal di negara Matahari Terbit. [klik sini untuk baca lebih lanjut]
Masih ingatkah kalian tentang kedua-dua isu ini?

Sebenarnya, kedua-dua artikel ini mempunyai persamaannya yang tersendiri dalam kita melihat kembali, apa yang sebenarnya terjadi dalam masyarakat di Malaysia kini.

jzkk!
Isu pertama, menyentuh tentang kaum Melayu yang dikatakan telah melupai budayanya dan  mula menyerap budaya Arab baik dari segi pemakaian, percakapan dan sebagainya. Atau penulis lebih suka untuk memanggil fenomena yang berlaku ini sebagai Arabisasi. Dalam artikel tersebut, dinyatakan bahawa Arabisasi telah berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia daripada aspek yang berikut:

  • Pemakaian apabila trend pemakaian pakaian arab seperti jubah semakin mendapat tempat dalam hati masyarakat.
  • Penggunaan istilah-istilah arab seperti ‘iftar’ dan ‘solat’ dalam percakapan sesama masyarakat melayu khususnya.
  • Pemakanan di mana orang Melayu dikatakan lebih suka menjamah makanan Arab dan restoran restoran Arab yang kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Isu kedua pula berkaitan sebuah artikel yang pada asalnya sebuah post di ‘muka buku’ oleh pelajar Malaysia di Jepun tentang 25 sebab mengapa beliau lebih selesa untuk menetap di sana. Antaranya:

  • Masyarakat Jepun yang amatlah mementingkan masa dalam setiap urusan kehidupan contohnya sistem pengangkutan awam kereta api elektrik yang senantiasa ‘on time’.
  • Budaya masyarakatnya yang amat menghormati setiap hak yang ada termasuklah hak dalam keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan setiap individu.
Pada pandangan penulis, sebenarnya pemuda ini telah mengalami proses Japanisasi setelah beliau tinggal di Jepun dan secara tidak langsung mengikut budaya masyarakatnya di sana. Bukan beliau seorang sahaja, sudah pasti hampir kesemua pelajar Malaysia di Jepun akan mengalami  perkara yang sama.

Bahkan, Japanisasi ini telah pun diserap dalam golongan profesional masyarakat kita dalam aspek pengurusan masa yang efisien dan aspek kebersihan seperti pengenalan Sistem 5S iaitu 
  1. Sisih (整理:  seiri)
  2. Susun (整頓: seiton)
  3. Sapu (清掃 :  seiso)
  4. Seragam (清潔 :  seiketsu)
  5. Sentiasa Amal  (躾け:  Shitsuke)

Persoalan yang ingin ditimbulkan adalah, apakah hikmah yang boleh kita ambil daripada proses Arabisasi dan Japanisasi yang sedang berlaku kini? 

Hakikatnya, pemikiran masyarakat kita hanya melihat Arabisasi daripada luaran sahaja dan merasakan bahawa fenomena Arabisasi tidak lebih sekadar trend semata yang bakal menghilangkan budaya Melayu dalam diri seseorang Melayu itu. Eh?

Sedangkan, menurut pandangan penulis antara hikmah yang dapat kita ambil daripada pemakaian jubah ini adalah kita dapat menjaga aurat dan hijab bagi seorang muslim tidak kiralah lelaki mahupun wanita. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-A’raf ayat 26:

“Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang sebahagian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” 
[ 7 : 26 ]

Lihat bagaimana Allah S.W.T amatlah menekankan hambaNya agar menutup aurat untuk mendidik diri kita bertakwa kepadaNya. Malangnya, disebabkan Arabisasi yang disalah ertikan maka wujudnya ‘Hijabster’ mahupun ‘Jubah Hipster’ yang direka secara keterlaluan (tabarruj) kreativitinya sehingga menampakkan tubuh badan sedangkan dalam berpakaian, amatlah ditegah untuk seorang muslim bertindak sedemikian kerana sudah melanggar batas syariah Islam itu sendiri.


Bagi mengulas isu kehilangan budaya ini, penulis merasakan isu sebegini tidak harus timbul. Malah tidak logik pula hanya kerana beberapa perkataan dan pakaian yang mula dipakai sudah mengakibatkan perkara sebegini. Malah, jika dilihat sejarah sekalipun, hadirnya Islam di Tanah Melayu sekaligus telah membawa Arabisasi ke Malaysia. Ada juga yang sudahpun diterima sebagai budaya Melayu seperti gambus dan sebagainya. Malah kebanyakan perkataan bahasa Melayu juga berasal daripada perkataan Arab. Maka tuduhan tuduhan seperti kehilangan budaya, lupa diri dan sebagainya sangatlah tidak rasional menurut pandangan penulis. Sebaliknya ia memperkayakan lagi budaya dan khazanah Melayu itu sendiri.

jzkk!
Dalam isu Japanisasi pula, hakikatnya kebanyakan masyarakat kita hanyalah mengamalkan elemen ketepatan masa dan juga pengurusan kerja sistematik di tempat belajar mahupun tempat kerja sahaja. Apabila keluar daripada zon tersebut, maka kebanyakan kita akan mengambil mudah dalam pengurusan masa, kebersihan dan sebagainya

Sebenarnya, Japanisasi yang berlaku amatlah bertepatan dengan ajaran agama Islam yang menuntut umatnya sentiasa menghargai masa dengan menguruskannya dengan sebaik mungkin dalam kehidupan dunia yang sekejap ini.  Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Asr ayat 1 hingga 3:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” 
[ 103 : 1 -3 ]

Lihatlah bagaimanaAllah S.W.T memberi peringatan kepada umatNya agar tidak mensia-siakan masa di dunia yang fana ini dan kita seharusnya menggunakan sebaiknya peluang yang ada untuk senantiasa mencari takwa dan redhaNya.

Sejujurnya, fenomena Arabisasi dan Japanisasi membawa seribu satu kebaikan dalam kehidupan bagi sesiapa yang dapat melihat sisi positifnya. Namun masalah yang digariskan oleh penulis adalah hasil daripada salah faham yang berlaku oleh segelintir masyarakat kita.

Namun sayang seribu kali sayang, kita seolah-oleh buta dan tidak dapat memahami hakikat yang berlaku sebenarnya. Di sebalik fenomena Arabisasi mahupun Japanisasi yang berlaku, kita lupa dan alpa akan ajaran Islam yang sebenar. Tahukah anda pula, apakah itu Islamisasi?

Literalnya, Islamisasi ialah proses konversi masyarakat untuk memahami Islam yang sebenar. 

Tapi, bukankah Islam menjadi agama majoriti di Malaysia? 

Tidakkah jumlah masjid di Malaysia sudah cukup dalam menunjukkan betapa Islamisasi sudah berlaku di Malaysia? 

Tidak cukup Islamkah Malaysia?

Sedar ataupun tidak, kebanyakan masyarakat Malaysia, malah umat Islam di Malaysia sendiri melihat agama Islam itu hanya sekadar pada nama. 

Hanya pada ibadah-ibadah tertentu sahaja seperti solat mahupun berpuasa di bulan Ramadhan.

Hanya dalam pagar masjid dan surau sahaja. 

Hanya dalam urusan haji mahupun pernikahan dan kematian semata. 

Sedangkan kebenarannya adalah:

ISLAM IALAH AGAMA YANG SYUMUL YANG MENCAKUPI SEMUA BIDANG KEHIDUPAN”

Ya, mungkin kedengran retorik. Mungkin kedengaran fatamorgana semata. Hakikatnya itulah Islam. Agama Islam bersifat syumul iaitu umum dan menyeluruh kerana ajaran Islam diturunkan untuk semua manusia berdasarkan firman Allah S.W.T dalam Surah Saba’ ayat 28:

Dan Kami tidak mengutus kamu (Muhammad), melainkan kepada semua umat manusia sebagai pembawa gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
 [ 34 : 28 ]

Jadi, kita seharusnya yakin sepenuhnya tentang ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. Ingatlah bahawa sebaik-baik hamba Allah S.W.T ialah hambaNya yang punyai  Sibghah Allah swt. Sibghah Allah bermaksud celupan Allah. Apabila kita punya Sibghah Allah, kita akan beriman kepada Allah tanpa disertai dengan sebarang kemusyrikan. 

Firman Allah S.W.T dalam surah Al Baqarah ayat 138:

Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepadaNyalah kami menyembah.
 [ 2 : 138 ]

Celupan Allah yang dimaksudkan ialah celupan tarbiyah Islam yang syumul yang betul-betul meresapi dalam diri kita. Analoginya, span. Jika kita punya sibghah Allah ini, kita akan menjadi seperti span yang menyerap setiap titisan air ke dalamnya, sepenuhnya.

Apabila kita gagal dalam mengIslamisasikan diri kita secara total, maka sibghah yang kita miliki ibarat strawberi yang disalut coklat. Tidak sedikitpun coklat itu meresap ke dalam strawberi itu biarpun telah disalut coklat yang pekat. Begitu jugalah jika kita sekadar Islam pada nama. Islam yang dianuti sekadar menyalut diri kita tanpa menyerap ke dalam hati akibat kurangnya kefahaman mengenai Islam itu sendiri.

jzkk!


Firman Allah swt

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan memang  musuh kamu  yang nyata.
[2:208]

Disebabkan itulah Islam kini dalam keadaan yang terasing kerana kurangnya pemahaman tentang Islam oleh umat Islam sendiri. Akibat kurangnya kefahaman itu, kita menjadi vulnerable di mata musuh Islam dan mudah sekali ditindas dari segenap aspek kehidupan. Kepada kita yang diberi kefahaman itu, insyaAllah sebarkanlah risalah kebenaran ini dan yakinlah bahawa:


Dari Abu Hurairah R.A dia berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:

Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasing itu.”



(HR. Muslim no. 208)

Moga Allah redha diri ini dan seluruh umat Islam hendaknya.


Ditulis oleh 
zan


No comments: