Thursday 29 January 2015

Salim Maula Abu Huzaifah: Hingga ke Hujungnya

Pada suatu hari Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para sahabat “Ambillah al-Quran itu daripada empat orang iaitu Abdullah bin Mas’ud, Salim Maula Abu Huzaifah, Ubay bin Kaab dan Muaz bin Jabal.”

Lihat, tersenarai juga seorang sahabat yang bernama Salim Maula Abu Huzaifah. Siapakah sosok ini? Apakah sejarah hidupnya sehingga diangkat sebegitu rupa darjatnya oleh Rasulullah SAW. Pastinya ada yang istimewa mengenai Salim Maula Abu Huzaifah. Sewaktu membaca kisah beliau, ternyata tidak salah lagi telahan penulis. Ternyata beliau adalah bukti, betapa ilmu mampu mengangkat kedudukan seseorang biarpun asalnya diri hanyalah insan biasa. Malah, beliau juga lambang seorang Muslim yang begitu setia dengan ukhuwwah sehingga ke hujung nyawanya! Jom, kita selidik hidupnya!

Salim dan Abu Huzaifah bin Utbah. Taqwa.

Salim Maula Abu Huzaifah merupakan seorang hamba yang telah dimerdekakan. Beliau malah sudah dianggap sebagai saudara sendiri oleh bekas tuannya, Abu Huzaifah bin Utbah. Abu Huzaifah bin Utbah ialah geng-geng elit kaum Quraisy ketika itu, sesuai dengan statusnya sebagai salah seorang anak kepada leader berpengaruh di Mekah, Utbah bin Rabiah. Tapi, itu tidak pernah menjadi penghalang untuk Abu Huzaifah bin Utbah untuk memeluk Islam di saat Islam mula berkembang dan memberi layanan yang baik kepada bekas hambanya, Salim, sesuatu yang asing pada waktu itu, memandangkan sistem kasta antara hamba dan golongan elit yang menebal di Mekah. Malah baiknya hubungan mereka sehingga Salim dipanggil Salim bin Abu Huzaifah setelah dijadikan anak angkat oleh Abu Huzaifah bin Utbah.

Ketika turunnya ayat membatalkan kebiasaan mengambil anak angkat dan setiap anak angkat kembali menggunakan nama ayahnya yang sebenar, Salim turut tidak terkecuali. Tapi, disebabkan beliau tidak mengenali siapa ayah kandungnya, maka nama beliau diletakkan Salim Maula (hamba yang telah dimerdekakan) Abu Huzaifah, iaitu orang yang telah membebaskannya.

Kedua-dua sahabat ini, Salim dan Abu Huzaifah bin Utbah telah menjadi bukti, betapa yang membezakan dua orang muslim yang bersaudara hanyalah keimanan dan ketaqwaan di dada.

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah hanyalah orang yang lebih takwanya di kalangan kamu..
Surah al-Hujurat: 13

Biarpun berbeza taraf, bekas hamba dan seorang lagi pula golongan bangsawan, namun itu tidak pernah menghalang untuk kedua-duanya terus membina hubungan yang baik antara satu sama lain, bersama menuju reda Ilahi. Malah Abu Huzaifah berbangga kerana dapat menjaga hamba yang pernah dimilikinya.

Salim Maula Abu Huzaifah, di sebalik siapa dirinya di masa lalu, tidak pernah merasa rendah diri dengan apa yang ada pada diri. Malah, beliau terus ikhlas membina diri dengan ilmu, sehingga menjadi tempat orang ramai untuk bertanya mengenai al-Quran, sehingga Rasulullah SAW sendiri menyuruh kaum muslimin ketika itu untuk belajar daripadanya. Rasulullah juga pernah bersabda kepada Salim “Segala puji bagi Allah yang menjadikan dalam golonganku orang seperti kamu”. Wah! Besar sekali penghormatan yang diterimanya, bukan?

Salim dan Abu Huzaifah bin Utbah. Bagaikan bintang, mereka berdua menyinar bersama Islam! :')


Berani Kerana Benar

Salim Maula Abu Huzaifah juga terkenal seorang berterus terang dengan kebenaran, dan tidak akan berdiam diri dengan kesalahan yang dilihatnya.

Dikisahkan ketika kota Mekah dibebaskan, Rasulullah SAW telah mengutus beberapa rombongan ke kampung-kampung dan suku-suku di sekitar Mekah untuk berdakwah, bukan berperang. Salah seorang yang ketua yang dilantik ialah Khalid al-Walid. Ketika Khalid al-Walid sampai ke tempat yang dituju, terjadi satu peristiwa yang menyebabkan terjadinya pertumpahan darah di situ.

Sampainya berita ini ke pengetahuan Rasulullah SAW, terus baginda memohon ampun dengan sangat lama kepada Allah sambil berkata “Ya Allah, aku berlepas diri apa yang dilakukan oleh Khalid”. Mana tidaknya, Islam itu sangat menghargai nyawa manusia, dan seboleh-bolehnya tidak mahu mengorbankan nyawa orang lain selagi keadaan tidak betul-betul mendesak. Tindakan Khalid ini juga menyebabkan Saidina Umar mengambil perhatian terhadap keperibadian Khalid. Katanya,  “Sesungguhnya pedang Khalid sangat tajam”

Salim yang turut menyertai rombongan di bawah Khalid, terus menegur kesalahan Khalid al-Walid ketika itu. Biarpun orang yang ditegurnya pahlawan hebat Islam, itu tidak pernah membuat Salim takut malah beliau menasihati Khalid dengan berani, supaya Khalid berhati-hati dengan tanggungjawabnya. Ketika Rasulullah SAW bertanya “Ada sesiapa yang menyanggahnya?” sewaktu peristiwa itu, kemarahan baginda menjadi reda ketika mereka mengatakan kepada baginda “Ada, Salim telah menegur dan menyanggahnya”. Islam itu agama nasihat, dan jika kita nampak kawan-kawan kita melakukan kesalahan, tegurlah biar siapa pun dia, kerana itulah yang sebaiknya.


Salim, Abu Huzaifah dan Perang Yamamah

Beliau juga tidak pernah ketinggalan untuk menyertai setiap peperangan untuk mempertahankan agama di samping tetap terus beribadah. Persahabatannya dengan Abu Huzaifah bin Utbah juga semakin teguh. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam diancam golongan murtad yang telah mengganggu Islam ketika itu. Di bawah Khalifah Abu Bakar, khalifah Islam yang pertama, telah terjadi perang Yamamah, antara peperangan yang paling sengit dalam sejarah  Islam.

Perang ini turut disertai Salim Maula Abu Huzaifah dan Abu Huzaifah bin Utbah, best friendnya. Biarpun di awal peperangan,  kaum muslimin tidak berniat untuk menyerang, tetapi kerana peperangan ini sangat getir, dalam usaha menentang kejahatan golongan-golongan  murtad, mukmin yang menyertai peperangan ini telah dikumpulkan sekali lagi dan di bawah kepimpinan Khalid al-Walid yang berstrategik, barisan diatur dan diperkemas. Salim dan Abu Huzaifah berpelukan, dan berjanji akan mati syahid demi Islam dan terus menyertai saf peperangan Islam.

Kedua-dua sahabat ini terus berlawan dengan berani menentang musuh di bawah pimpinan Musailamah al-Kazzab .Sewaktu peperangan, Abu Huzaifah telah berseru “Wahai pengikut-pengikut al-Quran! Hiasilah al-Quran dengan amalan-amalan kalian.”

Salim pula berseru “Amat buruk nasibku sebagai pemikul al-Quran jika benteng muslimin roboh disebabkan kelalaianku!”

”Tidak mungkin begitu, wahai Salim! Bahkan engkaulah sebaik-baik pemikul al-Quran” jawab Abu Huzaifah setelah mendengar seruan Salim, sahabatnya.

Salim terus berlawan dengan pedangnya, menentang setiap musuh daripada golongan murtad itu.Tangan kanan beliau yang memegang panji Islam setelah gugur pemegang panjinya yang pertama, Zaid al-Khattab bagaimanapun, telah dipotong oleh golongan murtad. Biarpun tangan kanannya putus, beliau tidak lemah semangat, malah memegang dengan tangan kirinya dan diangkat tinggi-tinggi lalu membaca ayat ini:

“Dan berapa banyak dari nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan ramai orang yang taatkan Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat dan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah, dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh), dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang yang sabar”
 Surah Ali Imran: 146

Semboyan yang maha agung! Semboyan yang telah dipilih Salim untuk menemui ajalnya. Sewaktu perang, beliau telah dikepung golongan murtad dan diserang sehingga beliau rebah.Tetapi, beliau tetap bertahan sehinggalah perang itu berakhir dan Musailamah al-Kazzab telah terbunuh dan tentera murtad menyerah kalah. Alhamdulillah, menanglah Islam ketika itu!

Usai perang, ketika muslimin mencari para syuhada, mereka terjumpa Salim sedang sakit menghadapi sakaratulmaut. Dalam kesakitannya, sempat lagi beliau bertanyakan kepada mereka perihal sahabat kesayangannya,

“Bagaimana nasib Abu Huzaifah?”

“Dia telah syahid”

“Baringkan aku  disisinya” kata Salim.

“Ini dia, di sisimu, wahai Salim. Dia telah syahid di sini”

Mendengar jawapan itu, Salim tersenyum buat kali terakhir. Dia gembira kerana berjaya syahid bersama sahabatnya, orang yang bersamanya saat memeluk Islam, hidup mencari reda Tuhan bersama dan akhirnya syahid bersama. Moga mereka tetap bersama sewaktu bertemu di syurga nanti, juga di saat menemui Allah kelak.

Umar al-Khattab pernah berkata “Seandainya Salim masih hidup, pasti dia menjadi penggantiku nanti”

Begitulah, kisah Salim Maula Abu Huzaifah. mukmin sejati, sahabat setia, sarjana Islam dan yang paling penting,  hamba yang patuh taat akan Allah SWT. Ingatlah, siapa pun kita sekiranya kita ikhlas ingin berubah, tetap istiqamah beribadah, nescaya Allah akan membantu kita melalui orang di sekeliling kita dan mengangkat darjat kita, tanpa kita sedari, insyaAllah.


Carilah reda Ilahi, bukan reda manusiawi.

i.j.


Rujukan: 100 Tokoh dalam Dakapan Rasulullah SAW
                Hepi Andi Bastoni

No comments: