Monday 8 June 2015

Layar Putih Titik Hitam

Pandangan. 


Persepsi.

Dua perkara yang mampu menjadi faktor penyumbang awal kepada pahala ataupun dosa.

Tetapi apa pula kaitannya dengan pahala dan dosa? Kalau pandangan sahaja, nampaklah juga kaitannya  tetapi persepsi?

Apa kata kita buat ujian mata. Tak susah pun. Seperti check mata di kedai optik itu sahaja. Cuma kali ini menggunakan warna hitam dan putih sahaja. 



Cuba lihat dua kotak di atas. Perhati elok-elok dan nyatakan apa yang anda nampak dalam kotak-kotak tersebut. Jawapannya simpan dulu ya, jangan sebut. Simpan dalam hati.

Apa yang penulis hendak katakan di sini berkait rapat dengan  jawapan yang anda peroleh. Berdasarkan soalan itu kemungkinan jawapan yang ada cuma :

Kotak 1
a)    Warna putih
b)    Tiada apa-apa

Kotak 2
a)    Titik hitam
b)    Warna putih dan titik hitam

Mungkin ada juga keadaan di mana tidak ada jawapan yang bermain di minda kerana masih tidak faham apa penulis cuba sampaikan. Oleh itu, mari kita cuba fahami satu persatu makna di sebalik jawapan-jawapan tersebut.

Saya akan terangkan jawapan tersebut secara pair berdasarkan kemungkinan yang telah anda pilih.


1(b) dan 2(a) iaitu tiada apa-apa serta titik hitam.

Pilihan jawapan seperti ini mendatangkan maksud di mana bila mana kita melihat orang di sekeliling kita, kita kurang nampak kebaikan pada dirinya dan pandangan kita sangat tertumpu kepada keburukan pada dirinya. Dalam keadaan sebegini, kemungkinan besar kita seorang insan yang terdorong untuk hanya meng-highlight keburukan yang dilakukan individu tersebut dan langsung tidak nampak apa-apa kebaikan pada dirinya.

Bahayanya keadaan ini ialah di mana ada kemungkinan kita terjebak dengan gejala suudzon [bersangka buruk] dan dan itu mampu membawa kepada perkara perkara seperti menceritakan keburukan individu itu di belakangnya atau mengaibkan individu tersebut di hadapan orang lain.


1(b) dan 2(b)Tiada apa-apa serta warna putih dan titik hitam.

Kanousei  可能性  [かのうせい] untuk mendapat jawapan seperti ini agak rendah dan kita katakan pelik. Kenapa? Sebab pada kotak 1 kita tidak perasan apa-apa tetapi secara tiba-tiba pada kotak 2 kita perasan ada warna putih dan juga titik hitam. Keadaan seperti ini mungkin sekali berlaku saat kita baru sahaja berkenalan dengan seorang individu yang mana pada mulanya kita langsung tidak tahu baik buruk pada dirinya. Kemudian, hari berganti hari kita mula nampak baik dan buruk pada dirinya.


1(a) dan 2(a) menjadi pilihan jawapan yang ketiga. Warna putih serta titik hitam.

Dalam keadaan seperti ini, ada bahaya yang tersembunyi.

Sebabnya ialah pada pilihan jawapan yang pertama, ia menggambarkan di mana kita nampak kebaikan pada seseorang individu. Selepas itu, saat individu tersebut ada melakukan kejahatan, terpadam memori kita tentang kebaikan yang kita nampak pada mulanya. Maka berlakulah fenomena di mana pandangan kita hanya nampak keburukan sahaja pada individu tersebut sejak hari kejadian sama seperti focus gambar tersebut pada titik hitam.

Di sini kita mungkin terjebak dengan suudzon berserta dengan tabiat hanya mencari dan menyatakan kesalahan yang dilakukan individu itu seolah-olah dialah pelaku dosa tegar, sudah jauh dari syurga manakala kita ini seperti suci tiada dosa.

Persoalannya di sini sekiranya hal sebegitu berlaku, apakah kita ini yang juga hamba Allah S.W.T. layak menilai individu lain sebegitu rupa? Siapakah kita yang mengatakan individu tersebut memang akan masuk neraka? Apakah kita cuba mengambil tugas Allah S.W.T.?


Pilihan jawapan 1(a) dan 2(b)Warna putih serta warna putih dan titik hitam.

Pilihan jawapan ini boleh dikategorikan sebagai sebaik-baik jawapan bila mana kita masih mampu melihat warna putih biarpun ada titik hitam yang menjadi focus dalam kotak tersebut. 

Kenapa?  Pada mulanya yang kita lihat cuma kebaikan pada dirinya. Dan bila mana individu tersebut ada melakukan sedikit kejahatan, kita masih lagi mampu melihat kebaikan dan juga keburukan padanya.

Sekiranya kita faham tentang naluri serta fitrah seorang manusia, pasti kita tahu bahawasanya manusia memang tidak lari daripada melakukan kesilapan apatah lagi dosa.

Barangkali individu tersebut tidak sengaja ataupun berada dalam keadaan terdesak ketika melakukan kesalahan itu. Pada ketika itu wujud sifat husnudzon [bersangka baik]. Hendaklah kita tahu bahawasanya seorang individu yang jelas kelihatan keburukan pada dirinya juga ada kebaikan dalam dirinya. Itulah fitrah sedia ada yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada setiap hamba-Nya.

Mungkin hari ini dia memeras ugut orang di jalanan, siapa tahu di masa hadapan mungkin dialah pemuda yang mengetuai pemuda-pemudi Islam ketika itu.

Di sini dapat disingkap kembali zaman ketika mana Saidina Umar Al-Khattab masih lagi belum memeluk Islam. Kuat tentangannya terhadap Islam yang dibawa Nabi Muhammad , namun pasca keIslamannya menyaksikan perjuangan beliau dalam membela agama Islam malah beliau diangkat sebagai antara Top 10 Sahabat yang dijanjikan syurga Allah S.W.T. 

Kita lihat pula kisah Saifullah iaitu panglima perkasa Khalid Al-Walid. Dahulunya beliaulah ketua tentera yang menentang dan mengalahkan Islam ketika Perang Uhud, namun kini terpahat dalam sejarah beliaulah Saifullah yang berjaya menawan kota Rom.

Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah diri. Bagaimanakah pandangan serta persepsi kita terhadap orang di sekeliling kita. Janganlah kita menganggap seseorang individu yang jelas kelihatan keburukannya itu tiada harapan untuk bertaubat kepada Allah S.W.T kerana Allah S.W.T. itu Maha Pengampun. Janganlah kita menganggap dia tiada harapan untuk syurga  Allah S.W.T.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu tidak menyukainya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.”.

Surah al-Hujurat:12

Marilah kita sama-sama berlapang dada dan ubah persepsi kita.

=)

Ditulis oleh
pocoyo


No comments: