Saturday 24 October 2015

Aku Bukan Budak Baik


Assalamualaikum.

"Aku tak layak nak buat baik....."

     Pernahkah kita rasa sampai ada satu masa tu kita rasa tak layak pun buat benda baik.  Bila difikirkan tentang dosa-dosa dan kerja buat kita sehari-hari. Masih ramai diluar sana yang menyimpan rasa ini lantas lebih memilih untuk tidak memulakan melakukan kebaikan. Alasannya mudah, 'aku tak layak' , 'siapalah aku ni' , 'aku bukan budak baik' dan macam-macam lagi alasan.

"Aku bukan baik sangat pon,,,"
"Biarlah diorang je yang buat, aku tak layak..."
"Kalau aku buat something, aku rasa macam orang sekeliling aku pandang aku lain macam, so baik aku tak payah buat"
"Siapalah aku ni.."

     Contoh paling senang adalah apabila diajak solat jemaah di surau/masjid, kalau yang tidak pernah dan merasa berat pastilah pelbagai alasan yang boleh kita dengar. Contoh lainnya apabila di ajak ke majlis-majlis agama, pelbagai alasan yang kadang-kadang tak masuk dek akal. Golongan seperti ini yakin dan percaya bahawa sudah ramai orang baik yang akan melakukan kerja-kerja yang baik. Seolah-olah mereka bukanlah orang yang layak membuat perkara baik itu.

     Di sini saya tegaskan bahawa kepercayaan seumpama itu adalah salah tahyul dan dayus. Fuhh. Kenapa saya boleh katakan begini adalah kerana setiap orang di beri peluang oleh Allah selama dia hidup untuk bertaubat dan melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya.Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 195,

   Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Al-Baqarah:195

     Kita sendiri percaya akan adanya syurga dan neraka, pahala dan dosa, haq dan batil, baik dan buruk. Justeru apalagi keterangan apa lagi yang masih kita tunggu untuk menyedarkan kita bahawa berbuat baik itu adalah hak saya, kamu dan kita semua umat manusia.

Begitu juga dalam surah Taubah,

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat,
 dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. 
Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
At-Taubah: 41

     Dalam surah ini, Allah menyuruh kita untuk bergerak, meski dalam keadaan berat atau ringan. Berat di sini bukan sahaja dari segi harta, tetapi juga ketika hati kita berat untuk melakukan kebaikan. Di saat kita mahu melangkah, syaitan akan membisikkan bisikan-bisikan halus yang menghalang kita dari terus berbuat baik. Lama kelamaan, semangat mulai luntur dan akhirnya kita tak berbuat apa-apa.

      Lebih memalukan lagi apabila kita yang beragama islam memandang kerja-kerja baik yang dibuat oleh orang lain sebagai menunjuk-nunjuk ataupun riak. Lantas kita menuduh mereka melakukan itu dengan tidak ikhlas dan demi meraih pujian dari orang ramai. Begitu juga alasan mereka untuk tidak berbuat baik kerana tidak ikhlas, hati tidak hadir dan sebagainya.

     Persoalan ikhlas atau tidak adalah urusan Allah swt, kita hanya perlu melakukan yang terbaik dalam setiap gerak kerja kita. Walaupun berbuat baik pada mulanya adalah sesuatu yanv janggal, jarang dibuat orang, tetapi sekiranya perkara tersebut dilakukan berterusan, pastilah ianya menjadi rutin dan kita sudah terbiasa melakukannya. Ikhlas bukanlah sesuatu yang boleh ditunggu, tetapi sesuatu yang dipupuk melalui amalan yang istiqamah. Ikhlas bukanlah sesuatu yang perlu dirahsiakan, tetapi ikhlas itu sendiri rahsia dan hanya dapat dirasai oleh hati-hati yang mencintai kebaikan.


     Semua orang boleh berbuat baik. Kita punya masa silam yang berbeza-beza, namun kita sentiasa ada cahaya harapan untuk keluar dari kegelapan itu. Malah, mungkin tanpa kita sedar, kebaikan yang kita lakukan itu, akan menghapuskan dosa-dosa kecil kita. Pedulikan kata orang, biarlah Allah yang menghakimi, bukan manusia.