Saturday 20 June 2015

Ber'puasa'kah Kita?

Alhamdulillah syukur kerana kita masih sempat untuk mencapai salah satu nikmat kehidupan di dunia ini, iaitu berpeluang untuk dipanjangkan usia di bulan yang paling mulia iaitu Ramadhan Al-Mubarak.

Ramadhan, sebuah bulan yang dikatakan membawa seribu satu manfaat dan kelebihan. Banyak peristiwa penting yang berlaku dalam bulan ini, antaranya turunnya ayat Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W (Nuzul Quran) serta berlakunya perang-perang penting dalam sejarah syiar Islam seperti Perang Badar.

Dan dalam bulan inilah umat Islam diwajibkan untuk melaksanakan salah satu rukun Islam iaitu ibadah puasa. Kalam Allah dalam kitabnya yang mulia, surah Al-Baqarah ayat 183;

“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” 

Dan tahukah anda sebenarnya dalam Al-Quran, inilah satu-satunya ayat yang menyatakan tentang kewajipan puasa terhadap umat Islam? Sedangkan rukun Islam yang lain seperti kewajipan solat dan zakat sering kali dinyatakan banyak kali dalam ayat-ayat Al-Quran. Mengapa ya?

Menurut pandangan penulis, antara hikmah turunnya hanya satu ayat mengenai kewajipan puasa ini adalah untuk menyatakan bahawa sesungguhnya ibadah puasa ini amat mudah untuk dilakukan. Kerana rukunnya kita faham sekadar dua sahaja iaitu niat dan menahan diri daripada makan dan minum bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Akan tetapi, kita acap kali lupa tentang 目的 (mokuteki : tujuan, matlamat) kita diwajibkan untuk berpuasa. Cuba renungkan balik ayat surah Al-Baqarah di atas. Akhirnya ada tercatat 
“…..agar kamu bertakwa”. 
Jadi hakikatnya puasa ini bukan sahaja untuk kita menahan lapar dan dahaga tetapi lebih dari itu di mana bulan Ramadhan ini diturunkan juga untuk mendidik kita menjadi hamba yang sentiasa bertakwa kepada Allah S.W.T.

Jadi, adakah kita sedar tentang tujuan sebenar Ramadhan diturunkan? Atau kita sekadar 断食 (danjiki : puasa) yang hanyalah puasa di bulan yang mulia ini? Mungkin kita tidak sedar kerana sudah terbiasa dengan kelaziman “budaya puasa” yang berlaku dalam masyarakat kita. Cuba kita renungkan situasi-situasi yang berikut:

SITUASI 1: SAHUR
Pada umumnya ramai yang tidak memahami definisi sahur yang sebenar. Sahur ialah salah satu sunnah Rasulullah S.A.W yang amat digalakkan agar kita sentiasa segar dan cergas untuk menjalani ibadah puasa. Sungguh sahur yang digalakkan ialah sahur yang できるだけ (dekirudake : seboleh-bolehnya) dilambatkan sebelum masuk waktu tamatnya.

Namun ada antara kita yang mengambil enteng tentang sahur ini. Berbekalkan alasan susah untuk bangun pada awal pagi yakni sebelum subuh, maka ada antara kita yang “sahur” pada lewat malamnya. Tidak salah namun keberkatan dan kenikmatan sahur itu hilang kerana kita terlalu mengawalkan waktu sahur kita. Sedangkan bangun awal pagi untuk bersahur membawa pelbagai hikmah antaranya kita boleh qiamulail sebentar sebelum bersahur dan selepas bersahur kita boleh terus bersiap untuk solat subuh berjemaah di surau. Nampak betapa cantiknya sahur yang telah Allah berikan kepada kita agar kita boleh melatih diri kita untuk beribadah kepada Allah S.W.T.

SITUASI 2: BUKA PUASA



逆に (gyakuni : berlawanan) dengan sahur, berbuka puasa ini jika lebih awal melaksanakannya adalah teramat digalakkan. Dan situasi berbuka puasa di negara kita amatlah meriah kerana Malaysia amatlah dikenali dengan gelaran “Syurga Makanan”. Mana tidaknya waktu puasa inilah hampir di semua kawasan di negara ini akan dipenuhi dengan bazaar-bazar ramadhan yang semestinya menyediakan juadah masakan yang enak.

Maka kita secara tidak sedar pada suatu ketika telah dikuasai dengan hawa nafsu lalu menjadi tamak dengan membeli itu dan ini di bazar tersebut. Waktu sebelum berbuka bukan main rancak beli makanan tanpa ingat dunia namun bila berbuka puasa kita menjadi terlalu kenyang lantas terdapat lebihan makanan yang akhirnya dibazirkan begitu sahaja. Lebih teruk lagi pabila kita terlalu “khusyuk” berbuka puasa sehingga kita melambatkan amalan fardhu solat maghrib kita?

Eh sekejap, bulan Ramadhan ini syaitan diikat dan membazir itu amalan syaitan. Kalau membazir dengan makanan berbuka puasa pulak どう?(dou : bagaimana?) 

Hmmmm..

SITUASI 3: SOLAT TARAWIH

Uniknya bulan Ramadhan ini ialah kita boleh mempertingkat amal ibadat kita dengan melaksanakan solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan selepas solat isyak di masjid-masjid mahupun surau-surau di kawadan kediaman masing-masing. Syukur kerana pada bulan Ramadhan inilah Allah S.W.T meniupkan rasa keimanan dalam diri kita semua untuk merajinkan diri turun ke surau mahupun masjid untuk bersama-sama melaksanakan amalan sunat solat terawih.

しかし、(shikashi : tetapi, namun) menjadi seperti sebuah kelaziman mahupun seperti sebuah budaya dalam masjid mahupun surau di seluruh negara ini apabila sudah pasti akan berlakunya GELOMBANG TARAWIH. Apa yang penulis maksudkan ialah situasi di mana pada minggu pertama bulan Ramadhan, kelihatan surau dan masjid akan dipenuhi oleh ramai orang untuk memunaikan solat tarawih.

Namun pabila masuk minggu 2, minggu 3 dan lebih lagi minggu terakhir bulan Ramadhan terutamanya, sama seperti gelombang ombak yang semakin lama semakin lemah, bilangan yang hadir solat tarawih berjemaah juga semakin berkurang sehinggakan boleh dikira dengan jari sahaja. Situsai yang dilihat ialah apabila kebanyakan antara kita mulai sibuk dengan pelbagai persiapan raya menjelang hujungnya Ramadhan dan datangnya Syawal.

Sedangkan ramai antara kita tidak tahu keistimewaan besar dalam bulan Ramadhan ialah pada sepuluh malam terakhir bulan tersebut iaitu wujudnya malam LAILATUL QADAR yang amat jelas dinyatakan dalam surah Al-Qadr ayat 1-3:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam al-Qadr (Lailatulqadar). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” 

Seharusnya kita sebagai orang yang bertakwa, mengejar dengan bersungguh sungguh untuk mengecapi malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini bukannya sibuk mengejar urusan persiapan-persiapan raya yang kurang bermakna jika dibandingkan dengan satu malam yang mulianya lebih daripada 1000 bulan.

Jika diikutkan sebenarnya banyak lagi situasi yang menjadi kelaziman dalam masyarakat kita namun penulis memetik tiga situasi utama di atas kerana ia amatlah dekat dengan kita dan boleh mengurangkan pahala dan keberkatan ibadah puasa. Jangan disebabkan oleh perkara-perkara yang kecil sebegini maka kita tidak memperoleh hikmah daripada puasa itu sendiri.

Oleh sebab itu, pentingnya untuk kita dalam memahami apakah tujuan sebenar berpuasa dalam bulan Ramadhan ini iaitu untuk menjadi seorang mukmin yang bertaqwa. Dan harus diingat bukanlah mudah untuk kita mencapai takwa itu kerana ia memerlukan seluruh keringat untuk melakukan  segala suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan dan juga perbuatan maksiat serta jahiliyah yang bertakung dalam diri ini.
Sebab itulah Ramadhan dikatakan sebagai 
“THE BEST TRAINING CAMP” 
Bagi sesiapa yang mengerti. Ramadhan ialah sebuah medan untuk kita melatih diri kita untuk menjadi insan yang bertakwa dengan bepuasa di samping meningkatkan amal ibadah serta meninggalkan jahiliyah dan maksiat secara total.

Dan hasilnya daripada latihan yang mantap pada bulan Ramadhan pastinya akan dilihat pada 11 bulan yang  berikut, yakni “medan perang” yang sebenar pabila sepanjang masa kita akan diuji dengan kekuatan nafsu, kekuatan syahwat dan hasutan bisikan syaitan yang maha dasyat. Ingat hanya kekuatan rohani yang mantap sahaja mampu melawan semua ini dan kekuatan rohani hanya boleh dilatih tubi pada bulan mulia ini.  

Jadi, kita muhasabah diri dan betulkan niat kita kembali dalam menghadapi Ramadhan yang penuh dengan seribu hikmah. Kerana sudah semestinya kita  punyai banyak dosa, maksiat mahupun jahiliyah dalam diri ini, maka berdoalah dan mintalah taubat dalam bulan Ramadhan ini kerana pintu taubat terbuka seluasnya-seluanya bagi orang mukmin. Kerana apa?

Kerana…
“Sungguh, rugilah orang yang berpuasa di bulan Ramadhan namun tidak mendapat keampunan daripada Allah S.W.T”
Kita soal diri kita kembali….
'Puasa'kah aku?
Wallahualam. 

Assalamualaikum.


Ditulis oleh
zan

No comments: