Friday 5 June 2015

Saad bin Muaz 'Bergegarnya Arasy Itu Kerananya!' [Episod 1]

Para sahabat Rasulullah  , biarpun berbeza kisah hidup mereka, namun yang pasti, kesemuanya mempunyai matlamat yang sama. Iaitu, membantu Rasulullah dengan menegakkan Islam dalam diri mereka, juga di atas muka bumi Allah swt. Dan itu, menjadikan kisah mereka sungguh epik! Bukan sahaja epik, malah turut menyajikan seribu satu pengajaran buat kita semua.

Di antara salah seorang mereka ialah Saad bin Muaz.

Siapakah beliau? Apa kaitan beliau dengan 'arasy yang bergegar' itu?

Ayuh hayati kisahnya!


-kredit www.telegraph.co.uk-


Beliau merupakan salah seorang pemimpin yang disegani di Madinah. Memimpin Bani Asyhal, sosok ini cukup berpengaruh dan berwibawa di Madinah (Yathrib).

Seperti yang kita ketahui, setelah berkembangnya Islam di Madinah, wujud permintaan agar diutuskan sahabat Rasulullah ke Madinah untuk membimbing mereka yang sudah memeluk Islam untuk lebih mendalami dan mengamalkan Islam yang sebenar. 

Wah! 

Bagus sekali penduduk Madinah ini, bukan? Kita juga harus mencontohi mereka. Sekiranya kita ingin berubah, kita perlu mencari seseorang atau mana mana kumpulan yang boleh membantu kita untuk berubah. Bukan sahaja berubah, tetapi kita mahukan perubahan yang berterusan, insyaAllah.

Contohnya, join usrah. Eh?


Kembali ke kisah tadi. Maka, as directly proportional dengan apa yang diminta, Rasulullah pun mengutuskan Mus’ab bin Umair sebagai naqib, ketua usrah, murabbi, guru atau gelaran yang seangkatan dengannya untuk membantu penduduk Madinah dalam menyelami lautan kemanisan iman mukmin sejati. Subhanallah!

Tetapi!

Kehadiran Mus’ab bin Umair ini tidak disenangi Saad bin Muaz. Beliau berpendapat, apa yang dibawa oleh Mus’ab bin Umair bakal merosakkan moral masyarakat Madinah pada waktu itu dan bakal menyebabkan mereka ‘terpesong’ daripada agama nenek moyang mereka. Ini lantas membangkitkan intuisi beliau sebagai pemimpin ketika itu.

Saad bin Muadz lantas menyuruh sahabatnya, Usaid bin Hudhair untuk berjumpa dengan Mus’ab bin Umair yang pada waktu itu, tinggal bersama dengan sepupunya, As’ad bin Zurarah. Tanpa membuang masa, Usaid bin Hudhair mengambil tombaknya dan pergi berjumpa dengan kedua dua mereka yang ketika itu sedang duduk di kebun. Tatkala Usaid bin Hudhair menghampiri mereka dan mengeluarkan kata kata yang penuh prasangka kepada Mus’ab bin Umair, Mus’ab bin Umair tidak melatah. Sebaliknya beliau membalas lembut kata kata itu dengan berkata

 “Mahukah kau duduk dan mendengarkan aku terlebih dahulu Jika kau menerima apa yang aku katakan pastinya kau dapat menerima. Jika kau membencinya, hentikanlah”.

Usaid bersetuju lantas menyimpan tombaknya dan duduk bersama. Maka Mus’ab bercerita padanya tentang Islam dan turut membacakannya tentang Islam dan membacakannya al Quran. Usaid sangat terkesan dengan apa yang dibawa Mus’ab bin Umair, lantas mengatakan,

“Demi Allah, sesungguhnya kami telah mengetahui tentang kemuliaan Islam sebelum kau menceritakan pada aku tentang kemuliaannya dan keindahnnya. Sungguh tidak ada yang lebih bagus daripada perkataan ini (al-Quran), apa yang harus aku lakukan sekiranya aku ingin memeluk agama ini?”
Persoalan itu, lantas dijawab oleh Mus’ab dan As’ad dengan menyuruhnya mandi, mengucapkan dua kalimah syahadah dan solat. Usai melakukan semua itu, Usaid memberitahu kedua-duanya mengenai Saad bin Muaz, di mana beliau mengatakan sekiranya Saad bin Muaz memeluk Islam, pasti kaumnya juga akan mengikut sama.

Berpengaruh sungguh Saad bin Muaz, bukan.

Malah, Usaid turut berjanji berjanji untuk membawa beliau.

Usaid lantas mengajak As’ad dan Mus’ab untuk berjumpa dengan Saad bin Muaz. Di saat itu, Saad sedang berkumpul bersama kaumnya. Melihat kedatangan Usaid, Saad berkata kepada orang di sekelilingnya,

“Aku bersumpah atas nama Allah, dia datang dengan wajah yang berbeza sebelum meninggalkan kita sebentar tadi.”
Saad kemudiannya menanyakan hasil pertemuan Usaid dengan As’ad dan Mus’ab. Mus’ab pun, terus memulakan misi dakwahnya lantas berkata

“Mahukah kau duduk dan mendengarkan aku terlebih dahulu Jika kau reda apa yang aku katakan pastinya kau dapat menerima. Jika kau membencinya, maka aku akan pergi”.
Saad bersetuju, lantas mendengar apa yang dikatakan oleh Mus’ab. Setelah habis ucapan Mus’ab, ternyata beliau turut mempunyai reaksi yang sama dengan Usaid lalu memeluk Islam juga. Seperti apa yang dikatakan Usaid, pengislaman Saad bin Muaz turut menyebabkan seluruh kaumnya memeluk Islam.

MasyaAllah!

Kita pastinya kagum dengan apa yang terjadi. Lebih mengkagumkan melihatkan semangat Usaid bin Hudhair yang terlebih dahulu memeluk Islam itu untuk menyampaikan Islam itu kepada sahabatnya, Saad bin Muaz. Kita juga harus melakukan yang sama.

 Jika kita mendapat kebaikan, apa salahnya dikongsi bersama.

 Jika sedang berubah, apa salahnya jika diajak sekali sahabat kita untuk berubah sama. 

Jika melihat kawan kita hanyut dalam dosanya, apa salahnya dicegah jua. 

Kita tidak tahu, mungkin sedikit kata kata mampu mengubah hidup kawan kita, secara total.

Juga, pentingnya untuk kita mendengar terlebih dahulu dari kedua belah pihak. Jangan cepat menghukum dan dan jangan terus membuat konklusi tanpa bertanya terlebih dahulu. Seperti apa yang dilakukan oleh Usaid dan Saad. Seterusnya, berhikmahlah dalam mengajak orang ke arah kebaikan. Ingat, air itu mampu melekukkan batu yang keras.

Panjang pula nasihatnya.

Baiklah, kembali ke kisah Saad bin Muaz. Setelah beliau memeluk Islam, ternyata bukan sahaja pengislaman secara beramai ramai oleh penduduk Madinah, malah beliau turut membantu Rasulullah dan para sahabat dalam berjuang. Berjihad di jalan Allah. Juga menymbangkan kekayaan yang ada padanya untuk membantu kaum Muhajirin yang baru sahaja berhijrah ke Madinah sewaktu itu.

Sehinggalah umat Islam pada waktu itu, berhadapan dengan Perang Badar.

Dari Muhammad bin Amr dan al-Laits dari abangnya berkata, Rasulullah telah mengadakan kaigi 会議  [meeting] dengan para sahabat yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar di Badar. Dalam kaigi itu, terlebih dahulu baginda bertanya kepada para sahabat.

“Apa pendapat kalian?”
Abu Bakar menjawab bahawa mereka telah mendapat tahu tentang kedatangan Arab Quraisy dan bersetuju untuk berperang. Lalu, baginda diam. Rasulullah bertanya lagi. Umar pula menjawab dengan jawapan yang hampir sama dengan Abu Bakar. Baginda diam lagi..

******


Apa yang terjadi seterusnya? Mengapa baginda tetap diam? Paling penting sekali, apa reaksi sahabat yang lain mengenai tindakan Nabi tersayang kita.

sambungannya di sini. [klik sini]


Ditulis oleh
i.j.



Rujukan: kisahmuslim.com
                100 Tokoh Dalam Dakapan Rasulullah SAW




No comments: